Ceramah Ustaz Abdul Somad Tarik 10,000 Hadirin, Cipta Sejarah di Jengka
Ceramah Ustaz Abdul Somad Tarik 10,000 Hadirin, Cipta Sejarah di Jengka
JENGKA – Ceramah Perdana Maal Hijrah 1447H yang menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Prof. Abdul Somad, berjaya menghimpunkan lebih 10,000 hadirin di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka, malam tadi.
Bertemakan “Titik Perubahan Sebelum Titik Kematian”, program anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Jengka dan Masjid Riyadhus Solihin itu turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) dan disifatkan sebagai satu sejarah baharu dalam penganjuran program keagamaan di kawasan itu.
Qadhi Daerah Jengka, Tuan Nik Ibrahim Nik Abdullah, berkata ceramah kali ini menjadi titik permulaan penting dalam mendekatkan masyarakat dengan pengisian rohani secara lebih besar dan inklusif.
“Biasanya program agama diadakan di masjid atau dataran, tetapi kali ini kita bawa ke stadium. Ini memberi keselesaan kepada pendengar dan membuktikan sambutan amat luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, Jengka menjadi lokasi ketiga siri jelajah Pantai Timur Ustaz Abdul Somad selepas Keratong dan Bentong.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat antaranya Datuk Amizar Abu Adam (EXCO Belia, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang), Pengarah FELDA Wilayah Jengka, Tarmizi Lee, dan beberapa pemimpin tempatan.
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Haji Razak Daud, pula mencadangkan supaya pendekatan lebih segar dilakukan bagi menarik minat anak muda.
“Kita rancang buat konvoi bermotosikal sebelum ceramah. Lepas tu, solat Maghrib dan Isyak berjemaah di stadium. Inilah cara kita nak dekatkan golongan muda dengan agama,” katanya.
Beliau berharap program seperti ini diteruskan sempena hari kebesaran Islam yang lain dan bakal menampilkan penceramah hebat dari dalam dan luar negara.-SAHIH