CECAIR VAPE BERNILAI RM825,000 DIRAMPAS
CECAIR VAPE BERNILAI RM825,000 DIRAMPAS
RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 22,500 botol cecair vape pelbagai perisa bernilai RM825,000 dalam serbuan di Kampung Degong, Telaga Mas, di sini, hari ini.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superitendan Nor Azizan Yusof, berkata serbuan ke sebuah rumah di kampung berkenaan pada jam 1 tengah hari itu dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam.
Katanya, anggota memperkenalkan diri sebagai polis serta meminta pemilik rumah mengemukakan kad pengenalan diri sebelum menjalankan pemeriksaan di dalam kediaman tetapi tidak menjumpai barang yang menyalahi undang-undang, lapor BH Online.
“Selepas itu, anggota meneruskan pemeriksaan di bahagian tepi rumah dan menjumpai sebuah van Nissan Vanette berwarna kelabu sebelum didatangi seorang seorang lelaki yang mengaku pemilik van terbabit.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Anggota turut meminta kad pengenalan diri miliknya, yang juga warga tempatan yang berusia 30 tahun, seterusnya membuat pemeriksaan pada van yang mana menemukan sejumlah kotak di bahagian belakang tempat duduk.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak terbabit mengandungi botol berisi cecair vape pelbagai perisa yang disyaki disimpan untuk diseludup ke negara jiran, Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nor Azizan berkata, suspek terbabit ditahan manakala van serta barangan yang dirampas dibawa ke Balai Polis Lubok Stol untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, rampasan terbabit juga diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia cawangan Kota Bharu.
“Kami percaya bekalan cecair vape ini akan diseludup melalui lorong tikus atau pangkalan haram sekitar Rantau Panjang, namun van diparkir dahulu di lokasi ini sebagai transit sebelum suspek mencari masa terbaik menyeberangi sungai ke sempadan.
“Cecair vape ini dijual di pasaran gelap dengan harga lebih tinggi di Thailand,” katanya.