KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO kira-kira 4 jam yang berlangsung di PWTC malam tadi memutuskan untuk terus bersama kerajaan Perikatan Nasional.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media memaklumkan, UMNO akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk terus menumpukan kepada usaha mengendurkan ketegangan politik semasa, lapor BH Online.
“Ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional dan menggesa penambahbaikan prinsip kerjasama berpaksikan nilai penghormatan dan politicalconcensus,” katanya.
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN UMNO
Selain itu, mesyuarat memutuskan agar usaha RekonsilasiNasional dapat segera dilaksanakan, merangkumi pembabitan parti dalam Perikatan Nasional dan pembangkang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: UMNO Bahagian Jerantut melihat keputusan Yang Dipertuan Agong tidak mengisytiharkan sebagai satu tindakan yang bijak.
Ketua Bahagian UMNO Jerantut, Datuk Nazri Ngah, berkata, pemimpin dan ahli akar umbi UMNO Jerantut menyokong sepenuhnya titah Seri Paduka Baginda memintakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi tumpuan kepada usaha menangani COVID-19.
“Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat pada masa ini dan usaha berterusan adalah lebih penting bagi menghadapi COVID-19.
“Kerajaan harus menumpukan kepada pemulihan ekonomi negara dahulu daripada nelayani karenah politik pada masa ini.
“Sehubungan itu, semua pihak hendaklah patuh kepada keputusan ini terutamanya menghentikan politiking yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata pada masa ini adalah wajar kerajaan menumpukan usaha menangani COVID-19 dan berusaha memulihkan ekonomi negara.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CAMERON HIGHLANDS: Semua pihak wajar menghormati dan menghayati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Mesyuarat Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara, petang semalam.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali berkata, sudah sampai masanya pihak kerajaan dan pembangkang berhenti berbalah dan menumpukan sepenuhnya kepada agenda pemulihan negara yang masih terkesan akibat COVID-19.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali
“Kami di pihak BERSATU Cameron Highlands sangat menyembah takzim dan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berharap ahli politik lain juga dapat menerima (keputusan) dengan hati terbuka.
“Saranan Seri Paduka supaya semua pihak berhenti berpolitik adalah sangat tepat dan bersesuaian dengan situasi politik semasa (dalam negara) yang begitu kurang menarik di mata pelabur dari luar.. sudah tentu ia akan menjejaskan perancangan kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau turut menggesa semua parti politik dalam kerajaan Perikatan Nasional dapat terus bersama-sama membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas membantu rakyat dengan lebih lancar.
Katanya, kerajaan Persekutuan ketika ini sangat prihatin dengan kesukaran didepani rakyat sejak COVID-19 mula melanda Malaysia awal tahun ini.
“Kita sudah melihat kesukaran dihadapi kebanyakan rakyat ketika fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu… kerajaan Persekutuan sudah cuba sedaya upaya memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat dan ini adalah antara usaha yang perlu diteruskan.
“Sudah pasti kita sangat meminta kerjasama semua pihak untuk berhenti bermain politik kerana wabak COVID-19 masih belum menunjukkan akan berakhir dalam masa terdekat… biarlah kerajaan Persekutuan meneruskan usaha membantu rakyat dan hormatilah titah Yang di-Pertuan Agong, demi kebaikan kita semua,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: UMNO memanggil semua anggota Majlis Kerja Tertingginya (MKT) hadir mesyuarat penting malam ini yang dijadual bermula jam 8 malam.
Mesyuarat itu antara lain akan memperincikan pelbagai cadangan dan pendapat yang dikemukan hasil pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) petang ini.
Antara yang utama, memuktamadkan pendirian UMNO dan BN sama ada kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika ini atau sebaliknya.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, ketika dihubungi mengesahkan semua ahli MKT dipanggil untuk hadir mesyuarat itu.
“Semua ada (dipanggil),” katanya ketika ditanya sama mesyuarat malam ini hanya akan membabitkan ahli MKT tetap saja atau termasuk ahli MKT lantikan.
Keputusan berkait sokongan kepada PN yang dijangka diambil pada mesyuarat malam ini dilihat penting berikutan perkembangan politik semasa.
Pertemuan Ahli Parlimen BN petang ini, yang majoritinya dari UMNO, membuat keputusan untuk memberi mandat kepada ahli MKT UMNO menentukan keputusan akhir.
BH Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Semua parti politik di negara ini mesti bersedia untuk duduk bersama di meja rundingan dan mencapai satu ‘Konsensus Nasional’ demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, berkata Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu membuat keputusan bersejarah dengan tidak bersetuju cadangan pengisytiharan darurat, namun semua pihak tidak seharusnya mengambil kesempatan, susulan perkembangan itu.
“Ahli politik perlu menghormati nasihat Yang Di-Pertuan Agong untuk mengetepikan perbezaan dan perbalahan politik supaya fokus utama kita dapat diberikan kepada usaha memerangi wabak COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara.
“Saya berpendapat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya tidak boleh meneruskan cara pentadbiran secara “business as usual” dan perlu bekerjasama dengan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anthony yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, berkata semua parti yang mempunyai wakil dalam Parlimen juga perlu bersama-sama mencari formula terbaik bagi mencapai beberapa objektif dan persefahaman, antaranya bersetuju supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak diadakan sehingga 2023.
Katanya, semua parti juga perlu bersetuju supaya sistem demokrasi berparlimen dipertahan dan berfungsi seperti biasa mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, selain mencapai kesepakatan untuk merangka dan meluluskan Belanjawan 2021 serta rang undang-undang yang lain.
“Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara ialah payung kepada seluruh rakyat Malaysia. Baginda menunjukkan kepemimpinan yang sangat disegani dan dihormati.
“Kini, tibalah masa untuk pemimpin politik menyahut nasihat baginda dan mencari jalan untuk mencapai satu Konsensus Nasional,” katanya.
BH Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM: Susulan kenyataan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang menggesa Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhenti mengadakan sidang media harian jika tiada pengumuman substantif yang dapat membantu rakyat, Puteri UMNO tampil memberikan respons hari ini.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, beliau setuju sekiranya sidang media tersebut dihentikan sekiranya ia sekadar propaganda dan fitnah memburukkan pihak lawan seperti yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Zahida Zarik Khan
“Bagi rakyat di bawah, setiap kemas kini maklumat harian berkenaan perkembangan COVID-19 yang disampaikan (Ismail Sabri) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah amat penting.
“Masa 22 bulan jadi kerajaan, berapa banyak bantu rakyat? Selain 30 ringgit? Kalau DAP tak berminat, sila tutup televisyen dan telefon pintar kalian. Mudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Yeoh yang juga ahli Parlimen Segambut menerusi kenyataan beliau hari ini turut menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) memuktamadkan semua prosedur operasi standard (SOP) sebelum dikeluarkan tanpa orang ramai perlu menunggu pengumuman kementerian lain sebagai rujukan.
Hannah Yeoh
Menurutnya, SOP panduan bekerjadarirumah (BDR) yang diumumkan sebelum ini terlalu umum dan sangat mengelirukan.
Jelasnya, arahan yang mengelirukan dan setengah masak mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat terutama komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga.
Sumber: SinarHarian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyambut baik pengumuman UMNO melaksanakan gencatanpolitik dan menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional.
Malah, kata Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, langkah itu patut dicontohi semua parti politik ketika kerajaan sedang berusaha untuk memutuskan penularan COVID-19.
TIMBALAN PRESIDEN BERSATU, AHMAD FAIZAL AZUMU
Beliau yakin, rakyat juga mahukan ahli politik, baik kerajaan mahupun pembangkang, bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan ekonomi, seterusnya membantu rakyat yang terkesan.
“Ini fokus yang saya kira semua pemimpin patut sambut baik dan saya harap tak ada lagi pemimpin-pemimpin yang mendakwa itu ini dan mengambil masa DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap (untuk tujuan) nak tubuh kerajaan dan sebagainya.
“Semua orang bagi sokongan kepada kerajaan sedia ada demi kebaikan rakyat dan apabila tiba masanya, saya percaya Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kalau dibubarkan Parlimen dan sebagainya, berpolitiklah balik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak ditemui selepas majlis penyampaian insentif kemenangan sukan hoki dan kriket di sini, hari ini.
Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO melakukan gencatanpolitik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.
PRESIDEN UMNO, AHMAD ZAHID HAMIDI
Menurutnya, parti itu juga dalam masa sama mengambil pendirian untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kegawatan ekonomi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menegaskan akan menolak sebarang kerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mahu pun mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP.
KETUA PEMUDA UMNO, DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penolakan itu dibuat kerana tidak mahu menjadi sebahagian daripada usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada, yang menurutnya hanya bertujuan untuk memenuhi cita-cita ahli Parlimen Port Dickson itu untuk menjadi Perdana Menteri.
“(Pemuda UMNO) menolak sebarang kerjasama dengan Anwar mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi hasrat beliau menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini, lapor Malaysiakini.
Jelas Asyraf berkata ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO yang bermesyuarat secara dalamtalian malam tadi.
“Mesyuarat juga memutuskan menyokong gencatan politik sebagaimana yang disarankan presiden UMNO.
“Ia sekali gus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran Pandemik COVID-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda,” katanya.
Kenyataan itu hadir selepas semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatanpolitik susulan COVID-19 dan menegaskan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
PRESIDEN UMNO, DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mendukung kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara.
Dalam kenyataan sama, Asyraf Wajdi mendesak agar kerajaan segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan.
“Pemuda UMNO juga menyarankan kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh 3 bulan lagi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Pemuda UMNO turut memohon Kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta.
“Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS bersetuju mendaftar Muafakat Nasional secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Muafakat Nasional dalam satu kenyataan memaklumkan, kepemimpinan gabungan itu juga sepakat memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), lapor BH Online.
“Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional yang dijadualkan semalam, ditangguhkan seiring arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kepemimpinan Muafakat Nasional bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi PRU-15.
“Kepemimpinan kedua-dua parti (UMNO dan PAS) bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi dengan ROS,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Agung I yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung II merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata beliau telah mengemukakan satu usul supaya Dewan Rakyat akan datang menangguhkan terlebih dahulu urusan kerajaan buat sementara untuk memberi laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri didengar dan diputuskan.
Beliau berkata usul itu penting bagi memastikan keabsahan sokongan terhadap Muhyiddin, sekali gus menentukan kestabilan politik negara.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik
“Saya sebagai Ahli Parlimen telah menghantar satu usul di bawah Peraturan 90(2) untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15(1) dan beberapa peraturan mesyuarat lain yang berkaitan agar PM tak lagi boleh berselindung di sebalik teknikal undang-undang,” menurutnya dalam kenyataan media menerusi ciapan dan bebenang di akaun Twitter rasmi beliau hari ini.
Maszlee berkata usul menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15(1) di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa urusan kerajaan perlu didahulukan berbanding urusan lain itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun pada 16 Oktober lalu.
“Bererti melalui usul ini, saya telah meminta Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan kerajaan ditangguhkan sementara dan usul undi tidak percaya yang dibawa Yang Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) terhadap Perdana Menteri dibaca dan diputuskan terlebih dahulu,” katanya.
Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pertama kali dikemukakan oleh Dr Mahathir pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu selepas diterima bekas Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof dan dibawa pada persidangan Julai.
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad
Usul itu bagaimanapun tidak sempat dibahaskan.
Pada 14 Oktober lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula 2 November depan.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berpandangan usul tersebut penting dalam menentukan bahawa Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Rentetan gesaan itu, pada 16 Oktober lepas, seramai 16 Ahli Parlimen mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas dijadual berlangsung dari 2 November sehingga 15 Disember. Persidangan kali ini akan turut menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021, yang dijadualkan pada 6 November ini.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!