JERANTUT : Orang ramai perlu berhati-hati kerana Jalan Jerantut – Kuala Lipis mula digenangi air sedalam 0.10 meter dan pada jarak sepanjang 10 meter bermula pada jam 6.00 petang, hari ini.
Laluan FT : 234 di Seksyen 43.05 itu terletak di Kampung Sepial, Kuala Tembeling menunjukkan trend menaik.
Orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif, FT : 64 – Jalan Benta – Maran untuk ke Kuala Lipis atau sebaliknya. Keadaan cuaca mendung dan hujan renyai masih berlaku.
Menurut bacaan yang dikemaskini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut dan Roadcare (M) Sdn. Bhd. P5 – Maran, sekiranya air naik sehingga 0.35m – jalan ditutup kepada kenderaan ringan dan bacaan pada paras 0.76m – jalan akan ditutup kepada semua kenderaan. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
M Nasir terima ijazah doktor kehormat dan Nash terima ijazah sarjana
Datuk M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed dalam perjalanan seninya selaras dengan industri muzik dan seni kreatif telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan di Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 yang akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.
M Nasir antara penerima 7,172 graduan menerima ijazah masing-masing bermula 23 hingga 30 November 2024 yang melibatkan 154 graduan penerima Ijazah Doktor Falsafah; Ijazah Sarjana ( 943); Ijazah Sarjana Muda (4,768); Diploma (755) serta 552 graduan akan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
Pengalaman M Nasir dalam dunia seni selama lebih empat dekad melayakkan beliau menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak tahun 2021, manakala Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui MoU sejak dari tahun 2016 sehingga sekarang
Prof Md Amin berkata, sumbangan M Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik dan mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.
Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats yang bertajuk “Senandung Semalam” pada tahun 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah “Hujan” yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity.
Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani, berkata selain M Nasir, pada sesi pertama juga menyaksikan Datuk Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.
Nash yang aktif sebagai penyanyi bermula tahun 1986 pernah menganggotai kumpulan Lefthanded terkenal dengan lagunya “Pada Syurga Di Wajahmu” (1922) dan “Zahir Tak Terucap (1993).
Dua insan seni itu turut mempersembahkan nyanyian masing-masing sebagai selingan pada sesi pertama di hadapan Tuanku Zara, pengurusan tertinggi dan graduan yang hadir.
Pada sesi pertama juga penghargaan diberikan kepada graduan terbaik melalui anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran DiRaja dan Pingat Emas Canselor. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN -Tindakan tegas kerajaan negeri memusnahkan 101 hektar kebun durian musang king di Batu Talam Raub tiga tahun lalu masih tidak menakutkan penceroboh tanah haram yang dikesan menceroboh tanah seluas 404 hektar di kawasan Sungai Perdak di Bentong.
Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata tanah kerajaan yang terletak di kawasan tersorok dan tersepit antara Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan dan bersempadanan dengan Negeri Sembilan itu didapati ditanam dengan pokok durian.
“Sebagai langkah tegas saya telah mengarahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan UPNP telah melakukan serbuan ke kawasan terbabit hari ini dan menyita rumah pekerja serta peralatan yang ditemui.
“Malah saya juga mengarahkan agar pokok durian yang ditanam di atas tanah kerajaan itu dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Seksyen 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Katanya, kerajaan Negeri memandang serius aktiviti pencerobohan tanah secara haram milik Kerajaan Negeri itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanah dan mencemarkan integriti sumber alam negeri ini.
Jelas Wan Rosdy, aktiviti pencerobohan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga memberi impak buruk kepada alam sekitar dan komuniti setempat.
“Kerajaan Negeri akan memastikan semua tanah milik kerajaan dipelihara demi kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekita dan kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penerokaan haram amatlah dihargai,” ujarnya.
SUmber : Kosmo
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Air Sungai Tembeling mula melimpah ke dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling, petang ini.
Air Sungai Tembeling mula melimpah di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling
JERANTUT – Air Sungai Tembeling mula melimpah di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling pada jam 5.45 petang hari ini.
Turut tenggelam laluan jalan simen dari Kampung Sepia ke Kampung Bantal termasuk di sekitar dataran perniagaan menyebabkan penduduk kedua kampung menggunakan bot ke rumah jiran dan sebagainya.
Namun tidak ada lagi pemindahan mangsa kerana kediaman penduduk terletak di kawasan tinggi berdekatan dataran itu, manakala bagi mereka yang tinggal di pesisir sungai itu selamat kerana kediaman itu dipasang tong pelampung dan ditambat dengan tali besi pada pokok besar.
Portal Laman Web Rasmi Public Infos Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan paras air pada 101.16 meter menghampiri paras amaran, iaitu 104 meter.
Penduduk Kampung Bantal dan Kampung Sepia di Ulu Tembeling setiap tahun akan berdepan dengan bencana tersebut kerana hujan lebat di kawasan ulu lagipun faktor peningkatan paras air Sungai Dungun, Terengganu yang bersempadankan Ulu Tembeling daerah ini juga dikira faktor air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik dengan pantas.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid berkata, air Sungai Tembeling mula melimpah masuk ke dataran perniagaan ini kira-kira pada pukul 4 petang hari ini kerana hujan lebat turun sejak kelmarin di kawasan ulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia.
“Perkara ini sudah menjadi biasa bagi penduduk di pesisir sungai ini khususnya di Kampung Bantal dan Kampung Sepia dan sudah menjangkakan air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia akan naik setiap kali penghujung tahun ketika Monsun Timur Laut.
“Kita sudah mengambil sikap berjaga-jaga kemungkinan air akan naik ke paras bahaya sekiranya hujan masih turun lebat di kawasan ulu sungai,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini hari ini. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN : Mayat Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Murdani Ab Rahman (53) ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh pada jam 12.45 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mayat mangsa telah disahkan berdasarkan pengecaman keluarga.
“Mangsa dipercayai memancing bersama seorang rakannya di sebuah rumah rakit di Pekan Lama Chenor kira-kira 5.50 petang, hari Ahad sebelum disedari terjatuh ke dalam sungai dan tenggelam dihanyutkan arus deras.
“Rakannya bersama beberapa penduduk kampung berhampiran cuba membantu namun mangsa gagal diselamatkan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Kakitangan berjaya menangkap seekor ular sawa pagi ini.
Penduduk Taman Inderapura lega selepas seekor ular sawa berjaya ditangkap
JERANTUT – Kerisauan penduduk Taman Inderapura lega selepas kelibat seekor ular sawa yang kelihatan di taman perumahan itu berjaya ditangkap awal pagi ini.
Seramai empat kakitangan Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Daerah Jerantut berjaya menangkap haiwan itu di Jalan 11, Taman Inderapura, dekat sini pada jam 3.45 pagi, hari ini.
Jurucakap jabatan itu memaklumkan, pihaknya menerima aduan pengadu yang ternampak haiwan itu berdekatan sebuah rumah di lokasi tersebut sejak 11 November lalu.
Katanya, pengadu ternampak ular sawa bersaiz besar berdekatan dengan rumahnya, pihaknya telah membuat siasatan di rumah pengadu serta memberi khidmat nasihat untuk menutup ruang di depan pagar depan rumah dengan jaring supaya ular tidak boleh masuk ke kawasan dalam rumah.
“Pengadu juga telah membuat laporan kepada Angkatan Pertahanan Awam (JPAM) dan pihak bomba namun ular tersebut gagal ditemui.
“ Pengadu memaklumkan ular tersebut mudah dijumpai pada waktu malam sahaja, pihak Perhilitan bertindak melakukan pemantauan berterusan dari masa ke semasa sehingga berjaya menangkap haiwan itu di hadapan rumah pengadu,” katanya.
Katanya, ular tersebut telah dibawa ke Pejabat PERHILITAN Daerah Jerantut untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Laluan tren Kereta Api Tanah Melayu (KTM) yang menjadi nostalgia merentasi tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu dan melalui beberapa bandar cukup dikenali sebelum ini sebagai ‘Old Jungle Train’ boleh dijadikan satu produk pelancongan baharu negeri Pahang.
Laluan landasan keretapi ini yang panjang dikelilingi dengan hutan, ladang sawit dan getah serta landskap semulajadi cukup memukau pemandangan yang diingini oleh pelancong khususnya dari luar negara boleh dijadikan sebagai produk pelancongan baharu dan unik serta berbeza di negeri ini menerusi Pahang Rail Tourism 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program tersebut dilakukan dengan kerjasama Tourism Pahang; Tourism Malaysia; Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.
Katanya, laluan kereta api di negeri ini terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus bermula dari Bahau, Triang, Bera, Mentakab, Jerantut dan Kuala Lipis seterusnya ke Merapoh yng kaya dengan gua semulajadi dalam zon pelancongan semula jadi.
“Kaedah menggunakan keretapi ini dapat meningkatkan bilangan pelancong untuk datang ke Pahang dan tujuan kita memberi peluang pelancong melihat lebih dekat lagi produk pelancong semulajadi yang kaya di negeri ini.
“Kalau kita tidak berusaha untuk melakukan sesuatu yang baharu untuk menarik pelancong, kita bimbang negeri-negeri lain mempunyai cara sendiri untuk promosi kehadiran pelancong yang memiliki banyak pilihan dan kita akan kerugian,” katanya di Majlis Perasmian Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen Keretapi Lipis di sini, semlam.
Datuk Seri Wan Rosdy tidak melepaskan peluang mencuba dan melihat di kokpit pemandu tren tersebut sempena program tersebut.
Katanya, berdasarkan statistik kedatangan pelancong tahun 2023, seramai 13.2 juta pelancong telah hadir ke negeri Pahang.
“Sehingga setengah tahun pertama 2024 (Jan – Jun), kira-kira 5.9 juta pelancong dari dalam dan luar negara telah berkunjung ke Pahang dengan anggaran perbelanjaan pelancong sebanyak RM 5.3 biilion,” katanya.
Katanya, pelancong terutamanya yang datang ke daerah Lipis, memang memiliki banyak tempat menarik dengan menggunakan kereta api yang telah diubahsuai lebih selesa, menarik dan masanya tepat selain dapat menikmati pemandangan semula jadi.
“Kita kena kuat mempromosikan produk kita, kalau kita kurang promosi dan menyediakan kemudahan yang bagus, pelancong akan beralih ke tempat lain.
“Perkhidmatan kereta api pada masa kini bukan lagi sekadar pengangkutan semata-mata tetapi ia perlu dipertingkat sebagai satu produk pelancongan yang unik dan menarik ,” katanya.
Program itu juga menawarkan 38 pakej yang ditawarkan yang melibatkan sembilan agensi pelancongan berdaftar dari seluruh Pahang.
Antara lokasi menarik di sepanjang laluan kereta api ini ialah lokasi geo tapak iaitu Taman Negara Pahang Sungai Relau; Gua Sisik Naga; Gua Tahi Bintang; Bandar Kuala Lipis; Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman menunjukkan senapang yang dirampas dalam operasi tersebut.
Polis tahan 6 orang serta rampas selaras senapang dalam hutan simpan
TEMERLOH : Pasukan polis dari Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am Kem Bukit Galing Kuantan berjaya menahan enam orang lelaki berusia antara 35 hingga 60 tahun di Hutan Simpan Kemasul, dekat sini.
Pasukan itu turut menjumpai dan merampas selaras senapang jenis ‘pump gun’ jenama Remington 870 Express Magnum serta 81 butir perluru pada jam 11.30 malam pada 9 November lalu.
Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semasa membuat rondaan ‘Op Bersepadu Khazanah’ bersama bersama pasukan Pegawai Jabatan Perhilitan Negeri Pahang telah terserempak dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux bersama enam suspek di laluan masuk ke sekitar Ladang Pongsoi, Mukim Semantan, Lanchang.
“Berdasarkan siasatan awal oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, mendapati salah seorang lelaki Melayu berusia 37 tahun yang ditahan telah mengakui senjata api tersebut adalah miliknya serta mengakui tidak pernah memiliki lesen senjata api yang dirampas itu.
“Berdasarkan fakta yang diperolehi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat 1971),” katanya di Balai Polis Kuala Krau, semalam.
Katanya, sekiranya disabitkan kesalahan hukuman, suspek boleh dipenjara selama suatu tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali.
“BSJ, Ibu Pejabat Polis daerah Temerloh kini sedang giat melengkapkan prosedur siasatan dengan mengumpul segala maklumat risikan, keterangan serta laporan pakar yang berkenaan dan seterusnya merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Pahang untuk arahan selanjutnya.
“Semua suspek dipercayai bekerja sebagai buruh di sekitar kawasan itu turut melakukan pemburuan haram di kawasan terbabit,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua wanita kakitangan sokongan KPM meninggal dunia dalam kemalangan di Lipis
LIPIS – Dua wanita kakitangan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Limau Purut maut dalam kemalangan KM 15 Jalan Lipis-Jerantut, berdekatan Kampung Jeram Bungor, dekat sini pada jam 2.30 petang, hari ini.
Nurulfarhana Yahya (kiri) dan Nurshida Md Najib (kanan) yang meninggal dunia dalam kemalangn itu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, siasatan awal kejadian, polis mendapati kereta Proton Saga yang dipandu oleh Nurshida Md Najib (38) yang memandu kereta itu bersama seorang penumpang, Nurulfarhana Yahya (31) dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut, Lipis menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis untuk urusan kerja.Nurulfarhana Yahya
“Apabila sampai di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut telah bertembung secara bertentangan.
“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Ismail berkata, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 31 tahun mengalami kecederaan pada rusuk sebelah kiri dan kelindan berusia 33 tahun telah dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di nombor 09-3121999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis, Borhan Daud berkata, lima anggota bomba membuat operasi mengeluarkan dua mangsa wanita tersepit di dalam kereta menggunakan peralatan khas penyelamatan dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan seterusnya manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada KKM.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Bangunan Suluh Budiman berunsur seni bina Gotic dibina pada tahun 1920-an iaitu zaman Sultan Idris Training College.
Prasarana UPSI gamit pelbagai pihak
PRASARANA yang lengkap mengamit lembaran baharu kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, kerana kini menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan korporat untuk melaksanakan pelbagai program berskala besar.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang melahirkan rasa kegembiraan dengan perkembangan itu, berkata berbanding lebih 10 tahun lalu, kini UPSI sudah melangkah jauh dalam menyediakan pelbagai kemudahan untuk masyarakat.
Menurutnya, segala prasarana yang ada bukan sahaja untuk warga UPSI, malahan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat selaras dengan konsep ‘Universiti Untuk Komuniti’.
Bangunan Dewan Tuanku Canselor yang sesuai untuk persembahan skala besar.
Tambahnya, kemudahan yang ada itu kini mendapat sambutan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan dan korporat untuk menjayakan pelbagai program seperti sukan, kebudayaan serta pelaksanaan pelbagai seminar serta persidangan peringkat nasional dan antarabangsa.
Terbaharu, jelasnya, menyaksikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memilih Dewan Tuanku Canselor (DTC) sebagai lokasi menyemarakkan teater tradisional iaitu Mak Yong yang dihadiri lebih 5,000 penonton, sekali gus menjadikan UPSI sebagai pusat memartabatkan budaya dan seni negara.
“Saya mengalu-alukan pelbagai agensi untuk melaksanakan program di DTC yang boleh muatkan 5,000 penonton malah dilengkapi dengan kemudahan teknikal, skrin LED, penataan bunyi yang bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu hebahan kepada media pada 13 November 2024.
Untuk rekod, UPSI baru sahaja membuka UPSI Sports Bowl 24 lorong yang kini menjadi tarikan dan tumpuan masyarakat bukan sahaja sekitar Tanjung Malim, malah dari luar.
Dari segi penginapan, UPSI memiliki Scholars’ Suite di lokasi sangat cantik yang dilatari hamparan Banjaran Titiwangsa dengan menjanjikan ketenangan kepada pengunjung.
Menurut Prof Md Amin, selain mempunyai kolam renang bertaraf Olimpik dan UPSI Sports City, UPSI juga memiliki UPSI Adventure Park di Kampus Sultan Azlan Shah yang menjadi tumpuan pelbagai agensi kerajaan melaksanakan kursus pembinaan pasukan yang dikendalikan oleh tenaga pakar UPSI sendiri.
Menariknya, dalam pakej kursus yang ditawarkan itu, peserta akan berpeluang menjalani aktiviti Water Rafting di sungai-sungai arus deras sekitar Muallim dan Batang Padang.
Selain menawarkan sewaan menaiki kenderaan serba rupa bumi (ATV), katanya, UPSI sedang giat membangunkan kawasan perkhemahan “glamping” di tepi tasik yang dijangka boleh digunakan orang ramai pada awal tahun depan.
Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City berkeluasan lebih 850 ekar, manakala Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjong Malim yang berkeluasan 85 ekar adalah kampus bersejarah yang memiliki tujuh bangunan dan digazet sebagai bangunan warisan, antaranya Bangunan Suluh Budiman dan Rumah Za’ba iaitu pendeta bahasa terkemuka tanah air.
Bangunan Suluh Budiman yang kini dijadikan Muzim Pendidikan Nasional (MPN) pernah dipilih sebagai lokasi penggambaran filem komedi kontemporari “Mengonjang Makhluk Muzium” lakonan Usop Wilcha dan arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2015.
“UPSI yang menjadi destinasi pelancongan daerah Muallim menjanjikan pengalaman menarik untuk dibawa pulang oleh sesiapa sahaja dan pasti akan berkunjung lagi serta menjadi pilihan ramai nanti,” ujarnya lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!