CHINA LARANG IMPORT MAKANAN LAUT INDONESIA
Berita Global
CHINA LARANG IMPORT MAKANAN LAUT INDONESIA
JAKARTA: Sebuah syarikat pengeksport makanan laut Indonesia disenarai sebagai rangkaian syarikat yang bakal dilarang China selepas pembungkusan produk diuji positif COVID-19.
Menurut pejabat kastam dalam satu kenyataan, China akan menghentikan import produk makanan laut dari syarikat PT Putri Indah selama seminggu selepas menemui zarah COVID-19 pada bungkusan ikan layur sejuk beku.
Pihak berkuasa China telah menjalankan siasatan terhadap daging, makanan laut, pembungkusan dan bekas diimport yang berpotensi menjadi sumber COVID-19 sejak Jun lalu, selepas berulang kali menemui kesan patogen.
Siasatan mendapati enam daripada lebih 500,000 sampel yang diuji didapati positif COVID-19, kata kastam awal bulan ini.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan komen daripada syarikat berpangkalan di Sumatera Utara itu menemui jalan buntu selepas mereka tidak memberikan sebarang kerjasama ketika dihubungi pihak media.
Sebelum ini, China melarang import produk termasuk daging beku, udang Ecuador dan sayap ayam Brazil, berikutan ujian mendapati positif pandemik itu.
Walaupun Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) menegaskan tiada bukti COVID-19 boleh tersebar pada makanan dan bungkusan makanan, penyelidik China mendapati COVID-19 pada salmon yang disejuk beku mungkin dijangkiti lebih seminggu.
- BLOOMBERG