Foto atas : keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres yang berlaku di KM4, Jalan Lipis-Merapoh.
Kemalangan bas ekspress dan kereta nyaris ragut nyawa di Jalan Lipis- Merapoh.
LIPIS – Satu kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di KM 4, Jalan Lipis-Merapoh di hadapan Stesen Minyak Petron, Kampung Tempoyang berlaku pada jam 12.50 pagi, hari ini.
Kemalangan itu melibatkan sebuah bas ekspres Sani yang datang dari arah Kuala Lumpur dengan membawa penumpang menghala ke Kelantan, manakala sebuah kereta dari Jeli, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta terbabit keluar dari arah stesen minyak itu.
“Pemandu dan penumpang bas tidak cedera, manakala penumpang kereta tersebut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
“Akibat kemalangan tersebut , bas itu mengalami kerosakan di bahagian bumper dan lampu hadapan pecah termasuk pintu utama rosak,”katanya.
Katanya, tempat kejadian adalah di kawasan jalan lurus, keadaan jalan kering, berturap, bahu jalan berturap dan pengguna jalan tersebut sentiasa berhati-hati terutama di waktu malan dan hujan.
“Sistem jalan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah putih berkembar sebagai pembahagi lorong, keadaan jalan berlampu dan cuaca adalah baik.
“Siasatan lanjut punca sebenar kejadian akan dijalankan, mohon kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya..-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Jambatan yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Damak sebagai laluan utama bakal runtuh bila-bila masa.
Bina segera jambatan baharu depan sekolah
JERANTUT – Penduduk dan ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Damak merayu kerajaan segera membina jambatan baharu menyeberangi Sungai Damak yang hampir runtuh berikutan banjir kilat berlaku dua bulan lalu.
Kejadian itu menyebabkan struktur konkrit bawah jambatan dan sebahagian tebing mula runtuh dan akan runtuh bila-bila masa dan akan jatuh ke air lebih-lebih lagi keadaan cuaca tidak menentu serta hujan lebat yang kerap turun sehingga berlaku banjir kilat sungai tersebut.
Berikutan jambatan itu tidak selamat untuk digunakan pihak Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) dengan bantuan Kilang Sawit Felcra Jaya Putra, Syarikat Kuari Sungai Jan dan Yayasan Raja Shamri (YRS) telah membina laluan alternatif masuk ke sekolah tersebut sejauh 100 meter sementara menunggu kerja membina baharu kemudahan tersebut.
Namun sehingga ini masih belum direalisasikan projek membina baharu kemudahan itu oleh pihak berwajib sementara kira-kira 350 orang murid dan guru masih menggunakan laluan alternatif tersebut.
Seorang penjaga murid, Ramli Mustapha, 50, berkata, walaupun sudah dibina laluan alternatif, tetapi penduduk Damak berharap jambatan yang rosak di hadapan sekolah itu wajar dibina baharu dengan segera untuk kemudahan guru dan murid keluar dan masuk dengan lebih selesa dan selamat.
“Saya berpandangan kos membina jambatan baharu ini tidak melibatkan perbelanjaan yang tinggi, jadi sewajarlah projek ini disegerakan kerana hampir dua bulan murid serta guru menggunakan laluan alternatif ke sekolah.
“Eloklah dibina jambatan konkrit yang baharu lebih kukuh untuk mengelakkan ancaman banjir kilat Sungai Damak yang kerap berlaku ketika hujan lebat,” katanya.
Rakannya, Zulkifly Mahmud, 56, juga berpandangan sama supaya kemudahan itu dibina baharu oleh kerajaan untuk memastikan keselesaan guru dan murid ke sekolah.
“Kedudukan jambatan ini di hadadaan sekolah dan berdekatan jalan raya pula lebih memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak termasuklah guru yang berkenderaan memasuki parkir di padang sekolah.
“Saya memohon kerajaan supaya dipercepatkan projek jambatan ini memandangkan sebilangan guru terpaksa meletakkan kereta di luar, manakala manakala murid terpaksa berjalan kaki 100 meter melewati kawasan premis belakang pekan Damak sebelum memasuki laluan alternatif ke sekolah,” katanya.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Damak, Shaiful Anuar Osman berkata, pihak PIBG dan ibu bapa telah membina laluan alternatif berikutan tiada laluan lain untuk guru dan murid menyeberangi Sungai Damak ke sekolah.
“Jambatan utama di pintu masuk hadapan sekolah ini bila-bila masa boleh runtuh sehingga pihak sekolah tidak membenarkan kira-kira 350 orang guru dan murid melintasi laluan ini.
“Sewajarnya projek jambatan baharu dibina menyeberangi Sungai Damak bagi menggantikan jambatan yang lama dan uzur untuk keselesaan guru dan murid, guru serta ibu bapa berurusan dengn sekolah,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – PAS Jerantut akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan dan DUN Damak daripada mana-mana calon parti dalam kalangan Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) negeri ini.
Naib Yang di-Pertua Pas Jerantut, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin menjelaskan penduduk atau pengundi kawasan tersebut menerima dengan baik serta menyokong penuh kepimpinan Pas yang disandang oleh Zuridan Mohd Daud (Dun Damak) dan beliau sendiri di kawasan Tahan yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.
ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (tengah) dan Pegawai Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional Daerah Jerantut, Rafidah Isnin (kanan) di Majlis Sambutan Hari Raya Kawasan Rukun Tetangga Peringkat Daerah Jerantut, di Dewan Taman Inderapura, Jerantut, hari ini
“Sejak Pas memenangi kedua DUN ini, penduduk kawasan ini sudah selesa dan sinonim dengan gaya kepimpinan Pas yang memfokuskan banyak usaha kebajikan serta merapatkan perpaduan khususnya sejak penularan wabak Covid-19.
“Lagipun usaha kerjasama dengan kerajaan BN Pahang menerusi persetujuan dalam Muafakat Nasional banyak mencetuskan usaha pembangunan dua kawasan ini yang sangat dihargai oleh penduduk Tahan dan Damak kerana banyak mengubah landskap ekonomi berasaskan peluang dalam sektor pertanian dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah ini di Taman Inderapura, di sini hari ini.
Katanya, sejak memenangi dua kawasan itu, Pas pertama kali telah mengubah senario kemasyarakatan penduduk di situ dengan mencorak usaha ke arah perpaduan dan kebajikan rakyat selepas PRU-14 termasuk tekanan dalam tempoh di bawah pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan.
“Kawasan Tahan misalnya mempunyai majoriti penduduk Melayu yang tinggal di kawasan Felda dan kampung tradisional pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Pahang daerah ini yang menganjur dari kawasan pedalaman bahagian ulu sudah mengalami banyak perubahan terutama sektor ekonomi berasaskan pertanian dan pelancongan,” katanya.
Untuk rekod, Mohd Zakhwan memperoleh jumlah undi sebanyak 5,638 mengalahkan calon BN, Wan Amizan Wan Abdul Razak (5,569 undi) dan Nordin Samat daripada PH cuma mendapat 945 undi, manakala Zuridan (Damak) memenangi 8,444 undi mengatasi calon PKR, Wong Chun Yuan (6,988 undi) dan Datuk Lim Chong Ly dari BN (4,395 undi).
“Saya bersama Zuridan (Damak) terus berusaha memantapkan perpaduan penduduk dan menyakinkan PAS akan tetap bersama sambil berharap diberi peluang oleh pucuk pimpinan MN, Pas Pahang dan Pusat untuk meneruskan kepimpinan serta agenda politik berasaskan Islam di kawasan ini.
“Kita yakin Muafakat Nasional yang dibentuk menerusi kerjasama dengan BN Pahang mampu menguasai penuh kawasan pilihan raya yang telah dimenangi pada PRU-14 di samping dapat menguasai beberapa kawasan DUN dan Parlimen yang dikuasai oleh pembangkang sejak PRU-14,” katanya.
Mohd Zakhwan yang juga Ahli Jawatan Kuasa Badan Perhubungan Pas Pahang berkata, kolaborasi menerusi Muafakat Nasional serta kepimpinan yang teguh kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mampu mengekalkan kemenangan negeri ini pada PRU-15.
Jelasnya, kepimpinan Pas Jerantut berharap DUN Tahan dan DUN Damak terus di bawah calon (Pas) pada PRU-15 ini dan sekali lagi terserahlah kepada pucuk pimpinan Pas dan BN negeri yang menentukan selagi masih berada di atas landasan Muafakat Nasional.
“Namun, keputusan politik tertakluk kepada kepimpinan di peringkat tertinggi dan kami tetap taat dan patuh dengan keputusan dibuat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Abrul Rahman dan isnteri menyantuni 14 orang bakal haji di Majlis Komuniti Sejahtera dan Rumah Terbuka Aidil Fitri yang diadakan di sini, hari ini.
KPLB peruntuk RM 80 juta jamin gedung makanan negara mencukupi
LIPIS – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi keyakinan kepada Felcra Berhad dan Risda melaksanakan projek ternakan ayam dan lembu daging untuk memastikan gedung bekalan bahan makanan terus terjamin.
Felcra Berhad sebagai pemain utama industri penternakan ayam daging yang menggunakan kaedah secara tertutup sedia membekalkan 600,000 ekor ayam daging yang beroperasi di Tanjung Seratus, Rompin bagi menampung keperluan di pasaran tempatan.
Datuk Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, agensi KPLB ini akan mengambil inisiatif untuk memperkembang dan mengukuhkan gedung makanan utama negara, khusus penternakan dan perladangan.
“Memperuntukan RM 80 juta untuk persediaan awal ‘food security’ dan dalam peruntukan ini KPLB mengambil inisiatif bahawa kita mahu menggedungkan makanan, jadi kalau kita nak menggedungkan makanan sudah pasti banyak perkara yang kita lakukan.
“Dan pertama kalau mahu laksanakan projek ini mesti berkolobrasi bersama dengan MAFI, Kementerian Pertanian kerana tidak mahu berlapis dengan Kementerian Pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Komuniti Sejahtera dan Rumah Terbuka Aidil Fitri yang diadakan di sini, hari ini.
Katanya, walaupun peruntukan agak besar sebagai penggunaan dan lebih menumpukan pelaksanaan projek ternakan sebanyak RM60 juta melalui Felcra Berhad.
“Jumlah tersebut diharap dapat menampung keperluan ayam di negara ini sebanyak 2.09 juta ekor sehari atau 62. 9 juta ekor sebulan.
“Projek yang dilaksanakan Felcra akan membekalkan ayam berkualiti dan halal selain turut membuka peluang pekerjaan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, agensi Risda turut menerima RM20 juta untuk projek Agromakanan dan turut melibatkan kira-kira 1,000 peserta.
“Risda menerusi syarikat miliknya, Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) turut menyasarkan 10,000 ekor lembu tahun ini untuk menampung keperluan negara.
“Program ini turut memberi penambahan pendapatan kepada pekebun kecil secara individu atau berkumpulan di seluruh negara,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Imam Masjid Bukit Pasir, Zakariah Ahmad (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil keluarga penerima.
Keluarga asnaf terubat dapat bantuan sebelum sambut raya
BATU PAHAT- Keresahan hati keluarga dalam kalangan asnaf, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang serba kekurangan untuk membuat persediaan menyambut Aidilfitri baru-baru ini terubat.
Bergabung dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), UMNO Cawangan Jorak Elahi dan Tasek Merdeka, 180 bungkusan barangan makanan keperluan asas menyambut Syawal telah diagihkan kepada keluarga terbabit beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.
Penyelaras program yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi, Hamidi Mat Tap, berkata penerima sumbangan itu adalah mereka yang menetap di kampung induk iaitu Kampung Jorak Elahi dan kampung rangkaian Tasek Merdeka.
Sukarelawan menyusun pelbagai barangan makanan keperluan asas sebelum dibungkus untuk diagihkan kepada mereka terbabit.
Menurutnya, berikutan infak barangan yang banyak, agihan barangan makanan keperluan asas itu diperluaskan kepada beberapa keluarga dalam kalangan berkenaan di kampung berdekatan seperti ke Kampung Parit Bilal, Parit Ahmat, Parit Shabaan, Bukit Pasir, Parit Kangkong, Linau Kecil dan Linau Besar.
Jelasnya, daripada 180 penerima sumbangan itu termasuklah 20 anak yatim dan OKU yang perlu dibantu bagi membuat persediaan menyambut Aidilfitri walaupun barangan yang diberikan itu tidak seberapa namun paling penting dapat menggembirakan hati mereka.
“Sekurang-kurangnya sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan daripada kami dan juga NGO terbabit seperti Suara Anak Muda (SAM) dan Happy Care Batu Pahat yang sentiasa bersedia membantu mereka yang serba kekurangan dan berasakan nasib mereka diambil peduli untuk dibantu.
“Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi, timbalannya Zaidi Japar dan beberapa individu seperti Rope Subaru, Syed Mohsein, Esa Md Abas, Mohd Khairul Fauzi dan Brother Panjang antara yang menghulurkan sumbangan wang dan barangan untuk diagihkan kepada keluarga terbabit.
“Manakala dua syarikat iaitu Mapel Tricot Industries Sdn Bhd di Tongkang Pechah dan Linaco Manufacturing Sdn Bhd di Kampung Kelicap, Senggaran turut menyumbangkan pelbagai barangan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” kata Hamidi.
Majlis ringkas agihan sumbangan itu berlangsung di Balai Raya Kampung Jorak Elahi dan disempurnakan oleh Zaidi bersama beberapa tetamu jemputan.
Hamidi berkata, sebagai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor beliau akan terus memainkan peranan penting untuk membela nasib penduduk yang kekurangan dan bukan setakat ketika menyambut Aidilfitri sahaja.
Menurutnya, bukan niat mencari publisiti tetapi berasakan amat bersyukur apabila setiap aduan atau rintihan penduduk itu dapat dipanjangkan kepada pihak terbabit untuk diambil tindakan termasuklah kepada mereka daripada dalam kalangan orang poltik.
“Sepanjang tempoh negara dilanda pandemik Covid-19 yang serius hingga sekarang mereka terkesan dengan wabak ini termasuk dikenakan kuarantin di rumah saya bersama-sama NGO tetap turun padang menghulurkan bantuan khusus mengagihkan barangan makanan keperluan harian,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Haris Salleh (kiri) bersama Nazri Ngah (kanan) menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak yatim di Laman Kaseh, Jerantut, semalam.
Firma guaman rai sambutan Hari Guru di Jerantut
JERANTUT – Masih ada yang mengenang jasa guru di Firma Guaman Haris Salleh & Co (HSCO) menyediakan 66 biji kek sempena sambutan Hari Guru tahun ini.
Pengurusnya, Haris Salleh Hamzah berkata, 65 biji kek ditempah khas untuk semua sekolah rendah dan menengah di daerah ini manakala sebiji kek diagihkan ke Pejabat Pendidikan Daerah.
Haris Salleh (kanan) menyerahkan kek sambutan Hari Guru kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Gelanggi 1, semalam.
“Kita telah edarkan kupon kepada semua sekolah dan mereka boleh mengambil kek di Suya Bakery bermula 17 hingga 24 Mei ini.
“Ini adalah sumbangan kami bagi meraikan Hari Guru dan sebagai sembolik menghargai jasa dan pengorbanan guru menabur bakti di sekolah,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan menjadikan agihan kek Hari Guru sebagai acara tahunan dan kemungkinan ada penambahbaikan pada masa akan datang.
“Selain Hari Guru, kita telah membantu 20 murid di daerah ini yang mengidap penyakit kanser tiga tahun lalu.
“Pandemik yang melanda negara pada awal 2020 menyebabkan beberapa aktiviti kemasyarakatan tidak dapat dijalankan dan pihak kami akan membuat perancangan baru selepas ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Gara-gara terdesak seorang wanita buat laporan polis palsu
BENTONG – Gara-gara tidak mampu membayar wang yang dipinjam, seorang wanita warga tempatan sanggup menipu dan melakukan laporan palsu di Ibupejabat Polis (IPD) Daerah Bentong, kononnya dia disamun pada jam 8.00 pagi semalam.
Wanita berusia 28 tahun itu mereka cerita dia disamun oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah gerai menghala ke Desa Damai, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Bentong telah merakam percakapan bagi menyiasat kes tersebut.
“Hasil rakaman percakapan mangsa, kejadian berlaku semasa mangsa hendak pulang ke rumah setelah menghantar anaknya ke sekolah telah ditahan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dan telah mengambil wang tunai kira-kira RM380 milik mangsa.
“Namun, pihak polis mendapati terdapat keraguan yang munasabah terhadap keterangan yang diberi oleh mangsa serta tiada sebarang petunjuk tentang kes samun tersebut dari keterangan yang diambil,” katanya.
Zaiham menambah, kira-kira jam 7.00 petang, hari yang sama, mangsa datang semula ke IPD Bentong untuk menarik semula laporan polis yang telah dibuat.
“Wanita terbabit telah disoal siasat semula oleh pegawai penyiasat mengapa mahu menarik semula laporan polis dan mangsa mengaku telah mereka cerita bahawa telah disamun kerana mangsa sebenarnya telah menggunakan duit rakannya dan tidak mampu membayar semula.
“Susulan dari kejadian aduan laporan palsu yang dibuat oleh wanita berkenaan, pihak polis telah membuat laporan polis terhadap wanita itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 182, Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palus,” katanya.
Katanya, sekiranya didapati bersalah hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2000 atau kedua-duanya sekali akan dikenakan terhadap wanita itu.
“Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu dan tindakan berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap pelaku kerana bakal menerbitkan kerisauan umum,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Laluan masuk ke sebuah rumah ditenggelami air kira-kira 0.5 meter, pagi ini.-Foto media sosial.
JERANTUT – Sebanyak 14 buah rumah terdiri daripada 36 orang serta sebuah kedai roti canai mengalami kejadian banjir kilat pada awal pagi tadi di Kampung Baharu, dekat sini, hari ini.
Kejadian itu berlaku mulai jam 3.00 pagi berikutan hujan lebat sejak malam semalam sehingga menyebabkan air Sungai Teh melimpahi tebing dan memasuki kawasan kediaman kampung tersebut yang berdekatan jalan raya Jerantut – Benta, hari ini.
Sebuah kedai roti canai turut dimasukki air pagi ini
Jurucakap Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Baharu berkata, hujan lebat sejak malam semalam hingga ke awal pagi menyebabkan air Sungai Teh melimpah masuk ke kawasan kampung mulai pukul 4 pagi.
“Air begitu cepat melimpah ke kawasan kediaman penduduk berikutan air Sungai Teh cetek dan saliran sempit.
“Namun kejadian ini tidak melibatkan pemindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Air surut dalam tempoh tiga jam kemudian,” katanya di Kampung Baru dekat sini hari ini.
Seorang penduduk, Mohd. Nasir Mat Jusoh, 68, berkata, dia tidak menyangka air boleh sampai ke kediamannya mencecah paras lutut.
“Kita cuma mengangkat peralatan perabot dan eletrik ke tempat selamat apabila menyedari air memasuki ruang dalam rumah, malah jiran saya tidak sempat menyelamatkan sebahagian peralatan.
“Kanak-kanak dan warga emas dibawa ke rumah jiran berdekatan di tempat tinggi. Namun kejadian ini tidak melibatkan pemindahan walaupun hujan masih turun,” katanya.
Rakannya yang mahu dikenali sebagai Salimin berkata, kejadian itu kerap berlaku apabila hujan lebat dan kejadian itu dan sudah tiga kali berulang sejak awal tahun ini.
Sebuah rumah di Kampung Bahru, dekat sini dilimpahi air pagi ini.
“Banjir kilat ini kerap berlaku beberapa tahun kebelakangan ini turut membawa lumpur sehingga Sungai Teh menjadi cetek.
“Inilah senario yang berlaku setiap kali hujan lebat dan penduduk di sini kerap berdepan banjir kilat boleh dikatakan setahun sebanyak lima kali kejadian ini sehingga banyak melibatkan kerosakan harta benda,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB – Dua pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jalan Gesing-Kampung Kundang Patah, Raub, dekat sini ditemui lemas ketika mandi di tasik pusat tersebut, hari ini.
Kejadian lemas itu berlaku ketika dua pelatih PUSPEN tersebut mandi-manda di tasik berkenaan dan dipercayai lemas.
Mangsa pertama, Sha’ari Sabri, 43 tahun ditemui di dasar tasik tersebut di kedalaman 10 meter pada jam 4 petang, manakala mangsa kedua Asrul Abdullah 37 tahun, ditemui di kedalaman 8 meter pada jam 4:04 petang.
Anggota BBP Raub berjaya membawa naik mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- Foto JBPM.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pahang telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas dari MERS999 pada jam 3:04 petang, hari ini.
Sepasukan 7 orang anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Raub telah bergegas ke tempat kejadian.
“Pasukan Bomba telah melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ dan menggunakan peralatan grappling iron.
Mayat mangsa berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasar jual ayam di Pasar Besar Besar Jerantut tidak menjalankan operasinya kerana tiada bekalan ayam untuk dijual, hari ini
Bekalan ayam daging bakal terputus hujung minggu ini di daerah Jerantut
JERANTUT – Bekalan ayam daging mula sukar didapati di Pasar Besar Jerantut mulai hari Selasa dan pada hari ini dan pembelian hanya boleh dibeli seperti dicatu kepada pembeli.
Malah, penduduk daerah ini bakal terputus bekalan ayam daging segar pada hujung minggu ini kerana peniaga ayam di Pasar Besar Jerantut tidak menerima bekalan yang sepatutnya.
Bekalan ayam daging mula sukar didapati di Pasar Besar Jerantut mulai hari Selasa dan pada hari ini dan pembelian hanya boleh dibeli seperti dicatu kepada pembeli.
Kaunter jual ayam di sebuah pasar raya di sini dapati kosong
Tinjauan di beberapa pasar raya di bandar ini mendapati tiada ayam berada di atas bahagian kaunter jualan ayam termasuk tujuh kedai jual daging ayam di Pasar Besar turut ditutup ekoran tiada bekalan tiba.
Seorang peniaga ayam di pasar besar di sini yang enggan namanya disiarkan berkata, semalam (Selasa) hanya menerima sedikit bekalan dan pada hari ini (Rabu) hanya dapat tidak lebih 50 peratus bekalan ayam.
“Selalunya saya menerima bekalan kira-kira 500 ekor tapi hanya menerima tidak sampai 250 ekor, begitu juga penjual ayam yang lain.
“Di pasar di sini ada 7 pintu kedai yang menjual ayam segar dan purata setiap kedai menerima kira-kira 500 ekor setiap satu tetapi tidak sampai separuh bekalan diterima dan ada kedai yang tidak menerima bekalan langsung, “ katanya ketika dihubungi.
Katanya, difahamkan pada esuk (Khamis) mungkin bekalan tidak tiba dan pada hujung minggu ini dipercayai pembekal ayam dikatakan ‘bercuti’ dan tiada penghantaran bekalan ayam daging kepada peniaga di sini.
“Saya turut menghubungi rakan penjual ayam di daerah Lipis turut mengalami keadaan yang sama, malah penjual ayam di daerah Kuantan turut mahu mendapatkan bekalan dari Jerantut.
“Kami penjual ayam di daerah ini merayu agar isu bekalan ayam daging dapat diatasi dengan segera demi kemudahan penduduk dan kesejahteraan rakyat Malaysia, dan memohon maaf kepada pembeli di daerah ini kerana tidak dapat membekalkan ayam daging, ” katanya.
Seorang pembeli yang ditemui, Mohd Sharif Johari (45) berkata dia terkejut apabila sampai di pasar jual ayam di Jerantut ditutup, malah dia turut cuba ke pasar raya di sekitar bandar ini turut tiada bekalan ayam daging.
Turut menghubungi penduduk di bandar Lipis, Rahimah Ramli (66) berkata, anaknya yang ke pasar pagi tadi turut tidak mendapat bekalan ayam daging di sana.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!