ROM: Cristiano Ronaldo melanggar sekatan perjalanan COVID-19 dengan berkunjung ke sebuah resort pergunungan, menurut laporan media pada hari ini.
Ronaldo yang juga penyerang Juventus didakwa melakukan perjalanan ke Courmayeur, iaitu kira-kira 150 kilometer di barat laut dari markas kelab Serie A berkenaan, untuk sambutan ulang tahun kekasihnya, Georgina Rodriguez.
Juventus bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi AFP.
Rodriguez yang berusia 27 tahun pada Rabu lalu, menyiarkan video pasangan itu di atas kenderaan ski di Instagram.
Dia kemudian memadamnya, tetapi ia sudah diambil oleh beberapa laman berita Itali.
GAMBAR IHSAN AFP
Akhbar Gazzeta dello Sport mendakwa Ronaldo dan Rodriguez menghabiskan malam Selasa di sebuah hotel sebelum kembali ke Turin.
Mengikut peraturan COVID-19 Itali, pasangan itu sepatutnya tidak boleh meninggalkan bandar Turin.
Mereka berisiko didenda 400 euro (kira-kira RM1,963) setiap seorang.
Pemain bola sepak berusia 35 tahun itu pernah terbabit dalam kontroversi berkaitan COVID-19 sebelum ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Di sebalik kesenduan Liga Malaysia (Liga M) tanpa sebarang aksi ketika ini, namun arena bola sepak tempatan dikejutkan apabila Kuala Lumpur (KL) United dikhabarkan bakal diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan isu bekas jurulatihnya, Simon Elissetche.
Malah, bukan setakat dihadapkan ke badan induk antarabangsa itu, KL United juga dijangka perlu membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta secara keseluruhan selepas jurulatih daripada Chile itu ditamatkan kontrak tanpa alasan yang munasabah dan didakwa memiliki lesen profesional yang tidak sah, lapor BH Online.
Peguam kepada Simon, Zhafri Aminurashid menegaskan lesen dimiliki jurulatih itu sememangnya sah dan diiktiraf oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus menyaksikan lesen itu boleh diguna pakai.
“Ini adalah kes penamatan kontrak sebelah pihak di mana KL United tidak mahu meneruskan kontrak bersama Simon dengan alasan tidak munasabah.
“Jadi, kita akan mengambil dua tindakan iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya tertanya-tanya kerana takut lesen tidak sah.
“Tuntutan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani namun atas sebab yang hanya diketahui mereka, mereka tidak meneruskan kontrak bersama Simon.
“Kita akan meminta ganti rugi dengan anggaran RM500,000 untuk kes FIFA selain pampasan RM3 juta untuk tuntutan sivil. Simon begitu kecewa dengan perkara ini dan tidak mahu selesaikannya di luar mahkamah,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Sebelum ini, laporan media menyebut KL United memutuskan untuk mengambil jurulatih lain meskipun mengumumkan pelantikan Simon selepas sijil kejurulatihan bekas pengendali Timor Leste itu tidak diiktiraf AFC.
Sementara itu, Simon kecewa apabila berdepan situasi terbabit kerana dia begitu bersemangat untuk berkongsi pengalaman bagi membantu KL United dalam saingan Liga M musim ini.
“Saya kecewa apabila kelab menghantar surat dengan mengatakan bahawa KL United tidak mengupah saya dan kekecewaan itu bertambah apabila mereka menyiarkan berita yang mengatakan bahawa alasan mereka tidak mengambil saya adalah kerana lesen saya tidak memenuhi syarat AFC.
“Dengan tindakan yang saya mulakan dengan peguam, saya ingin membersihkan nama saya dan menunjukkan kemampuan dan profesionalisme saya sebagai jurulatih kepada semua orang.
“Saya berharap kejadian ini tidak lagi akan terjadi kepada jurulatih lain di Malaysia,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersetuju menamakan naib presidennya Datuk Amarjit Singh Gill sebagai calon Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) bagi sesi 2021-2025.
Keputusan sebulat suara itu dicapai menerusi Mesyuarat Exco PKBM yang dipengerusikan Presidennya Datuk Abu Samah Abd Wahab secara dalam talian, hari ini.
Menurut Abu Samah, keputusan mencalonkan Amarjit memandangkan bapanya Tan Sri Darshan Singh Gill pernah menerajui ACC dari 2001 hingga 2010, selain percaya dengan pengalaman luas dalam pentadbiran sukan berbasikal di peringkat kebangsaan dan Asia yang dimiliki Amarjit.
“Memang ini satu lakaran sejarah yang sangat unik kepada Malaysia. Saya amat berharap Amarjit akan memenangi pertandingan Presiden ACC bagi penggal 2021-2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) turut memaklumkan pencalonan Amarjit mendapat sokongan daripada kebanyakan negara ASEAN termasuk Presiden Persatuan Berbasikal Thailand (TCA) Jeneral Decha Hemkasri.
Sementara itu, Amarjit berterima kasih kepada PKBM kerana mencalonkan namanya untuk jawatan Presiden ACC bagi penggal 2021–2025, sambil memaklumkan beliau adalah individu pertama menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan berkenaan.
“Ini bukti komitmen tinggi daripada saya. Saya juga gembira kerana PKBM telah mengesahkan pencalonan saya, lapor Bernama.
“Ini sangat penting kerana ia bukti saya diterima sepenuhnya di peringkat nasional. Calon presiden ACC mesti disahkan oleh persatuan kebangsaan negara asal dan bukannya dicalonkan oleh negara lain,” katanya.
Amarjit bukanlah nama asing dalam pentadbiran sukan berbasikal di peringkat antarabangsa kerana beliau adalah salah seorang ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berpangkalan di Aigle, Switzerland, selain Bendahari ACC.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Hajat jaguh perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia untuk menebus kekecewaannya tewas kepada Chou Tien Chen di suku akhir Yonex Terbuka Thailand, dua minggu lalu tidak kesampaian.
Sebaliknya, Zii Jia terpaksa akur apabila tunduk sekali lagi kepada pemain Taiwan itu 16-21, 21-12, 11-21 pada aksi pertama Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, sebentar tadi, lapor BH Online.
Kekalahan dalam masa 57 minit itu menyaksikan jaguh negara itu tiada pilihan lain selain bangkit memenangi dua lagi aksi sekiranya berhajat mara ke separuh akhir.
Aksi menentang juara Toyota Terbuka Thailand dan Terbuka Thailand Yonex yang juga pilihan utama dari Denmark, Viktor Axelsen, esok akan menjadi misi hidup matinya.
Dia perlu menang jika mahu mara dan jika tewas hanya akan melengkapkan jadual menentang pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting pada Jumaat nanti.
GAMBAR HIASAN
Untuk rekod, tiga pertemuan antara Zii Jia dan Axelsen sebelum ini memihak kepada pemain dari Denmark itu dengan 2-1.
Kemenangan terbaru Axelsen ke atas Zii Jia adalah di separuh akhir Seluruh England 2020.
Kali pertama dan terakhir Zii Jia merekodkan kemenangan ke atas lawannya itu di Terbuka Korea 2019 dengan keputusan 21-18, 21-16.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CHELSEA: Bekas ketua jurulatih Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain (PSG) itu dengan kontrak pendahuluan sehingga hujung musim depan.
Individu berusia 47 tahun itu tidak mengemudi mana-mana pasukan sejak dipecat PSG bulan lalu.
Chelsea mengesahkan perkara itu dalam laman web rasmi mereka.
“Thomas Tuchel telah dilantik sebagai ketua jurulatih Chelsea yang baru,” kata kenyataan rasmi itu, lapor Agensi.
Tuchel dalam respons segeranya mengucapkan terima kasih kepada Chelsea FC atas keyakinan pasukan itu meletakkan kepercayaan kepada beliau.
GAMBAR IHSAN AGENSI
“Kami amat menghormati usaha Frank Lampard dan legasi yang diciptanya di Chelsea.
“Pada masa sama, saya tidak sabar untuk bertemu pasukan baru saya dan bersaing dalam liga bola sepak yang paling menarik.
“Saya bersyukur untuk kini dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Chelsea — ia perasaan yang luar biasa,” katanya.
Kemungkinan untuk kontrak Tuchel di Stamford Bridge dipanjangkan dan pengarahnya, Marina Gronavskaia, menggesa jurulatih itu untuk mengambil peluang berkenaan bagi meraih kejayaan segera musim ini.
“Ia tidak pernah mudah untuk menukar jurulatih pada pertengahan musim tetapi kami amat gembira untuk mendatangkan jurulatih terbaik di Eropah, Thomas Tuchel.
“Masih banyak untuk dilalui dan masih banyak untuk dicapai musim ini dan seterusnya.
Tuchel sudah memulakan sesi latihan pertamanya bersama Chelsea semalam.
Mereka akan berdepan Wolves di Stamford Bridge dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok sebelum melayani Burnley hujung minggu ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Jose Mourinho berkata pemecatan Frank Lampard adalah sebahagian daripada kekejaman bola sepak moden.
Chelsea memecat Lampard, semalam selepas 18 bulan mengendalikan The Blues dan bekas pengurusnya itu melahirkan simpati sambil menyifatkannya sebagai orang penting dalam kariernya.
Bercakap selepas kemenangan di Wycombe pada aksi Piala FA, Mourinho berkata beliau selalu merasa sedih apabila rakan kehilangan kerja, lapor Agensi.
“Frank bukan sahaja rakan sekerja, tetapi adalah orang penting dalam karier saya, jadi saya simpati dengan nasibnya.
“Tetapi ini adalah kekejaman dalam bola sepak, terutamanya bola sepak moden.
“Jadi, apabila anda menjadi pengurus, anda akan tahu bahawa cepat atau lambat, perkara itu akan berlaku ke atas anda,” tambahnya.
Lampard digantikan dengan bekas pengurus Paris Saint Germain, Thomas Tuchel yang sudah berlepas dari Paris ke London untuk mengendalikan pasukan itu.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Lampard mengetuai Chelsea ke kedudukan keempat Liga Perdana dan mara ke final Piala FA pada musim pertamanya.
Bagaimanapun dia gagal mencipta jangkaan lebih tinggi musim ini selepas kelab berkenaan membelanjakan £220 juta (RM1.217 bilion) membeli pemain baharu pada pasaran perpindahan pemain musim panas lalu.
Rentetan lima kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana menyebabkan Chelsea terjatuh ke tangga kesembilan, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United.
Kemenangan pada Piala FA, 3-1 mengatasi pasukan Liga Kejuaraan, Luton tidak cukup untuk menyelamatkan bekas pemain tengah England itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUENOS AIRES: Doktor peribadi Diego Maradona didapati memalsukan tandatangan legenda bola sepak itu untuk mendapatkan salinan rekod perubatannya, kata pendakwa raya yang mengesahkan perkara itu.
Leopoldo Luque ‘kantoi’ di tangan pakar penulisan tangan yang dipanggil untuk memeriksa dokumen yang dirampas selepas serbuan di rumah dan pejabat doktor itu.
Mereka membuktikan doktor terbabit memalsukan tandatangan untuk mendapatkan rekod perubatan sebelum pembedahan daripada sebuah klinik pada September lalu.
Maradona yang juga pemenang Piala Dunia itu meninggal dunia di rumahnya apabila terkena serangan jantung selepas pembedahan otak, November lalu.
Luque, 39, menafikan tuduhan daripada keluarga Maradona yang mendakwa bintang bola sepak itu tidak mendapat penjagaan yang sempurna,lapor Agensi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Orang yang ada jawatan dan baru saja jadi pemilik ini semua hanya pandai bercakap.
Itu antara sindiran pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menempelak segelintir pihak hanya banyak bercakap namun sebenarnya tidak mempunyai isi dalam industri bola sepak.
Tunku Ismail menerusi Instagramnya memaklumkan bahawa individu berkenaan sebenarnya tidak memberi sebarang sumbangan atau membantu industri bola sepak negara berada pada tahap yang lebih baik.
GAMBAR HIASAN
Katanya, individu terbabit seharusnya bercakap apabila sudah mencipta kejayaan atau menyumbang sesuatu kepada industri sukan nombor satu dunia itu seterusnya berhak bersuara menyatakan pendapat atau mengkritik pihak lain.
“Tetapi seorang pun tak beri apa sumbangan kepada bola sepak negara atau faham industri bola sepak. Semua cakap macam orang sudah banyak pencapaian dan kejayaan.
“Mula bercakap apabila anda ada beri sumbangan atau ada pencapaian dalam dunia bola sepak sebab sekarang ini anda hanya bercakap kosong,” katanya.
Selain itu, Tunku Ismail juga melihat industri bola sepak negara termasuk prestasi pasukan kebangsaan semakin meningkat terutama di peringkat antarabangsa.
“Semua pasukan sudah semakin kompetitif dan proaktif. Ranking pasukan kebangsaan akan semakin meningkat.
“JDT dan Kedah dalam AFC akan memberi sumbangan kepada ranking pasukan negara.
“Dulu hanya ada JDT sahaja dalam pertandingan AFC sekarang alhamdulillah ada Kedah dan Terengganu.
“Secara tidak langsung ranking akan naik, jadi yang ada ini nak publisiti dan tak tahu pasal bola baik diam saja,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu, beliau juga memberikan nasihat dan pendapat kepada pihak berkaitan jika mahu memajukan bola sepak dan pasukan kebangsaan perlu fokus kepada kelab terlebih dahulu.
“Kelab membangun, tahap liga dan infrastruktur bola sepak membangun maka tinggi ranking pasukan kebangsaan.
“Sekarang ini duduk diam-diam dan kalau tak faham datang sini.
“Secara tidak langsung ranking akan naik, jadi yang ada ini nak publisiti dan tak tahu pasal bola baik diam saja,” katanya.
Walaupun kenyataan Tunku Ismail tidak merujuk atau menyatakan lebih jelas siapa individu berkenaan, sebelum ini pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mempersoalkan ranking skuad Harimau Malaya di kedudukan ke-153 dunia meskipun menampakkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEPUTUSAN DIBUAT SELEPAS CHELSEA TEWAS LIMA DARIPADA LAPAN PERLAWANAN
CHELSEA : Pemecatan pengurusnya, Frank Lampard susulan lima kekalahan dalam lapan perlawanan yang meletakkan pasukan itu di tangga kesembilan dalam kedudukan Liga Perdana.
Lampard, yang membawa Chelsea ke kedudukan empat teratas dan final Piala FA dalam musim pertama pada 2019-20, gagal mendapat hasil yang diharapkan dari skuadnya walaupun kelab itu menghabiskan lebih 220 juta pound (AS$301.11 juta) musim ini, lapor Agensi.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Semalam, Chelsea menewaskan Luton Town 3-1 untuk mara ke pusingan kelima Piala FA.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar, terutama kerana saya mempunyai hubungan peribadi yang sangat baik dengan Lampard dan saya sangat menghormatinya.
“Dia seorang yang berintegriti tinggi dan mempunyai etika kerja yang sangat bagus.
“Namun, dalam keadaan semasa, kami percaya ini adalah langkah terbaik,” kata pemilik Chelsea, Roman Abramovich dalam satu kenyataan.
GAMBAR IHSAN AGENSI
“Ia keputusan yang tidak masuk akal. Pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Pasukan dan peminat selalu terburu-buru. Mereka tidak pernah belajar dari pengalaman,” kata bekas pemain antarabangsa England, Gary Lineker di Twitter.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini mengambil keputusan membatalkan beberapa kejohanan tahun ini sebagai langkah melindungi semua pihak berkepentingan susulan ketidakpastian dan risiko pandemik COVID-19.
Antara pertandingan tersebut adalah Kejohanan AFC Bawah-19 Tahun (B-19) yang dijadual di Uzbekistan dan B-16 di Bahrain.
Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata pembatalan kedua-kedua kejohanan itu selaras dengan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan Piala Dunia B-17, dan B-20 tahun ini, lapor Bernama.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua kejohanan B-19 dan B-16 berkenaan akan diteruskan pada 2023 dengan Uzbekistan dan Bahrain kekal menjadi tuan rumah.
Di samping itu, Bahrain akan menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Asia (AFC) B-17 manakala Uzbekistan pula menjadi hos Kejohanan Piala Asia (AFC) B-20, kedua-duanya pada 2023.AFC juga memutuskan untuk membatalkan Kejohanan Futsal AFC 2020 di Kuwait dan Bola Sepak Pantai Piala Asia 2021 di Thailand.
SETIAUSAHA AGUNG AFC, DATUK WINDSOR PAUL JOHN
Kedua-dua negara tersebut akan menjadi hos edisi seterusnya masing-masing pada 2022 dan 2023.
“Kami menghargai dan berterima kasih atas sokongan tuan rumah yang bersetuju dengan AFC perlunya menjaga kepentingan semua pihak dalam keadaan tidak menentu dengan mempertimbangkan risiko pandemik semasa,” katanya dalam kenyataan.
GAMBAR HIASAN
AFC juga turut menjadualkan semula pusingan kelayakan Kejohanan Wanita Piala Asia 2022 B-20 dan Kejohanan Wanita Piala Asia B-17 2022.
Pusingan pertama B-20 telah ditangguh dari Mac kepada 14 hingga 22 Ogos manakala pusingan kedua kelayakan dari Ogos kepada 3 hingga 7 November.
Pusingan kelayakan pertama B-17 telah diubah dari April kepada 18 hingga 28 September dan pusingan kedua dari September kepada 8 hingga 12 Disember.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!