LONDON: Liverpool terus ditimpa malang apabila tewas 1-3 kepada Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power sebentar tadi.
Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dialami Liverpool pada saingan liga, sekali gus menyaksikan mereka kekal menghuni tangga keempat dengan 40 mata.
GAMBAR IHSAN TWITTER
Sebaliknya, Leicester melonjak ke tangga kedua apabila merekodkan 46 mata – satu mata meninggalkan Manchester United yang bakal menentang West Bromwich pada Ahad.
Sebelum aksi berdepan Leicester, The Reds mengalami kekalahan 0-1 kepada Brighton pada 4 Februari sebelum tewas 1-4 di tangan pendahulu, Manchester City di Anfield empat hari kemudian, dipetik dari Sinar Harian.
Dalam pertemuan sebentar tadi, Liverpool terlebih dulu berada di depan hasil jaringan penyerang berbisa, Mohamed Salah yang menyudahkan umpanan cantik Roberto Firmino pada minit ke-67.
GAMBAR IHSAN TWITTER
Bagaimanapun, malapetaka mula menimpa Liverpool apabila James Maddison berjaya menyamakan kedudukan buat Leicester hasil sepakan percuma pada minit ke-78.
Berselang tiga minit kemudian, Leicester memperoleh gol kedua menerusi jaringan Jamie Vardy akibat kesilapan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker dan pertahanan baharu The Reds, Ozan Kabak.
Leicester mengesahkan kemenangan bergaya di laman sendiri apabila bintang muda, Harvey Barnes meledak gol ketiga The Foxes pada minit ke-85.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Hanya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang boleh menewaskan Harimau Selatan!
Itu pandangan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh selepas dia sekali lagi menjangkakan skuad Harimau Selatan itu akan terus mendominasi saingan Liga Super sekali gus merangkul kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut.
Sekalipun dia merasakan skuad bagi musim 2021 tidak sebaik seperti yang pernah ditonjolkan oleh skuad beberapa tahun sebelum ini, namun bekas penasihat global Blackburn Rovers itu tetap percaya skuad bimbingan Benjamin Mora itu sukar untuk dijinakkan.
“Mungkin pemain bagi skuad musim 2021 tidak sebaik skuad terdahulu kerana mereka sebelum ini ada pemain lebih baik sebagai contoh Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz, lapor BH Online.
“Tetapi dengan kekuatan yang ada, saya jangkakan mereka akan tetap menjadi pilihan.
“Konsistensi mereka pada setiap perlawanan menjadi faktor terbesar yang membantu mereka sehingga menjulang tujuh kejuaraan berturut-turut sebelum ini selain kecemerlangan pemain seperti Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid yang sentiasa mampu berbuat sesuatu ketika diperlukan.
“Jadi, sekarang ini hanya pemain JDT sahaja yang boleh menyebabkan JDT tewas contohnya masalah prestasi atau permainan yang tidak menjadi. Bagaimanapun, kejuaraan kelapan tetap akan menjadi milik mereka pada musim ini.
“Tetapi pasukan lain pun perlu juga bekerja keras. Jangan sekadar harap JDT untuk keciciran mata, sebaliknya mereka juga perlu sentiasa meraih keputusan yang konsisten untuk mencabar JDT,” katanya.
Dalam masa sama, Serbegeth yang mesra disapa Shebby itu menganggap kepulangan bekas kapten, JDT, Safiq Rahim yang kembali menyertai pasukan itu bagi musim ini sebagai satu langkah yang dinantikan.
GAMBAR HIASAN
“Kita dapat lihat selepas pemergian Safiq yang meninggalkan JDT sebelum ini, JDT seakan kurang pemimpin di atas padang. Tetapi dengan adanya pemain tengah itu bersama pasukan, ruang kosong itu kembali dapat diisi,” katanya.
Terdahulu, Maharaja Liga Super itu mengumumkan senarai penuh pemain yang bakal menggalas cabaran JDT untuk mengharungi musim 2021.
Tidak banyak perubahan dapat disaksikan dengan hanya empat pemain baharu disenaraikan bagi skuad 2021 iaitu Jonathan Herrera, Daniel Amier Norhisham, Mohamadou Sumareh dan juga Safiq.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Liga Bola sepak Malaysia (MFL) menegaskan penangguhan tidak dapat dilakukan sekali gus menyaksikan keputusan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac ini perlu dilakukan demi kepentingan kelangsungan aksi domestik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan keputusan itu dicapai selepas mendapat pandangan dan persetujuan daripada rakan kongsi liga menerusi mesyuarat dalam talian bersama CEO pasukan, semalam.
Katanya, MFL selaku pengendali Liga M amat memahami kekangan setiap pasukan yang berdepan kesukaran untuk mengharungi persiapan musim baharu namun keputusan sepak mula pada 5 Mac adalah langkah terbaik khususnya kepada skuad kebangsaan dan survival industri bola sepak domestik.
GAMBAR HIASAN
“Ini adalah keputusan yang relevan dan ia mendapat sokongan daripada setiap wakil kelab ketika mesyuarat dalam talian bersama CEO pasukan semalam.
“Pasukan kebangsaan meminta untuk membuat persiapan akhir dan mengadakan kem latihan pusat pada bulan depan.
“Ini sangat penting memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sudah setahun tidak berlatih bersama.
“Perjuangan pasukan kebangsaan adalah agenda nasional di mana wakil kelab rasa bertanggungjawab dalam memastikan Harimau Malaya berada dalam landasan terbaik untuk mendapat slot automatik ke pentas Piala Asia 2023,” katanya, dipetik dari BH Online.
Pada masa sama, Ghani menjelaskan MFL komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh membabitkan 22 perlawanan dan sudah pasti ada risiko sekiranya kalendar Liga M tidak dapat bermula seperi dirancang.
“Kami tidak mahu mengambil risiko yang akan memberi kesan kepada penajaan selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Piala Cabaran terpaksa diambil jika kalendar Liga M bermula lebih lambat.
“Selain faktor cuti perayaan umum, tarikh kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta aksi AFC membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC (TFC) turut diambil kira.
“Jadi sukar untuk MFL menunda lagi tarikh sepak mula Liga M 2021 kerana ia jelas akan menjejaskan perjalanan kalendar pertandingan musim ini.
“Kami akan berusaha untuk memastikan perjalanan kalendar Liga M berjalan lancar terutama dalam pandemik COVID-19,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh digesa tampil membersihkan nama Selangor FC di sebalik pembocoran tawaran kontrak diberikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kepada beliau musim lalu.
Tonggak skuad kebangsaan itu turut disaran membuat permohonan maaf atas screen shot perbincangan antara dia dan pegawai FAS yang tular sehingga mengaitkan nama Selangor FC dalam kontroversi isu penamatan kontrak bersama Pahang.
Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata pembocoran maklumat sulit itu tidak mencerminkan sikap profesional dan tanggapan buruk yang wujud terhadap Selangor FC disebabkan keadaan itu amat mendukacitakan seluruh peminat skuad Gergasi Merah.
Katanya, Sumareh perlu berterus-terang selepas Selangor FC diburukkan dengan anggapan pasukan berkenaan yang menjadi dalang Sumareh mengambil keputusan menamatkan baki kontrak sehingga 2022 bersama skuad Tok Gajah sekali gus menyertai kelab Liga Thailand, Police Tero FC.
KHALID ALI
“Selangor diburukkan sehingga ramai marah termasuk Pahang. Jadi sekarang kita tahulah keadaan sebenar perancangan dia (Sumareh) ingin ke JDT.
“Tak dinafikan dengan fasiliti dan masa depan yang baik, ramai pemain di Malaysia ingin bermain di sana,” katanya kepada Bernama, hari ini.
“Tetapi ketika ini sebagai bekas pemain Selangor saya kecil hati dan dukacita sebab sebenarnya bukan Selangor menjadi punca tetapi Selangor yang dikecam.. dia kena tampil ke hadapan dan ceritakan keadaan sebenar di sebalik perkara itu,” katanya.
Mengulas mengenai isu Sumareh dan Pahang, Khalid dilaporkan pernah berkata, keputusan Sumareh menyertai Police Tero FC pada September lalu mungkin sebagai satu persinggahan sementara dan suatu tempoh bertenang sebelum menyertai pasukan seterusnya.
Sejurus itu, tular di media sosial salinan tawaran kontrak FAS kepada Sumareh serta screen shot perbualan mengenai perpindahan kononnya antara dia dan pegawai FAS, sekali gus menamatkan khabar angin bertiup kencang mengaitkan JDT dalam kemelut itu, sebelum ini.
Jelas Khalid, FAS ketika itu seperti dijadikan kambing hitam sedangkan persatuan itu bertindak secara profesional apabila berbincang bersama pemain terlebih dahulu sebelum melakukan usaha mencapai persetujuan di peringkat antara kelab.
GAMBAR HIASAN
“Jelas tindakan dan permainan politik dia itu memang hanya beri kesan negatif kepada Selangor dan mencemar nama baik Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden FAS.
“Jadi dia (Sumareh) kena minta maaf atas perbuatan dia itu yang sehingga kini kita rasa tindakan itu tidak patut dihormati,” katanya.
Semalam, Sumareh, yang juga pemain naturalisasi pertama negara, sah diperkenalkan sebagai pemain baharu JDT musim 2021 selepas lebih sebulan dilaporkan meninggalkan Police Tero FC pada Disember lalu.
Sementara itu, legenda bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail enggan mengulas mengenai kemelut Pahang dan Sumareh yang kini dirujuk ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun beliau menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada kontroversi itu.
Bekas pertahanan kental skuad kebangsaan, bagaimanapun menggesa pasukan tempatan supaya lebih profesional dan serius berhubung soal gaji, kontrak dan kebajikan untuk memastikan pemain berasa selamat sekali gus beraksi dengan baik.
Selain menamatkan kontrak bersama Pahang tahun lalu, Sumareh turut membuat aduan rasmi kepada FIFA selepas mendakwa terdapat keculasan berhubung pembayaran gaji ketika bersama Pahang.
FIFA baru-baru ini dilaporkan mengarahkan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) membayar tuntutan berjumlah AS$1.2 juta (kira-kira RM4.9 juta) kepada Sumareh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AL-RAYYAN, Qatar: Robert Lewandowski berkata Bayern Munich bersemangat untuk memburu gelaran keenam dalam tempoh setahun selepas mara ke final Piala Dunia Kelab.
Bayern mara ke final selepas jaringan Lewandowski memberikan kemenangan 2-0 ke atas juara Afrika Al Ahly pada aksi separuh akhir di Qatar.
Juara Eropah itu akan bertemu Tigres pada final Khamis ini selepas kelab Mexico itu menewaskan gergasi Brazil Palmeiras dalam satu lagi aksi separuh akhir Ahad lalu.
“Ia perlawanan yang bagus dan kami sudah bersedia untuk final,” kata Lewandowski.
Penyerang Poland itu meletakkan Bayern di depan pada minit ke-17 di Stadium Ahmed Bin Ali, gelanggang untuk Piala Dunia 2022 di Qatar.
Dia kemudian memastikan kemenangan dengan menanduk hantaran lintang Leroy Sane empat minit sebelum tamat permainan, lapor AFP.
Penjaring terbanyak Bundesliga itu kini sudah meledak 29 gol dalam 27 perlawanan kelab berkenaan musim ini.
Bayern berpeluang menjadi pasukan kedua selepas Barcelona pada tahun 2009 memenangi kesemua enam kejohanan domestik dan antarabangsa dalam tempoh semusim.
Gergasi Jerman itu sudah menjulang trofi Bundesliga, Piala Jerman, Liga Juara-Juara, Piala Super Jerman dan Piala Super UEFA tahun lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
STADIUM SULTAN IBRAHIM TERCALON ANUGERAH TERBAIK 2020
KUALA LUMPUR: Gelanggang rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim tercalon pada Anugerah Stadium Terbaik 2020 anjuran sebuah laman sesawang berpengkalan di Poland.
Perkembangan itu dimaklumkan JDT dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers, hari ini, lapor BH Online.
“Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim adalah antara calon bagi anugerah 2020 Stadium of the Year dari laman sesawang Poland StadiumDB.com.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS
“Stadium Sultan Ibrahim adalah stadium pertama di Malaysia yang dicalonkan dan merupakan antara 20 stadium di seluruh dunia yang tersenarai untuk edisi semasa,” kata kelab itu.
Peminat boleh membuat undian di laman web rasmi stadiumdb. com dengan tempoh undian akan berakhir pada 7 Mac ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Lewis Hamilton akhirnya bersetuju menandatangani kontrak baharu bersama Mercedes – yang dianggarkan bernilai 40 juta pound (RM222 juta).
Pelumba Britain yang tidak memiliki sebarang kontrak sejak 1 Januari lalu terus komited untuk bersama Mercedes untuk tempoh setahun lagi.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Kontrak itu hanya untuk setahun dan ia termasuk sumbangan kebajikan untuk meningkatkan kepelbagaian dalam Formula Satu (F1), lapor Agensi.
Hamilton akan berlumba untuk musim ke-15 dalam F1 dan memburu gelaran dunia kelapan – untuk memintas rekod yang ketika ini dikongsi bersama legenda, Michael Schumacher.
Hamilton ketika ini sudah memegang rekod kemenangan terbanyak (95), petak utama terbanyak (98) dan penamat podium terbanyak (165).
Mercedes menjelaskan kontrak baharu itu akan membentuk yayasan kebajikan secara bersama dengan misi untuk menyokong kepelbagaian yang lebih besar dan penyertaan dalam semua bentuk sukan permotoran.
“Saya teruja untuk musim kesembilan saya bersama rakan sepasukan Mercedes.
“Pasukan kita mencapai banyak perkara yang hebat dan kami tidak sabar untuk terus menempa kejayaan selain menjadi bertambah baik di dalam mahupun di luar trek.”
GAMBAR IHSAN AGENSI
“Saya bertekad untuk meneruskan perjalanan yang kita mulakan untuk menjadikan sukan permotoran lebih meluas untuk generasi seterusnya dan saya bersyukur Mercedes menyokong usaha saya ke arah itu.
“Saya bangga untuk mengatakan yang kita akan meneruskan usaha itu pada tahun ini dengan melancarkan yayasan yang didedikasikan untuk kepelbagaian dan penyertaan bagi sukan ini.
“Saya teruja dengan usaha yang boleh kita bina bersama dan saya tidak sabar untuk kembali ke litar bulan depan,” kata Hamilton.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIS: Perlawanan Liverpool menentang RB Leipzig dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, 17 Februari ini akan berlangsung di Budapest susulan peraturan ketat pandemik COVID-19 yang melarang juara Inggeris itu ke Jerman.
“Aksi pusingan pertama itu akan berlangsung di Puskas Arena di Budapest,” menurut kenyataan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
GAMBAR IHSAN AFP
Badan induk itu dalam kenyataannya turut berterima kasih kepada dua kelab terbabit di atas kerjasama dan bantuan dalam mencari jalan penyelesaian selain Persekutuan Bolasepak Hungary yang memberi sokongan dan persetujuan menjadi tuan rumah perlawanan.
Pengesahan Budapest sebagai tuan rumah mengakhiri tanda tanya mengenai venue perlawanan susulan larangan ke Jerman bagi membendung penularan pandemik.
GAMBAR IHSAN AFP
Peraturan UEFA menjelaskan tuan rumah perlu mencari penyelesaian menganjurkan perlawanan atau berdepan risiko kekalahan 3-0.
Keputusan pihak berkuasa Je5trman yang melarang sebarang aktiviti penerbangan turut mencetuskan tanda tanya dalam satu lagi saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara membabitkan Borussia Moenchengladbach yang menerima kunjungan Manchester City pada 24 Februari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ketika heboh berita mengenai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar AS$1.2 juta (kira-kira RM4.9 juta) kepada Mohamadou Sumareh, timbul juga cerita lain mengenai pemain itu.
Ia selepas bekas pemain Pahang itu didakwa bakal menyertai pesaing skuad Tok Gajah yang juga juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkhabaran itu kini bertiup kencang di media sosial dengan ada yang mendakwa pemain berusia 26 tahun itu semakin hampir menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu.
Bagaimanapun belum ada kenyataan rasmi daripada Sumareh atau pun JDT sendiri mengenainya.
Malah, ketika dihubungi BH Sukan untuk mendapatkan komennya mengenai arahan FIFA kepada PBNP juga, pemain naturalisasi pertama negara itu tidak memberikan sebarang respon.
Sebelum ini Sumareh berkelana ke Liga Thailand bersama kelab Police Tero FC selama beberapa bulan selepas meninggalkan Pahang dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.
Dia kemudian mengesahkan kembali ke Malaysia sambil menyifatkan pengalaman bersama Police Tero di Liga Thailand memberi banyak faedah buat kariernya.
Bukan berita mengejutkan jika benar Sumareh menyertai JDT kerana sebelum ini sudah banyak spekulasi mengaitkannya dengan skuad Harimau Selatan terutama selepas nekad meninggalkan Pahang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Jersi baharu Selangor FC (SFC) sememangnya laku keras selepas 6,000 helai jersi laman sendiri bagi musim 2021 itu habis terjual kurang daripada tempoh 48 jam menerusi kedai dalam talian dan semua vendor pengeluar jersi rasmi, Joma.
Namun, penyokong tidak perlu bimbang selepas pasukan itu dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya akan menambah 1,600 helai lagi stok baharu selewat-lewatnya esok di kedai atas talian SFC.
“Ini adalah untuk mereka yang tidak berkesempatan membelinya sebelum ini manakala edisi penyokong pula akan mula dijual selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
“Pihak pengurusan SFC amat menghargai dan berterima kasih kepada semua penyokong Red Giants atas sambutan yang hangat untuk jersi laman sendiri pertama SFC. Teruskan menyokong pasukan Merah Kuning,” kata pasukan itu.
Untuk rekod, pelancaran jersi itu yang berlangsung pada Isnin lalu mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menarik sebanyak lebih 6,300 tontonan secara langsung ketika ia dilancarkan secara atas talian di platform Facebook SFC.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK SFC
Tidak seperti tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 menyaksikan SFC tidak dapat menganjurkan Hari Bola Sepak Selangor yang menjadi medan untuk memperkenalkan jersi pasukan selain majlis pengenalan pemain dan sesi pertemuan pihak pengurusan dengan penyokong.
Menjadi pasukan pertama yang melancarkan jersi bagi musim 2021, SFC menerima pelbagai respon positif daripada penyokong Selangor dan juga pemerhati bola sepak Malaysia untuk rekaan jersi yang diinspirasikan daripada pasukan yang menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 1986.
Selain menerima komen positif di laman sosial, jersi retro bertemakan Legasi Mokhtar Dahari yang turut menerapkan elemen bunga tanjung itu turut mendapat perhatian portal sukan di dalam dan luar negara terutamanya daripada Indonesia.
Ini kerana salah seorang pemain legenda mereka, Ristomoyo Kassim juga adalah sebahagian dari skuad 1986 dan turut menjaringkan gol pada perlawanan final terbabit.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!