CEDERA KETIKA CUBA LARI
Berita Jenayah/Kemalangan
CEDERA KETIKA CUBA LARI
LUMUT: Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pagar rumah ketika cuba melarikan diri daripada polis di Kilometer 6 Jalan Lumut di Teluk Muroh di sini, semalam.
Suspek berusia 37 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 125Z itu tidak berhenti sebaliknya memecut motosikalnya selepas menyedari diekori anggota polis pada jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata lelaki itu ditahan dalam operasi bersepadu kerana tidak memakai topi keledar dan menunggang secara berbahaya.
“Pemeriksaan turut mendapati lelaki itu tiada lesen memandu dan dia yang cedera ringan di siku dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi semalam.
Menurutnya, operasi bersama penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada jam 4 petang hingga 8 malam itu, turut mengeluarkan 48 saman atas pelbagai kesalahan.
“Antaranya saman membabitkan kesalahan mengubah suai motosikal dan memasang nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dengan mengubah suai dan tiada penutup rantai mencatatkan kesalahan tertinggi.
“Selain itu, polis turut menyita enam motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Nor Omar berkata, sebanyak 11 Ops Samseng Jalanan dilakukan di Manjung dengan 149 saman dikeluarkan untuk tahun ini.
“Objektif operasi adalah untuk membanteras kegiatan lumba haram dan kesalahan lain kerana Teluk Muroh iaitu laluan untuk ke Teluk Batik antara empat lokasi panas yang menjadi tumpuan kumpulan motosikal pada hujung minggu.
“Tiga lagi lokasi tumpuan dikenal pasti adalah laluan Lekir, Manjung (Jalan Ipoh-Lumut) dan Sitiawan (Jalan Kampung Koh-Lekir),” katanya.
Sumber: BH Online