Tular Rakam Curi Wanita — Suspek Dicekup Orang Awam di Pekan Sehari
TEMERLOH : Seorang lelaki yang didakwa merakam gambar seorang wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh akhirnya dicekup orang awam sebelum diserahkan kepada polis dalam kejadian pada 9 November lalu, namun hanya tular di media sosial .
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai kerani itu ditahan sekitar jam 10 pagi selepas mangsa, seorang suri rumah berusia 33 tahun, menyedari perbuatan tidak senonohnya.
“Mangsa melihat suspek merakam gambarnya menggunakan telefon bimbit. Dengan bantuan orang awam, suspek berjaya ditahan di lokasi dan diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, suspek dibawa ke balai dan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan analisis kandungan telefon bimbit yang dirampas bagi tujuan forensik digital.
Mohd Nasyim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509A Kanun Keseksaan kerana merakam imej seseorang tanpa kebenaran serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan berkaitan bahan lucah.
“Walaupun kejadian berlaku pada 9 November, video dan maklumat mengenainya hanya tular hari ini. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi atau mendedahkan identiti mangsa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya segera melaporkan sebarang perbuatan mencurigakan kepada pihak polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan orang awam.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘Lapar perhatian’ – Jurulatih kecergasan selar Que Haidar
KUALA LUMPUR – Tindakan pelakon terkenal, Que Haidar yang kerap memuat naik trend lagu Jamilah di TikTok terus menjadi bualan selepas seorang jurulatih kecergasan, Tareq Fit, tampil mengkritiknya secara terbuka.
Menerusi satu hantaran tegas di platform Threads, Tareq menyifatkan aktor itu sebagai “lapar perhatian” dan hanya mahu meraih pujian melalui konten yang didakwa tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat.
“Konten kau apa? Baring atas katil macam sotong (lembut). Lapar perhatian, mencari pujian daripada perempuan murah, perempuan yang tak jaga muka suami kerana suami mereka dayus,” katanya.
Menurut Tareq, tindakan menghasilkan konten sedemikian bukan sahaja tidak berfaedah, malah berpotensi mengundang komen tidak wajar daripada penonton wanita.
“Jika perempuan ada lelaki yang jaga dia dengan elok, perempuan itu tidak akan komen,” tegasnya lagi.
Jurulatih itu turut mendakwa, individu yang memilih untuk menghasilkan konten berbentuk sedemikian dianggap kurang bijak dan hanya mencemarkan imej agama serta bangsa.
Setakat ini, Que Haidar belum memberikan sebarang respons terhadap kritikan berkenaan, namun isu itu menjadi perdebatan hangat di media sosial apabila warganet terbahagi kepada dua pandangan — ada yang menyokong Tareq, dan ada yang menyifatkan teguran itu terlalu keras.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Pahang bakal melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada Festival Catur Antarabangsa Pahang 2025 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 16 Disember depan di Dewan Tun Razak, di sini, dengan penyertaan lebih 1,000 peserta termasuk pemain bertaraf Grand Master.
Presiden Persatuan Catur Pahang, Hamidah Abdul Hamid, berkata festival julung kali itu menjadi platform penting bagi memperkukuh kedudukan negeri sebagai pusat penganjuran sukan berprestij di peringkat antarabangsa.
Katanya, pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Open, Challenger (rating bawah 1,800) dan Bawah 12 tahun, bagi membuka peluang penyertaan kepada pelbagai peringkat umur dan keupayaan pemain.
Presiden Persatuan Catur Pahang, Puan Hamidah Abdul Hamid (dua dari kanan) bersama Penasihat Persatuan Catur Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (kiri); Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Rizal Mustafa (dua dari kiri); dan Pengerusi MyBHA Pahang, Dato’ Sri Vijay (kanan) pada sidang media pelancaran Festival Catur Antarabangsa Pahang 2025
“Daripada jumlah 1,000 peserta yang disasarkan, kira-kira 300 akan bertanding dalam kategori Open, 200 dalam Challenger dan selebihnya bagi kategori bawah 12 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran logo festival itu di sini.
Hamidah berkata, antara negara yang sudah mengesahkan penyertaan termasuk China, Iran, Sri Lanka, Australia, Filipina, Thailand, Laos, Vietnam dan Singapura, manakala penyertaan dijangka bertambah sebelum tarikh tutup pada 6 Disember ini.
Menurutnya, festival berkenaan mendapat pengiktirafan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) dan diiktiraf sebagai aktiviti kokurikulum oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus memberi manfaat kepada pelajar yang menyertainya.
“Kita turut menjemput pemain berstatus Grand Master kerana peluang itu akan membantu meningkatkan mutu permainan pemain tempatan yang beraksi menentang pemain bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 serta melibatkan pengadil antarabangsa bagi memastikan mutu penganjuran setaraf kejohanan antarabangsa.
Hamidah turut memaklumkan peserta akan dibawa melawat beberapa lokasi pelancongan utama sekitar Temerloh pada 13 Disember, termasuk Kuala Gandah dan Titik Tengah Semenanjung Malaysia, sebagai sebahagian pengisian program sepanjang festival berlangsung.
Katanya, penganjuran festival berkenaan menelan kos kira-kira RM120,000, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Sukan Pahang, Pelancongan Pahang, Jabatan Belia dan Sukan, serta Jabatan Pendidikan Negeri.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Daerah Temerloh, Rizal Mustafa; Penasihat 1 Persatuan Catur Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; serta Pengerusi MyBHA Pahang, Dato’ Sri Vijay.
PuanHamidah Abdul Hamid (dua dari kanan) bersama Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (kiri), Rizal Mustafa (dua dari kiri) dan Pengerusi MyBHA Pahang, Dato’ Sri Vijay (kanan) pada sidang media Festival Catur Antarabangsa Pahang 2025 di Temerloh.
MyBHA melalui Malaysia Business & Budget Hotel Association (Pahang Chapter) turut menyatakan komitmen menyokong festival itu dengan menawarkan kadar penginapan khas kepada pemain dan pegawai sepanjang kejohanan.
“Kami berharap festival ini dapat menjadi acara tahunan yang memperkukuh kedudukan Pahang dalam sukan catur di peringkat antarabangsa,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAFIZI KEJUTKAN RAMAI, RESTORAN KESUM TAWAR MENU BAWAH RM5
KUALA LUMPUR – Dalam suasana harga makanan semakin melambung, langkah berani bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, membuka restoran perusahaan sosial KESUM nyata mencuri perhatian ramai.
Restoran yang terletak di kawasan Parlimen Pandan itu menawarkan pelbagai hidangan tempatan dengan harga paling mahal RM4.99 sahaja, sekali gus mencabar norma pasaran makanan siap masak yang semakin menekan rakyat.
Menerusi inisiatif Ayuh Malaysia, KESUM mengetengahkan konsep “asal Kenyang, Sedap dan Murah” dengan menu seperti nasi lemak ayam, nasi minyak ayam, mee goreng, nasi ayam berempah dan lempeng kari ayam — semuanya pada harga bawah RM5.
“Alhamdulillah, Kesum dibuka kepada orang ramai hari ini. Ramai yang datang dari jauh dan dekat, saya ucapkan ribuan terima kasih atas sokongan,” kata Rafizi menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, penubuhan KESUM bukan sekadar perniagaan, tetapi inisiatif sosial untuk membantu rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi selain membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.
Warga maya rata-rata memuji langkah Rafizi yang dianggap turun padang secara nyata, bukan hanya berdebat tentang harga makanan tetapi menunjukkan tindakan sebenar.
Difahamkan, KESUM beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam, menawarkan makanan gaya rumah dengan suasana santai dan harga rakyat.
Langkah itu dilihat sebagai simbol perubahan baharu dalam pendekatan sosial — bila pemimpin tidak sekadar bercakap, tetapi turut sama memasak untuk rakyat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEMBONCENG MAUT, MOTOSIKAL TERBABAS LANGGAR TIANG ELEKTRIK
BERA – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 63, Jalan Temerloh–Pos Iskandar, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa, Nadan a/l Pitok, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan tangan, manakala penunggang motosikal, Mizuan a/l Mat, 35, cedera dan kini dirawat di Hospital Bera.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang Mizuan dari arah Bukit Gemuruh menghala ke Tembangau, hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kiri.
“Motosikal berkenaan kemudian merempuh tiang elektrik dan terjatuh ke dalam gaung di tepi jalan.
Pembonceng disahkan maut di tempat kejadian, manakala penunggang dibawa ke Klinik Kesihatan Tembangau sebelum dirujuk ke Hospital Bera untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian lurus dan berturap, dengan cuaca baik ketika kemalangan berlaku.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses bedah siasat pada jam 1.30 tengah hari bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai.-SAHIH
—
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LELAKI WARGA EMAS MAUT, MYVI HILANG KAWALAN LANGGAR BMW
TEMERLOH – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah BMW di Kilometer 147, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, berhampiran Kampung Desa Bakti, Mentakab, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 79 tahun, yang duduk di bahagian penumpang hadapan Myvi, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di dalam kenderaan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata siasatan awal mendapati kereta Myvi dipandu seorang wanita berusia 68 tahun dari arah Lanchang menghala ke Temerloh bersama suami dan anak perempuannya berusia 31 tahun.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan BMW yang datang dari arah Temerloh menuju ke Lanchang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, BMW berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun bersama isteri dan anak perempuannya berusia 11 tahun.
“Akibat pertembungan itu, penumpang lelaki warga emas meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lain-lain mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Myvi yang gagal mengawal kenderaannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Buku Baharu Murid Dikoyak Guru Ketika Tamat Peperiksaan KAFA
TEMERLOH : “Saya tak marah kalau anak saya buat salah, tapi cara ustazah itu langsung tidak menunjukkan sifat sebagai seorang pendidik.”
Itu luahan seorang ibu selepas buku yang dibeli anaknya menggunakan duit simpanan sendiri dikoyak seorang guru ketika selesai menjawab peperiksaan akhir tahun KAFA, Khamis lalu.
Menurut ibu berkenaan, kejadian berlaku selepas anaknya selesai menjawab kertas soalan dan sedang membelek buku baharu yang dibeli di kantin sekolah pada waktu rehat sesi pagi.
“Ustazah datang tanya dia, ‘awak buat apa tu?’ Lepas tu ustazah terus ambil dan koyakkan buku tu depan dia. Anak saya cuma senyap sebab terkejut dan sedih.
“Buku tu harga RM2 saja, tapi nilainya besar sebab dibeli dengan duit simpanan sendiri,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, anaknya sempat memberitahu sepupunya mengenai kejadian itu dalam keadaan menahan tangis, malah wajahnya kelihatan merah menahan sebak.
Difahamkan, ustazah terbabit merupakan guru ganti kelas berkenaan yang baru mengambil alih selepas guru asal bertukar, dan masih muda, dipercayai dalam lingkungan 20-an.
“Saya tak kenal ustazah itu sebab baru masuk. Tapi tindakan dia sangat kasar dan tidak wajar dilakukan terhadap murid yang tak buat salah. Kalau nak tegur pun, tegurlah dengan cara baik,” katanya.
Katanya lagi, sebelum kejadian, berlaku insiden kecil apabila seorang rakan sekelas meletakkan pemadam dalam kotak pensel anaknya sebelum dia membaling semula pemadam itu ke arah rakan berkenaan.
“Anak saya tak pasti sama ada ustazah nampak atau tidak sebab masa tu tengah peperiksaan. Dia kata ustazah datang lepas dia habis menjawab dan tengah tengok buku yang baru dibeli,” katanya.
Menurut ibu itu, ketika ustazah menyoal tentang buku berkenaan, beberapa murid lain turut menjawab bahawa buku itu dibeli di kantin pada waktu pagi kerana memang ada jualan diadakan.
Namun, guru berkenaan dikatakan terus memarahi dan mengoyakkan buku itu sambil menegaskan murid datang ke sekolah untuk belajar, bukan bermain.
“Setakat ini, ustazah berkenaan masih belum menghubungi saya untuk memohon maaf,” katanya sambil memaklumkan sepupu lelaki anaknya yang sama kelas turut menceritakan perkara sama.
Beliau berkata, anaknya yang berusia sembilan tahun bersekolah di sebuah sekolah rendah di Mentakab, sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kerana mengikuti kelas tuisyen tambahan, namun mempunyai kad OKU disebabkan mild disleksia.
Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada guru besar sekolah untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, jualan buku oleh penerbit Rakan Didik Publications dijalankan di kantin sekolah berkenaan di Mentakab pada hari kejadian dengan kebenaran pihak pentadbiran sekolah.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAHANG CATAT HASIL LEBIH RM1 BILION UNTUK TAHUN KEEMPAT BERTURUT-TURUT
KUANTAN: Pahang sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila kutipan hasil negeri berjaya melepasi angka RM1 bilion bagi tahun keempat berturut-turut, sekali gus membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi secara mampan dan berhemah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian itu hasil daripada kepimpinan berwibawa serta dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada kemajuan rakyat dan kelestarian sumber negeri.
“Alhamdulillah, Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam kutipan hasil negeri. Ini membuktikan bahawa pentadbiran yang telus, berdisiplin dan berwawasan mampu memberikan impak besar kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut optimis mencapai sasaran Belanjawan 2025 dengan kutipan hasil sebanyak RM1.194 bilion, hasil pengurusan fiskal yang cekap dan strategi pembangunan yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
Menurutnya, pencapaian itu turut disumbang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu termasuk pengurusan hasil tanah, peningkatan pelaburan strategik dan pembangunan luar bandar yang memberi kesan langsung kepada penduduk.
“Kerajaan negeri sentiasa memastikan setiap hasil yang diperoleh dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, kebajikan serta kemudahan awam yang lebih baik,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kewangan khas kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Pahang, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan warga perkhidmatan awam.
Wan Rosdy berkata, kejayaan itu juga menjadi dorongan untuk meneruskan aspirasi ‘Pahang 1st’, dengan matlamat memastikan negeri terus maju dan makmur demi kesejahteraan seluruh rakyat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Pelantikan Datuk Amizar Abu Adam sebagai Ahli Lembaga FELDA disambut dengan penuh kesyukuran dan rasa bangga oleh warga Felda Wilayah Jengka yang melihatnya sebagai pengiktirafan terhadap pemimpin muda berjiwa rakyat.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Wilayah Jengka merangkap Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, berkata pelantikan itu memberi harapan baharu kepada komuniti peneroka yang sentiasa mendambakan suara wakil akar umbi di peringkat tertinggi pentadbiran Felda.
“Datuk Amizar seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakat dan memahami kehidupan warga tanah rancangan. Beliau banyak membantu memperjuangkan nasib peneroka serta memberi tumpuan kepada pembangunan generasi baharu,” katanya.
Razak berkata, Datuk Amizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam memacu inisiatif keusahawanan dan memperkukuh ekonomi peneroka.
RAZAK DAUD
Menurutnya, seluruh peneroka Wilayah Jengka yakin pelantikan Datuk Amizar akan membawa nafas baharu dalam memperkasakan dasar dan hala tuju Felda agar terus relevan dan berdaya saing.
“Sebagai Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF), beliau memang dikenali sebagai pejuang suara warga Felda. Kami percaya beliau akan mengangkat martabat peneroka dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Razak turut menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan agar Datuk Amizar terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan serta keberkatan dalam menggalas tanggungjawab besar demi kesejahteraan komuniti Felda seluruh negara.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rakyat Harap Belanjawan Pahang 2026 Lebih Menyentuh Hati Rakyat
TEMERLOH – Rakyat Pahang menaruh harapan agar Belanjawan Negeri 2026 yang bakal dibentangkan kelak benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dan tidak sekadar menjadi angka di atas kertas.
Menurut Pengerusi Persatuan Orang Merdeka & Cakna Temerloh (KOME CAKNA), Jamil Yaakub, rakyat terutama di luar bandar mahu merasai arus kemajuan yang seimbang seperti dinikmati penduduk di kawasan bandar.
“Rakyat luar bandar pun mahu rasa kemajuan yang sama. Kami berharap bajet kali ini bukan sekadar ucapan atau janji, tetapi disertakan tindakan yang memberi kesan terus kepada rakyat,” katanya ketika mengulas harapan menjelang pembentangan Belanjawan Pahang 2026.
Katanya, beberapa perkara utama perlu menjadi fokus termasuk bantuan bersasar kepada golongan terkesan, peluang ekonomi dan latihan kepada anak muda, serta pembangunan infrastruktur luar bandar yang lebih terancang.
Beliau turut menekankan aspek penjagaan alam sekitar yang dianggap sebagai warisan penting negeri ini.
“Kita tidak mahu pembangunan mengorbankan alam sekitar. Gunung, sungai dan hutan adalah aset yang perlu dijaga demi generasi akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap sen yang dibelanjakan kerajaan negeri perlu diterjemah dalam bentuk hasil yang boleh dinikmati rakyat secara langsung.
“Bajet bukan sekadar laporan perbelanjaan, tetapi satu amanah besar yang menentukan arah kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!