Cemas rumah dilanda arus deras
Cemas rumah dilanda arus deras
SIK – Empat sekeluarga cemas apabila kawasan rumah mereka di Kampung Lentang, Belantik dekat sini dilanda arus deras selepas anak sungai terletak berhampiran melimpah akibat hujan lebat, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Faridah Wahab, 59, bersama anak, Siti Khalijah Saud, 25, serta dua cucu berusia dua dan lima tahun sedang berehat di dalam rumah.
Menurut Faridah, dia tidak menyangka akan berlaku banjir kerana hujan di kawasan rumahnya tidak terlalu lebat.
“Mungkin berlaku hujan lebat di kawasan hulu menyebabkan anak sungai berdekatan melimpah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, dia sempat memindahkan motosikal ke tempat lebih tinggi sebelum paras air di halaman rumah meningkat dengan cepat sehingga paras pinggang.
“Saya terus mendapatkan anak serta dua cucu dan membawa mereka ke penjuru rumah yang lebih kukuh.
“Di dalam rumah yang berada pada kedudukan agak tinggi, air masuk sehingga paras kira-kira 0.3 meter,” ujarnya.
Menurutnya, dia dan anak ketakutan apabila mendengar bunyi deruan air dan arus deras seolah-olah mengangkat rumah mereka, lapor kosmo online
“Kami menjadi bertambah cemas apabila terdengar bunyi kuat di bahagian dapur rumah sebelum mendapati sebahagian struktur dapur telah roboh,” ujarnya.