PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat isu video seorang lelaki India yang didakwa memurtadkan seorang wanita Islam.
Ketua Pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh, berkata pihaknya difahamkan isu berkenaan sudah pun dalam perhatian dan tindakan polis selepas menerima aduan pelbagai pihak.
Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang berkuatkuasa di beberapa negeri terhadap individu, termasuk orang bukan Islam yang menghasut, memujuk, mempengaruhi atau memaksa orang Islam supaya meninggalkan agama Islam atau tidak suka kepada agama Islam.
“Selain itu, mana-mana orang Islam yang cuba untuk keluar dari agama Islam juga boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang juga berkuatkuasa di beberapa negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki berbangsa India mengaku memurtadkan wanita Islam menggunakan laman sosial Facebook.
Abdul Aziz berkata, pihaknya meminta seluruh umat Islam dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah yang dibawa Nabi Muhammad SAW.
Semua pihak juga, katanya, diingatkan tidak saling menyalahi antara satu sama lain dalam isu membabitkan umat Islam, sebaliknya perlu bersama-sama memperkukuhkan institusi keluarga Islam, memupuk sikap saling ambil peduli dalam masyarakat serta ingat-mengingati dalam menghadapi sesuatu permasalahan, lapor BH Online.
“JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain sentiasa berusaha bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama yang diberi penekanan oleh kerajaan pada masa ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEBERANG PERAI: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Muda, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Mangsa, Md. Johari Mat Isa, 40, dilaporkan hilang selepas keluar memancing bersendirian kira-kira pukul 8 pagi semalam.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, bapa mangsa melihat bot gentian kaca milik anaknya berada di tengah sungai kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, lapor KOSMO! Online.
“Mangsa tidak menyahut ketika dipanggil selain motosikal serta barangan peribadi miliknya tidak berusik di tebing sungai.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Bapanya tampil membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan anaknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.
“Teknik pencarian dasar (surface searching) sedang dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bertam untuk mengesan mangsa,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Kemasukan UMNO ke Sabah sejak 30 tahun lalu, termasuk menjadi tunjang kerajaan negeri selama 28 tahun membawa banyak kebaikan kepada negeri itu.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kehadiran parti nasional itu ke Sabah antara lain mendekatkan lagi hubungan di antara rakyat negeri ini dengan Semenanjung.
Beliau berkata, UMNO memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri ini dengan tumpuan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan negeri.
“Selama tiga dekad bertapak di Sabah, ia satu tempoh yang panjang. Banyak yang kita lalui termasuk pelbagai rintangan dan semua itu mendewasakan kita (UMNO Sabah).
AHMAD ZAHID HAMIDI
“Kita mencapai banyak kejayaan walaupun banyak halangan. Selama tempoh 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah, ia mendekatkan rakyat negeri ini dengan pemimpin dan rakyat di Semenanjung dengan Sabah serta Sarawak.
“Ia jelas memperlihatkan UMNO berjaya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Sabah dengan fokus dalam aspek pembangunan dan pembaharuan negeri memang sukar dilupakan semua pihak,” katanya pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-30 UMNO Sabah, di sini, malam ini.
Ucapan Ahmad Zahid dibuat secara persidangan video dari Kuala Lumpur berikutan kekangan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Majlis diadakan di Bangunan UMNO Sabah itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor; Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin dan beberapa pemimpin awal parti itu ketika mula bertapak pada 21 Februari 1991.
Ahmad Zahid berkata, walaupun UMNO kini bukan lagi parti tunjang kerajaan negeri, namun DNA parti itu masih wujud dalam pemimpin yang mengetuai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ketua Menteri Sabah ketika ini (Hajiji) ada DNA UMNO. Ketua Menteri Sabah sebelum ini pun (Mohd Shafie Apdal) ada DNA UMNO walaupun berlainan parti,” katanya, lapor BH Online.
Beliau berkata, walaupun UMNO kini hanya sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan negeri, ia tidak menjejaskan perjuangan parti itu untuk membela rakyat.
“Apa yang penting ialah rakyat, kita lupakan perbezaan pendapat atau parti. Ia adalah kesungguhan UMNO Sabah untuk menjalin kerjasama dengan semua parti kerana kita berpijak kepada realiti.
“Sebab itulah GRS, walaupun ia sebuah gabungan banyak parti adalah satu acuan yang wajar dialu-alukan dan diterjemahkan. Jangan ada rasa marah kepada rakan, yang penting perjuangan mesti diteruskan,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinannya sokongan akar umbi UMNO Sabah kekal kukuh dalam memastikan kesinambungan perjuangan UMNO di Sabah.
Sempena majlis itu, Bung Moktar turut menyampaikan penghargaan kepada beberapa pemimpin lama dan bekas pemimpin UMNO Sabah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Setiap kediaman di negara ini perlu memiliki sekurang-kurangnya satu unit pemadam api sebagai persediaan awal jika berlakunya kejadian kebakaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kebanyakan pemilik kediaman masih tidak menyedari kepentingan menyimpan alat pemadam api di kediaman masing-masing.
GAMBAR HIASAN
“Bagi tujuan ini, kami di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melancarkan kempen 1Rumah 1Pemadam Api (1RAPI) bulan depan.
“Objektif utama (kempen) ialah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan memiliki alat pemadam api di rumah mereka sebagai langkah awal jika berlaku kebakaran,” katanya, dipetik dari KOSMO! Online.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api di Taman Perumahan Rakyat Makmur, Gambang Jaya 2, dekat sini, hari ini.
Projek itu adalah yang pertama di negara ini di mana syarikat pemaju menyediakan alat pemadam api di 161 unit rumah yang mereka bina.
“Kita sasarkan dalam tahun ini, pihak pemaju semua projek perumahan baharu perlu menyediakan alat pemadam api bagi unit kediaman mereka bina,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai projek Rumah Malaysia di Pahang, Zuraida berkata, pihak KPKT sudah mengenalpasti lokasi di Lanchang, dekat Temerloh yang sesuai untuk dilaksanakan pembinaan projek berkenaan.
Katanya, perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu dan perbincangan lanjut bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan dilakukan dalam masa terdekat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Proses Konsultasi Awam berkaitan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) ke atas Tapak Pelupusan Kekal Sisa Buangan Radioaktif (PDF) Lynas tidak boleh diteruskan dan perlu dihentikan segera selagi kawasan tersebut belum ditukar status.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, ia berikutan kawasan tersebut merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) bernilai warisan tahap satu sebagaimana terkandung dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035.
Menurutnya, kajian EIA untuk PDF Lynas di atas tanah seluas 58.25 hektar itu kini sedang dipamerkan kepada awam, lapor Sinar Harian.
FUZIAH SALLEH
“Tapak PDF itu merupakan sebahagian dari 202.35 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Kuantan yang juga telah dikenalpasti sebagai kawasan Tapak Pelupusan Sisa Industri Berjadual Pelbagai Kategori (MCISWDS).
“Difahamkan, Perunding EIA bagi pihak Lynas telah melaporkan bahawa kawasan tapak PDF Lynas itu kini sedang disisihkan dari kawasan hutan simpan kekal tersebut,” katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
“Proses konsultasi awam dan pendengaran awam EIA Lynas merupakan satu proses songsang serta salah dari segi proses undang-undang dan seharusnya status tapak tersebut diubah terlebih dahulu, “kata ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh
Fuziah mendakwa, dapatan daripada kajiannya mendapati kawasan yang dikenalpasti tersebut bukan sahaja sebahagian daripada kawasan hutan simpan kekal malah merupakan kawasan KSAS bernilai tahap satu yang tidak boleh dibangunkan berpandukan garis panduan ditetapkan Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa.
Tegas beliau, proses konsultasi dan pendengaran awam EIA Lynas merupakan satu proses songsang serta salah dari segi proses undang-undang dan seharusnya status tapak tersebut diubah terlebih dahulu.
“Sebagai KSAS bernilai warisan tahap satu bermaksud kawasan tersebut tidak boleh ada aktiviti pembalakan, perlombongan mahupun pertanian.
“Mengubah status KSAS ini melibatkan proses konsultasi dan pendengaran awam dijalankan apatah lagi ianya telah termaktub di dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya status KSAS tersebut berjaya ditukar melalui proses konsultasi dan pendengaran awam, barulah kajian EIA boleh dijalankan ke atas tapak pelupusan kekal sisa industri berjadual pelbagai kategori itu pula.
“Proses itu juga kemudiannya memerlukan konsultasi dan pendengaran awam sebelum kajian impak alam sekitar ke atas tapak PDF Lynas itu boleh dijalankan.
“Prosedur ini mengambil kira proses undang-undang berdasarkan undang-undang yang termaktub di dalam pelbagai akta sedia ada yang digunapakai di negara ini.” katanya.
Fuziah berkata, ketika Majlis Perbandaran Kuantan di ambang pemasyhuran menjadi Majlis Bandaraya Kuantan, beliau ingatkan pihak terlibat agar tidak tersilap langkah dalam isu itu.
“Kuantan perlu membangun secara lestari dan bukan sebaliknya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 18 taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang yang bermula 9 Februari akan ditamatkan esok (Sabtu), dua hari lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan.
Sebelum ini kerajaan memutuskan 18 taman perumahan itu dikenakan PKPD selama dua minggu hingga 22 Februari.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 886 saringan dan daripada jumlah itu, 36 kes positif Covid-19 direkodkan.
GAMBAR HIASAN
“Bagaimanapun KKM mengesahkan jangkitan di lokaliti ini adalah terkawal dengan kes positif terakhir direkodkan pada 4 Februari dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di taman-taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin pada 20 Februari iaitu lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 443 lagi individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar perintah PKP dan daripada jumlah itu, 404 dikompaun manakala 39 lagi individu direman.
Mengenai Op Benteng semalam, katanya 39 orang pendatang tanpa izin telah ditahan dan dua bot/kapal serta dua kenderaan darat dirampas.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEIJING: China sedang mempertimbangkan untuk menarik semula semua sekatan bagi kelahiran bayi di wilayah timur laut bagi mengatasi penurunan ketara kadar kelahiran dalam kalangan penduduk negara itu yang sebahagian besarnya adalah warga tua.
Ini membolehkan wilayah timur laut melaksanakan pelan perintis dasar kelahiran komprehensif, sebagaimana disarankan oleh Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam satu kenyataan pada Ogos tahun lalu yang dikeluarkan semalam.
China sebelum ini sudah menjalankan dasar baharu itu di beberapa kawasan dan berhasrat melaksanakannya secara menyeluruh di seluruh negara jika inisiatif itu berjaya.
GAMBAR HIASAN
Populasi penduduk di China dikuasai rakyat lebih berusia berikutan republik itu menggalakkan perancangan keluarga sejak beberapa dekad lalu bagi menghentikan kelahiran secara meluas.
Walaupun kelonggaran diberikan sejak beberapa tahun lalu, kadar kelahiran dilaporkan terus menurun, dipetik dari Bloomberg.
Pada 2019, angka kelahiran terendah dicatatkan dan ia adalah penurunan paling drastik sejak 1949.
Dalam perkembangan berkaitan, angka kelahiran direkodkan terus menurun pada 2020 apabila jumlah kelahiran bayi yang didaftarkan menurun sekitar 15 peratus.
Wilayah timur laut antara lokasi yang mencatatkan kadar kelahiran terendah dan suruhanjaya memaklumkan, pihaknya akan menjalankan penyelidikan sejauh mana kelonggaran ini akan memberi impak kepada ekonomi setempat dan kestabilan sosial.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Putera Diraja Britain, Putera Harry akan melepaskan jawatan kehormat tentera dan hak keistimewaannya selepas mengesahkan kepada Ratu Elizabeth II bahawa beliau dan isterinya, Meghan Markle tidak akan kembali sebagai anggota Diraja yang bekerja, Istana Buckingham mengumumkan hari ini.
Duke dan Duchess of Sussex, sebagaimana mereka dikenal secara rasmi, menggegarkan monarki Britain ketika mereka berhenti dari tugas barisan hadapan Diraja setahun lalu.
Sejak itu, mereka memulakan kehidupan baru yang membabitkan beberapa usaha komersial di Amerika Syarikat (AS), dan kini tinggal di California.
Di bawah syarat awal pemergian mereka yang dilakukan pada pertemuan kecemasan dengan permaisuri pada awal 2020, Putera Harry telah bersetuju untuk mengkaji semula keputusan terbabit pada tahun berikutnya, lapor AFP.
“Duke dan Duchess of Sussex telah mengesahkan kepada Yang Mulia Ratu bahawa mereka tidak akan kembali sebagai anggota Keluarga Diraja yang bekerja,” kata Istana Buckingham dalam satu kenyataan.
“Ratu telah menulis yang mengesahkan bahawa dalam menjauhkan diri dari tugas Keluarga Diraja, tidak mungkin untuk meneruskan tanggungjawab dan tugas yang datang dengan kehidupan berkhidmat untuk umum.
“Oleh itu, pelantikan kehormat tentera dan keistimewaan Diraja yang dipegang oleh The Duke dan Duchess akan dikembalikan kepada Tuanku, sebelum diagihkan semula dalam kalangan anggota Keluarga Diraja yang bekerja.”
GAMBAR IHSAN AFP
Putera Harry, bekas tentera, memegang beberapa gelaran kehormat ketenteraan, pelantikan Komanwel dan beberapa jawatan lain.
Meghan juga diberikan beberapa peranan kehormat selepas menikahi Harry dalam upacara gilang gemilang di Istana Windsor pada Mei 2018.
Pasangan itu, yang menanti kelahiran anak kedua mereka, bersedia memberikan wawancara intim mengenai kehidupan mereka dengan pengacara rancangan sembang Amerika Syarikat (AS) Oprah Winfrey.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bermula hari ini.
Bagi penganjuran kejohanan, pertandingan atau perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan pula, ia terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton atau penyokong.
Selain itu, lebih banyak kelonggaran diberikan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) seperti sukan berpasukan serta penganjuran, kejohanan dan pertandingan tempatan mengikut model gelembung sukan dengan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
KBS dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini telah bersetuju dengan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi oleh kementerian berkenaan, lapor Bernama.
KBS menegaskan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) dan prokotol am yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada pewartaan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), peraturan-peraturan berkaitan PKP, PKPB dan PKPP oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dari semasa ke semasa.
Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua penggiat dan pemain industri sukan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan sektor sukan dan rekreasi terus mendapat keyakinan dan kepercayaan kerajaan untuk memastikan kelangsungan industri sukan secara keseluruhan.
GAMBAR HIASAN
“Selaras dengan pengumuman tersebut, KBS telah mengemas kini dan menambah baik SOP sektor sukan dan rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Berikut adalah butiran SOP terbaharu mengikut kawasan:
Semasa PKP
——————
(i) Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal yang dijalankan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri adalah dibenarkan;
(ii) Aktiviti sukan dan rekreasi mestilah mematuhi penjarakan fizikal 1–3 meter;
(iii) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;
GAMBAR HIASAN
(iv) Pengoperasian fasiliti/ premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;
(v) Penganjuran kejohanan/ pertandingan/perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan adalah terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton/ penyokong;
(vi) Program Latihan Berpusat secara kuarantin bagi pasukan- pasukan dalam MFL, MHL dan STL menggunakan model gelembung sukan (sports bubble, home based training dan camp based training);
(vii) Program Latihan Berpusat secara kuarantin yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri dilaksanakan dengan konsep camp based training;
(viii) Aktiviti bersentuhan fizikal dan permainan/ perlawanan termasuk penganjuran kejohanan/ pertandingan adalah dilarang kecuali penganjuran Liga MFL, Liga MHL dan Liga STL yang telah mendapat kelonggaran khas daripada KBS;
(ix) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti fun run, fun ride, marathon dan triathlon adalah dilarang.
Semasa PKPB
———————
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan;
(ii) Penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan dibenarkan dengan kelulusan KBS mengikut model gelembung sukan yang telah ditetapkan;
(iii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;
(iv) Kehadiran penonton/penyokong adalah tidak dibenarkan untuk semua aktiviti sukan dan rekreasi;
(v) Pengoperasian fasiliti/premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;
(vi) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;
(vii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti fun run, fun ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.
Semasa PKPP
———————
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan dan penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan tanpa kehadiran penonton/penyokong;
(ii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;
(iii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti fun run, fun ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pemain Liga Malaysia (Liga M) boleh bergasak tanpa sebarang kerisauan selepas ini apabila mereka bakal menerima vaksin COVID-19 menerusi inisiatif yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Itu antara inti pati pertemuan antara Presiden FAM merangkap Presiden MFL, Hamidin Mohd Amin bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang berlangsung hampir sejam di Putrajaya, semalam.
Hamidin menjelaskan kepada Muhyiddin bahawa FAM dan MFL melaksanakan inisiatif untuk kelompok 2,500 pemain dan pegawai bola sepak di peringkat elit diberi suntikan COVID-19 hasil perbincangan dengan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Hasil perbincangan dengan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, kami mengemukakan permohonan untuk kelompok pemain tempatan diberi suntikan vaksin seberapa awal yang boleh.
“Kemungkinan besar selepas kumpulan petugas barisan hadapan,” kata Hamidin dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, badan induk itu turut menghulurkan penghargaan kepada Muhyiddin yang mendukung hasrat keluarga bola sepak negara untuk bangkit semula susulan impak COVID-19 selain berpesan supaya saf kepimpinan FAM bersatu hati di bawah pucuk pimpinan yang padu dan tidak terperangkap dalam krisis kepimpinan.
GAMBAR HIASAN
“Bagi pihak FAM dan MFL, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Muhyiddin atas kesudian beliau mengambil sedikit masa menerima kunjungan hormat kami dalam menjelaskan beberapa kaedah persiapan untuk skuad kebangsaan sepanjang musim ini serta sepak mula Liga M bermula Mac.
“Kami bertukar pendapat dengan beliau mengenai situasi semasa termasuk persediaan memberi imunisasi kepada keluarga bola sepak negara dan betapa pentingnya industri hiliran berasaskan bola sepak dibenarkan kembali beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, lapor BH Online.
“Beliau memahami bahawa bola sepak di peringkat akar umbi juga harus diberi ruang untuk bernafas demi kelangsungan ekosistem bola sepak secara keseluruhannya, sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!