CEDERA DIREMPUH MPV
CEDERA DIREMPUH MPV
KOTA BHARU: Seorang pemandu kereta cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dalam kejadian di Jalan Hospital di sini semalam.
Mangsa, Wan Mohd. Zuhari Wan Muhammad, 38, mengalami luka luaran pada anggota badan dan telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kemalangan berlaku ketika Wan Mohd. Zuhari yang memandu kereta Proton Saga berhenti di bahu jalan tanpa halangan di hadapan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pukul 6 petang.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Ketika itu, sebuah MPV yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun datang dari arah Jalan Mahmood ke laluan itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kereta mangsa.
Insiden itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Saga cedera,” katanya ketika dihubungi KOSMO! Online hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, ketika pegawai penyiasat polis tiba di lokasi kejadian, pemandu MPV tiada disitu manakala pemandu kereta Proton Saga sudah dibawa ke HRPZ II.