BINTANG FILEM SHAOLIN SOCCER MENINGGAL AKIBAT KANSER HATI
KUALA LUMPUR: Bintang filem Shaolin Soccer, Ng Man Tat, 70, meninggal dunia akibat kanser hati di Hospital Union, Hong Kong, jam 5.16 petang, hari ini.
Mengikut laporan Today Online, berita kematian pelakon legenda era 1990-an itu disahkan oleh rakan baiknya, Tin Kai Man. Kai Man mendedahkan, Man Tat meninggal dunia dalam keadaan tenang ketika tidur.
“Doktor memberi ubat bagi melegakan kesakitan selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu. Man Tat meninggal dunia ketika isteri, anak dan adik beradik berada di sisinya.
“Beliau menjalani pembedahan selepas didiagnosis penyakit kanser hati dan menjalani kemoterapi.
“Keadaan Man Tat lemah dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan. Kesihatan Man Tat semakin merosot, sejak kebelakangan ini,” kata Kai Man.
Man Tat disahkan menghidap kanser hati pada penghujung tahun lalu dan menjalani rawatan di Macau, lapor Agensi.
Bagaimanapun, itu bukanlah kali pertama kesihatan terganggu, sebaliknya, beliau disahkan menghidap penyakit kencing manis pada 2000.
Beliau pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat masalah pernafasan sebelum disahkan menghidap penyakit jantung pada 2014.
Bulan lalu, beliau mendapat serangan jantung selepas videonya memegang dada dalam keadaan kesakitan ketika berada di lokasi penggambaran menjadi tular.
Man Tat memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan pada usia 22 tahun pada 1973. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak bergandingan dengan Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow.
Pemergiannya cukup dirasakan Chow.
Menurut Chow, meskipun sudah bersedia dari sudut mental, namun kehilangan rakan seperjuangan adalah sesuatu yang amat memedihkan.
“Walaupun sentiasa memberi perhatian kepada tahap kesihatannya, malah saya sudah membuat persediaan dari sudut mental, tetapi berita ini amat menyedihkan.
“Man Tat adalah rakan lama. Kami sudah bergandingan, sejak sekian lama. Saya tidak dapat menerima kenyataan pemergiannya,” kata Chow.
Antara filem yang pernah menggandingkan mereka termasuklah Shaolin Soccer, The Justice Of Life, The Final Combat dan banyak lagi.
Sepanjang kerjayanya, Man Tat pernah memenangi pelbagai anugerah. Antaranya, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem A Moment Of Romance pada Anugerah Filem Hong Kong pada 1991.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Bekas pelakon Zul Yahya mengambil keputusan memberhentikan anak-anaknya daripada meneruskan persekolahan kerana meletakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan hidup.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram dan Facebooknya, pelakon yang pernah membintangi drama Pepaya itu memberitahu tindakan tersebut dirasakan paling tepat buat masa ini.
“Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami daripada sekolah bukan kerana tak ambil berat masa depan mereka, tetapi kami nak anak-anak kami lebih berjaya di akhirat kelak.
“Insya-Allah ilmu akhirat itu lebih penting daripada segala-gala ilmu,” ujar pelakon berusia 48 tahun itu.
Menjengah ke ruangan komen dalam Instagramnya, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pelakon tersebut.
Salah seorang pengikutnya dalam Instagram berkata, pelakon itu sepatutnya faham tentang konsep pendidikan pada peringkat sekolah kerana itu juga merangkumi ilmu untuk kegunaan di akhirat.
“Harapnya kita tidak salah faham dan ekstrem. Hantar ke sekolah (anak) juga merangkumi ilmu akhirat. Semua disiplin ilmu ialah ilmu milik Allah SWT dan boleh mendekatkan diri dengan-Nya.
“Tahniah guru-guru di sekolah yang mengajar bersungguh-sungguh anak murid mengenal Allah SWT,” ujar salah seorang pengguna Instagram.
Seorang lagi pengikutnya pula berpendapat bahawa pelakon itu sepatutnya tidak menghalang anaknya mendapatkan pendidikan di sekolah.
“Jangan halang anak untuk cerdik dunia akhirat supaya tak tertipu di dunia dan selamat di akhirat.
“Bahkan pusat tahfiz pun ada silibus. Kena seimbangkan,” ujarnya.
Zul ketika dihubungi KOSMO! Online berkata, pada hari ini masyarakat lebih mengejar duniawi berbanding ilmu agama yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW.
“Buat masa sekarang lebih baik saya letakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan buat anak-anak.
“Berapa ramai yang boleh ikut sunnah Nabi Muhammad SAW pada hari ini? Ramai orang tinggalkan al-Quran dan sunnah Rasulullah yang boleh membawa kejayaan kepada mereka,” katanya.
Ujar Zul lagi, masyarakat hari ini seolah-olah merasakan sunnah dan al-Quran sebagai satu ikutan kuno dan ketinggalan.
“Jadi ramai yang memilih cara kehidupan seperti hari ini dengan tidak mengamalkan sunnah Nabi dengan melebihkan kehidupan duniawi,” ujarnya.
Untuk rekod, Zul mendirikan rumah tangga bersama isteri, Siti Raihan Mohd. Rodzi pada Disember 2007 dan dikurniakan enam orang cahaya mata masing-masing tiga perempuan dan tiga lelaki berusia antara setahun hingga sembilan tahun.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang penyampai radio digantung tugas selepas memuat naik video menggunakan aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita.
Pengurus Besar Astro Radio East Malaysia, Hafiz Nizamuddin berkata, pihaknya memandang serius kejadian yang berlaku selain memohon maaf atas perilaku buruk DJ terbabit.
“Kami memohon maaf atas sikap buruk seorang daripada penyampai radio kami berhubung video yang menjadi tular baru-baru ini dan akan melancarkan siasatan dalaman berhubung isu berbangkit.
“Pada masa sama, penyampai radio terbabit akan digantung tugas,” lapor Malaysiakini.
Terdahulu, DJ Yusuf atau nama penuhnya Muhammad Yusuf Shukri membuat satu video sebagai respons kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah.
Video tersebut mencetuskan kemarahan netizen dengan segelintir daripada mereka mendesak stesen radio Hitz Sarawak memecat segera DJ Yusuf.
Namun, segelintirnya pula meminta Yusuf tidak dipecat sebaliknya menggesa dia memohon maaf secara terbuka.
Yusuf, 29, bagaimanapun sebelum itu sudah menurunkan video berkenaan selepas teruk dikecam melalui Twitter dan platform lain media sosial.
Menurut Hafiz lagi, sebagai sebuah badan penyiar pihaknya komited untuk menyampai dan menghiburkan pendengar.
“Hitz komited untuk menghiburkan dan memberi maklumat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Yusuf meminta bantuan secara terbuka agar dia dapat dihubungkan dengan guru berkenaan untuk membolehkannya memohon maaf atas sikap yang dipamerkan.
“Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit, ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk.
“Ia satu sikap saya yang amat biadab dan untuk itu saya mahu memohon maaf secara peribadi kepada dia dan keluarganya, saya juga ingin memohon maaf kepada semua guru-guru yang tersinggung selepas menonton video yang saya hasilkan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lebih 15 tahun dalam industri fesyen, Amir Kadir menempa nama ke persada dunia dengan menghasilkan rekaan baju yang menakjubkan.
Bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini pengguna Twitter, @ahmadcashfy tweet mengenai kehebatan hasil tangan Amir Kadir yang telah dipakai oleh Taylor Swift.
Perkongsian retweet sebanyak 5,479 telah membuatkan rakyat Malaysia berbangga dengan hasil baju pereka fesyen ini.
Dengan penghijrahan Amir ke Kuwait, kreativiti beliau telah mencuri perhatian artis antarabangsa antaranya Jennifer Lopez, Mariah Carey dan Paris Hilton.
Tidak lupa juga artis Malaysia yang pernah memperagakan baju beliau seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Puan Sri Normala Samsudin dan Ziana Zain.
Setelah mencari pengalaman di negara orang, Amir membuat keputusan untuk membuka butik di Ampang, Amir Kadir Couture untuk mempelbagaikan rekaan fesyen tempatan.
Singgah ke Instagram Amir Kadir untuk melihat hasil baju rekaan khas dari beliau.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MINGGU ini, dua perkara merenjat perhatian gelanggang industri seni tanah air.
Pertama, isteri kepada penyanyi rap, Aman Ra iaitu Natiqah membuat pendedahan suaminya berlaku curang.
Kedua, dua anak seni, Farid Kamil dan Boy Iman antara lima individu yang ditarik balik gelaran Datuk daripada Istana Pahang.
GAMBAR HIASAN
Semua itu mendapat perhatian meluas khalayak.
Secara peribadi, selain dunia politik yang hidup seperti di bawah mikroskopnetizen, golongan selebriti juga tidak terlepas daripada nasib yang sama.
Adakala, bekerja dan hidup dalam nuansa sedemikian seumpama rakyat atau netizen adalah majikan yang menumbuhkan gaji kita semua.
Peribadi-kualiti kerja
Berbalik tentang dua isu hangat membabitkan dua situasi berbeza itu, boleh disimpulkan dengan frasa popular orang putih, walk the talk.
Rata-rata peminat termasuklah penulis merupakan antara penggemar muzik Aman Ra yang sentiasa menghidangkan perihal positif menerusi muzik, antaranya berkaitan kebangkitan hidup, motivasi dan kasih sayang.
Biarpun dengan apa yang berlaku, tidak menghilangkan walau seinci rasa kagum penulis terhadap diskografi atau hal kerjaya Aman Ra atau nama lengkapnya, Aman Jamaluddin yang berprofesi sebagai penyanyi rap.
GAMBAR HIASAN
Pendedahan mengejutkan Natiqah dilakukan menerusi InstaStorynya dengan mengatakan rumah tangga mereka berantakan selepas dia mengetahui hubungan sulit si suami.
Bahkan, dia juga sudah menghalau suaminya dari rumah kerana tidak tahan dengan penipuan selama ini.
“Dalam kereta siap ada beg pakaian lengkap dengan seluar dalam kau dan berus gigi.
“Kau tak bawa masuk rumah sebab sebelum itu tinggalkan anak bini berminggu-minggu semasa perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebab nak jaga b**i kau di The Fennel,” tulisnya membongkar pekung di dada.
Itu antara kata-kata amarah seorang wanita yang ditinggalkan suaminya seperti dirinya tidak mempunyai hak untuk bersuara selama ini.
Hal ini kerana, dia turut mengatakan suaminya itu telah empat kali melafazkan cerai terhadapnya sebelum ini.
“Hendak cakap aku jangan jadi isteri kurang ajar. Kau sudah lafaz cerai empat kali semua sebab sun**l kau.
“Sebab aku diam selama ni. Makin lama makin teruk. Bila aku bersuara, aku yang salah. Kau buat aku macam musuh,” luahnya lagi.
Apa yang berlaku kepada Nuratiqah sebenarnya hampir serupa dengan pendedahan isteri pelawak Shuk Shahar yang kini sudah kembali berbaik dengan suaminya.
Kemarahan sememangnya mudah dicanang namun penyelesaian tidak seperti sebagai yang disumpah seranah netizen, si penyokong, batu api atau peguam tidak bertauliah selama ini.
Reaksi berbeza
Beralih kes penarikan gelaran Datuk membabitkan Farid dan Boy Iman, penulis sendiri berkesempatan berhubung dengan kedua-dua selebriti itu sewaktu berita berkenaan meletus Rabu lalu.
GAMBAR HIASAN
Farid dengan hati terbuka menerima penarikan tersebut sementara, Boy Iman yang terkenal dengan pelbagai kes mulanya masih mahu bermain tarik-tali.
“Saya juga dengan penuh rasa hormat menerima keputusan pihak Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada saya.
“Sejak 16 Disember 2017 saya amat berbangga dan berbesar hati membawa gelaran Datuk yang dikurniakan Istana Pahang,” ujar pelakon filem Lagenda Budak Setan itu.
Lain pula respons Boy Iman ketika mula dihubungi Pose yang seperti tidak dapat menerima kenyataan tersebut.
“Saya sedikit ralat kerana apa yang dilakukan tidak melambang protokol sedangkan saya tidak menerima surat rasmi daripada pihak istana sampai hari ini (Rabu),” kata Boy.
Namun, tidak lama kemudian Boy menerusi Instagramnya menjunjung kasih dan akur dengan titah daripada istana.
Pada akhirnya, setiap selebriti mempunyai pengaruh besar dalam setiap perbuatan, baik atau buruk.
Cuma sebagai peringatan, untuk selebriti atau insan terdekat mereka berhentilah menjadikan seni seperti longkang untuk menutupi perkara yang apabila terbongkar, akan diingati sampai bila-bila.
artikel asal boleh dibaca di laman portal KOSMO! Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ini berita baik buat semua pelanggan Astro!
Sebagai menghargai kemenangan Astro baru-baru ini di Putra Brand Awards 2020, Astro berbesar hati melanjutkan preview percuma saluran filem terpilih di TV dan Astro Go untuk semua pelanggan bermula 11 hingga 21 Februari.
Pelanggan Astro akan dapat menikmati hiburan tanpa henti dari filem blockbuster terbesar di HBO (CH411 HD / CH431), FOX Movies (CH413 HD / CH433), FOX Action Movies HD (CH415), FOX Family Movies HD (CH414), CINEMAX ( CH412 HD / CH432) dan Filem tvN HD (CH416).
Ini termasuk blockbuster Hollywood yang popular seperti Birds of Prey and the Fantabulous Emancipation of One Harley Quinn, Spiderman:Far From Home di HBO; Bad Boys for Life dan Little Women di Fox Movies.
Kanak-kanak boleh menonton animasi popular Despicable Me 2 dan filem aksi komedi Sonic The Hedgehog di saluran HBO.
Peminat filem Korea pula akan dapat melihat bintang-bintang sensasi di tvN Movies termasuk Train to Busan, Penisula, Okay! Madam dan Tazza:The High Rollers and Love+Sling.
Digelar sebagai People’s Choice Award, Putra Brand Awards mengiktiraf pembinaan jenama sebagai pelaburan perniagaan dan diukur berdasarkan pilihan pengguna, Astro AWANI.
Di samping itu, pelanggan Astro juga dapat menikmati tontonan percuma dari semua saluran Pek Kanak-kanak dan Berita (kecuali SKY News) hingga 18 Februari dan HITS Movies HD (CH401) yang memaparkan blockbuster dari tahun 60-an hingga 90-an seperti Jaws 3D, Edward Scissorhands dan Back to the Future di TV dan Astro GO hingga 21 Februari 2021.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
The Queen’s Gambit adalah drama bersiri di Netflix. Drama yang berdasarkan novel Walter Tevis 1983 yang menceritakan kisah pembukaan catur. Drama bersiri arahan Scott Frank dan Allan Scott Scottini mendapat sambutan hangat. Lakonon oleh Anya Taylor-Joy, Bill Camp, Marielle Heller dan ramai lagi.
Dengan inspirasi dari The Queen’s Gambit, hotel yang dekorasi seperti catur di The Harmon Room 21c, Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat.
Siapa yang sudah menonton drama bersiri ini mesti tahu konsep penceritaan ini. Jom tengok hotel yang bertemakan Queen’s Gambit!
Keseluruhan konsep bilik retro. Marble dan aksesori yang padan dengan retro catur. Hiasan catur di siling bilik juga buatan tangan.
Kombinasi warna hijau dan putih menghiasi bilik yang menaikkan seri.
Wallpaper yang digunakan juga bermotifkan buah catur kuda. Cantik sangat!
Bukan konsep bilik sahaja catur, tak lupa papan catur lengkap dengan buah disediakan untuk pengunjung. Memang feeling Queen’s Gambit!
Majalah yang disediakan dalam bilik pun pasal catur. Edisi majalah Chess Review pun ada yang menjadi rujukan Beth. Book holder pun catur buah kuda. Bestnya!
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dilantik sebagai penaung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang pertama sejak persatuan itu ditubuhkan pada tahun 1993, berkuat kuasa 1 Februari lepas.
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim menyifatkan pelantikan Tengku Azlan sebagai satu anugerah berharga buat penggiat industri kreatif bagi melonjakkan industri itu dalam menghadapi cabaran 2021 di tengah krisis ekonomi berikutan pandemik COVID-19, lapor Bernama.
“FDAM tidak menyangka Tengku Azlan menerima pelawaan persatuan dalam masa yang singkat sebaik sahaja saya dan Ketua Sekretariat FDAM Mohamad Zaini Hassan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau bagi mempersembahkan surat undangan secara rasmi awal minggu ini.
“Kami menyanjung tinggi keikhlasan Tengku menerima pelawaan kami. Rupa-rupanya Tengku seorang yang prihatin terhadap nasib anak seni.
“Dalam kesibukannya sebagai ahli perniagaan dan tokoh korporat, Tengku masih ada masa mengikuti perkembangan industri seni negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Azlan, 72, yang juga adinda kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal dari 1999 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2004 hingga 2008.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DIHARAP GEMILANG 60 RTM DIIKTIRAF OLEH MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR) – THE FIRST ORCHESTRA TO CELEBRATE 60TH ANNIVERSARY
KUALA LUMPUR: “Diharapkan Gemilang 60 RTM mendapat pengiktirafan daripada MBOR sebagai The first Orchestra to Celebrate 60th Anniversary dan doakan saya panjang umur dan diberi kesihatan yang baik kerana 22.02.22 adalah tarikh akhir saya sebagai penjawat awam,” kata Pengarah Muzik Radio Televsiyen Malaysia (RTM).
Pengarah Muzik (RTM) itu, Datuk Mokhzani Ismail telah bersama ORTM selama 29 tahun dan mengalami pelbagai kenangan dan perubahan serta turut mengukir sejarah peribadi dan ORTM bersama sehingga sekarang.
Beliau anak jati negeri Perlis, bermula sebagai guru lulusan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPIK), Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 1980-1981, di usia 20-an sudah menjadi guru terlatih di negeri kelahirannya, malah hati dan jiwa gurunya tetap ada.
Kemudian beliau ditawarkan biasiswa pada tahun 1986 untuk melanjutkan pengajian muzik peringkat ijazah di Berklee College of Music, Boston.
“Selepas tamat belajar di Amerika Syarikat, bermulalah perjalanan baharu saya di RTM, pada 1993 buat julung kali diberi tugasan memimpin Orkestra RTM di Konsert Senada Seirama dari Medan Indonesia.
“Konsert demi konsert sehingga tahun 1996, saya menjadi pengurus orkestra dan mengetuai Jazz band RTM ke Thailand International Jazz Fest dan sempat bertemu Sergio Mendes, Dave Valentine, Benny Carter, David Sanborn dan ramai lagi pemuzik handalan,” katanya .
Katanya, 29 tahun bersama ORTM dan orkestra ini terus melangkah ke depan, pada 1998 beliau ditawarkan ke Ambang Klasik TV3 tapi atas sebab tertentu beliau tidak dapat menerima tawaran itu.
“Tahun 1999 di usia 37 tahun saya diberi rezeki dilantik ke jawatan Pengarah Muzik RTM dan tahun yang sama Kerajaan Negeri Perlis menganugerahkan Dato Panglima Putra Jamallulail (DPPJ) membawa gelaran datuk.
“Tahun 1999 kerajaan persekutuan turut mengurniakan bintang Kesatria Setia Mahkota (KSM), 2003 sekali lagi rezeki untuk saya menerima anugerah dari kerajaan Pahang serta menerima bintang daripada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong,” katanya.
Mokhzani berkata, pada tahun 2006, turut mengadakan Konsert Malam Simfoni Irama Malaysia bagi merealisasikan impian Menteri Penerangan ketika itu, Tan Sri Zainuddin Maidin.
MBOR telah mengiktiraf Simfoni Putrajaya ORTM sebagai konsert simfoni terbesar yang mengadakan persembahan secara langsung di pentas terbuka yang diadakan pada tahun 2007.
ORTM tidak menoleh ke belakang dan terus melangkah ke hadapan bersesuaian dengan usianya yang semakin matang, pada 2009, 2010, 2011 dan 2012 membawa orkestra RTM ke Java Jazz Festival, selain itu beliau mengalas tugas untuk Konsert Gemilang 50 tahun pada tahun 2011.
MBOR turut mengiktirafkan ORTM sebagai The Longest Running Orchestra iaitu orkestra yang masih bergerak aktif sehingga sekarang.
“Pada tahun 2011, saya diberi peluang untuk memimpin Malaysia Philhamonic Orchestra (MPO) untuk Concert Chris Botti World Tour di Dewan Filharmonik, peluang yang diberi untuk berkerja bersama pemuzik professional.
“Saya bangga menjadi pemuzik ORTM dan rakyat Malaysia, pada 2015 saya memegang dua rekod Malaysia sebagai pemuzik pertama menjadi Endorsee (duta) jenama antarabangsa dan juga pemain piano pertama membuat persembahan secara langsung (live) dari Great Wall, “katanya.
Katanya, album pianonya, The Great Wall Comes Alive diterbitkan pada 2016, beliau juga turut menerima Anugerah Icon Leadership Award daripada Brand Laurreate, tahun 2017 dilantik sebagai profesor pelawat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pada tahun 2015 sehingga 2018, Mokhzani menjelajah untuk Masterclass dan Konsert Hagspiel di Luizhou Shenzen, Guanzhou Zhongshan, Shanghai , Beijing , Herbei , Tianjin dan Inter Mongolia.
Mokhzani berkata, pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020, semua aktiviti muzik turut mengikut norma baru, beliau sempat berkerjasama mengadakan persembahan secara maya bersama artis Singapura dan Indonesia termasuk Dato Shake di Paris, Perancis.
Beliau sempat mencipta dan mengubah lagu untuk petugas Frontliner “Satukan Jiwa” dan juga melakar sejarah menggabungkan 3 orkestra Malaysia Philhamonic Orchestra (MPO) , National Symphony Orchestra (NSO) dan ORTM untuk memainkan lagu tema Hari Kebangsaan “Malaysia Prihatin”.
Seterusnya Konsert Bangkit Malaysia pada Ogos 2020 dan pada tahun ini (2021), beliau bakal meneraju untuk meraikan Gemilang 60 ORTM sempena orkestra RTM ke-60 tahun dan diharapkan dapat memberi kepuasan kepada semua dan mencipta sejarah tersendiri.
Beliau pernah memenangi Skor Muzik Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 untuk filem Embun dan menulis lagu untuk artis-artis terkenal seperti Jamal Abdillah, Saleem, Azharina, Adibah Noor dan Mawi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Penyanyi Kau Ratnaku, Roy, 57, disahkan bebas positif COVID-19 selepas seminggu dirawat dan menjalani tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh.
Menerusi entri yang dimuat naik dalam laman Facebook (FB), Roy meluahkan rasa syukur apabila pulih daripada jangkitan virus berbahaya itu, petang ini.
“Alhamdulillah, saya sudah keluar hospital dan bebas COVID-19 tahap empat. Sebelum ini, saya berada tahap kedua yang bahaya, selain mengalami jangkitan kuman pada paru-paru sebelah kiri.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat FB di mana sahaja kerana sudi mendoakan kesejahteraan serta kesembuhan saya.
“Saya terharu atas doa ini, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka,” tulisnya, lapor BH Online.
Menurut Roy, pengalaman bergelar pesakit COVID-19 membuka matanya untuk lebih menghargai kesihatan.
“Saya sudah rasa dan hampir putus nyawa. Perkara ini boleh berlaku bila-bila masa dan di mana mana.
Justeru, saya harap anda semua dapat menjaga diri sebaik mungkin supaya tidak dijangkiti. Jika dijangkiti, ia mendatangkan masalah yang besar.
“Saya panjatkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan anda semua,” luahnya.
Selain Roy, isteri, dua cahaya mata dan adik ipar yang menetap bersamanya turut disahkan positif COVID-19, minggu lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!