PEMANDU LORI SEBABKAN KEMATIAN PENUNGGANG MOTOSIKAL DIREMAN
TEMERLOH – Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal maut di persimpangan lampu isyarat di Kilometer (KM) 121 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan pada Sabtu direman empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.
Majistret, Ti Pei Si mengeluarkan perintah reman itu sehingga 7 April ini (Rabu) terhadap pemandu lori berusia 35 tahun tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi, pada Sabtu, seorang pekerja Radicare Hospital Sultan Haji Ahmad Shah(Hoshas) Temerloh, Khairul Izmi Baharuddin, 44, meninggal dunia di tempat kejadian, lapor SINAR HARIAN
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, hasil ujian awal air kencing lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Hasil siasatan awal, lori dari Paya Pulai menghala ke sebuah kilang yang dipandu lelaki terbabit tidak berhenti di lampu isyarat dan melanggar penunggang motosikal itu yang sedang bergerak memasuki simpang ke Hoshas.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Esok, Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta.
Ini merupakan cubaan pertama Najib selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu, setelah mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.
Datuk Seri Najib Tun Razak
Mahkamah sebelum ini menetapkan 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 19 hingga 22 April untuk mendengar rayuan itu.
Najib telah mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya tentang mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan terbabit, antaranya ialah beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.
Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi Najib hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagaimanapun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.
Najib, 67, pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan ini selesai, lapor Bernama.
Seramai 21 wakil media termasuk daripada organisasi media antarabangsa akan diberi pas kebenaran untuk mengikuti prosiding tersebut menerusi video di dalam sebuah bilik.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang tukang kebun dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 488 gram dadah jenis kanabis, tiga tahun lepas.
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zamri Saidin, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Ahmad Shahrir berkata keterangan kes pembelaan nyata bersifat bertentangan dan menongkah naratif kes pendakwaan.
“Keterangan kes pendakwaan menjurus kepada penemuan plastik hitam berisi 488 gram kanabis itu dalam raga motosikal Yamaha yang ditunggang tertuduh sedangkan keterangan pembelaan mengatakan plastik hitam itu dijumpai berhampiran pasu di pekarangan kawasan rumah di Kampung Baru di sini,” katanya.
Hakim itu berkata apabila pembelaan mengemukakan naratif yang bertentangan dan menongkah naratif kes pendakwaan, pada hakikatnya, pembelaan mengutarakan gagasan yang menunjukkan saksi-saksi pendakwaan tidak berkata benar dan telah menganiayai tertuduh melalui keterangan mereka, lapor Bernama.
“Tanpa sebarang keterangan yang boleh dipercayai bagi menunjukkan wujudnya sebarang hasad atau dendam terhadap tertuduh hingga sanggup memberikan keterangan palsu yang boleh mengakibatkan tertuduh dihukum mati atau penjara seumur hidup, mahkamah ini tidak mempunyai sebarang justifikasi untuk membuat dapatan bahawa saksi-saksi pendakwaan telah mereka-reka keterangan semata-mata untuk menganiayai tertuduh,” katanya.
“Setelah menilai keterangan pembelaan dan mempertimbangkan keterangan kes pendakwaan, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan gagal mematahkan anggapan mengedar di bawah Seksyen 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah bagi pertuduhan mengedar 488g kanabis di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 seperti dalam pertuduhan. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” kata hakim itu.
Mohd Zamri dituduh mengedar dadah berbahaya itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru pada 3.45 petang, 8 Mac 2018, mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.
Sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi manakala Mohd Zamri diwakili peguam Luqman Mazlan, Rosal Azimin Ahmad dan Muhammad Amiraizat Abdul Rani.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita, Khamis lalu.
Tertuduh, Amran Abdullah, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Hamzah, Lorong Limau Manis, dekat sini, 9.40 pagi pada 25 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Amran didakwa menunggang motosikal di lokasi kejadian dan apabila tiba dari arah belakang wanita itu, dia bertanyakan mangsa sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak.
GAMBAR HIASAN
Bagaimanapun, wanita itu menolak pelawaan tertuduh sebelum dia beredar selepas sebuah kereta kebetulan lalu di kawasan itu.
Selepas itu, tertuduh datang semula menyekat wanita berkenaan dan menyentuh punggung mangsa sebelum terus beredar.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.
Terdahulu, Siti Edabayu meminta hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes sama sebelum ini, lapor BH Online.
Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh perlu menanggung kedua ibu bapanya yang sudah uzur.
“Tertuduh juga sudah menerima hukuman daripada masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama setahun bermula tarikh ditangkap.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN BERJAYA TUNTUT RM48 JUTA DARIPADA BAPA JHO LOW
KUALA LUMPUR: Wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun bank milik Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa berkaitan dengan skandal 1MDB, kini menjadi harta kerajaan Malaysia.
Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan wang itu dilucut hak kepada kerajaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shafinas Shabudin selaku pemohon memaklumkan tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah untuk menuntut wang RM48,491,064 itu, lapor Bernama.
“Notis kepada pihak ketiga tersebut telah dikeluarkan pada 11 Mac lepas, bagaimanapun tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah hari ini untuk menuntut wang berkenaan.
“Disebabkan tiada pihak ketiga hadir bagi menyatakan tuntutan terhadap harta yang dicadangkan untuk dilupuskan, pihak pendakwa raya memohon supaya harta-harta dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” kata Shafinas.
Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low
Larry Low selaku responden yang tidak diwakili peguam juga tidak hadir ke mahkamah, lapor Bernama.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Shafinas berkata harta yang terlibat ialah wang berjumlah RM20,784,952.56; RM300,000; RM500,000 dan RM20 juta yang disita dari akaun simpanan tetap dan semasa responden di Bank RHB Cawangan KLCC.
Menurut Shafinas, wang berjumlah RM6,242,593.10; RM345,496.47 dan RM318,021.95 telah disita dari akaun simpanan tetap dan akaun semasa responden di Maybank di cawangan Plaza Gurney di Pulau Pinang.
Pada 19 Julai 2019, Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM48,979,500.67 dalam tujuh akaun bank milik Larry Low selepas tiada pihak ketiga hadir di mahkamah menuntut wang terbabit.
Bagaimanapun, kes lucut hak itu didengar semula selepas pihak pendakwaan meminda notis usul bagi memasukkan maklumat berkenaan dua bank yang terlibat di dalam permohonan lucut hak tersebut.
Pada 29 Mac 2019, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Larry Low dengan mendakwa ia adalah hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram.
Notis penyitaan bertarikh 17 Januari 2019 yang ditujukan kepada Goh Gaik Ewe, 66, ibu Jho Low, dikeluarkan mengikut Subseksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Hingga kini, pihak berkuasa dilaporkan masih berusaha mengesan Larry Low, isterinya Goh Gaik Ewe dan Jho Low untuk membantu siasatan kes membabitkan syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin telah menarik diri daripada mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman seorang peguam berhubung kesahan pengampunan diraja yang diperoleh bagi sabitan kes liwatnya.
Susulan itu, pendengaran rayuan tersebut hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah ditangguhkan, lapor Bernama.
Nor Bee, yang mempengerusikan panel itu berkata, pada 2016, dia telah membuat keputusan dalam permohonan semakan kehakiman Anwar dan keluarganya terhadap Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin – Foto BERNAMA
Dia berkata isu kebolehbicaraan keputusan Lembaga Pengampunan dirujuk dalam kes itu dan keputusan telah dibuat dan menambah bahawa permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak atas alasan perkara tersebut tidak dapat dipertahankan.
Katanya dalam rayuan di hadapan panel itu, individu yang berjaya memperoleh pengampunan ialah Anwar.
“Berdasarkan perkembangan ini, saya tidak akan mendengar kes ini dan satu tarikh akan ditetapkan untuk pengurusan kes,” katanya.
Hakim S Nantha Balan dan Lee Heng Cheong turut bersidang dalam prosiding yang dikendalikan menerusi aplikasi Zoom.
Nor Bee juga berkata penangguhan pendengaran kes itu di Mahkamah Tinggi akan dilanjutkan sehingga rayuan selesai.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, individu yang memfailkan saman terhadap Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengemukakan permohonan agar Nor Bee menarik diri daripada mendengar rayuan itu.
Bagaimanapun, peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar tidak membantah Nor Bee mempengerusikan panel itu untuk mendengar rayuan tersebut.
Pada 21 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu selepas memutuskan Mohd Khairul yang juga seorang peguam, mempunyai locus standi dalam memulakan saman itu kerana dia adalah masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam.
Anwar merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman itu pada 26 Februari tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas PRU Ke-14.
Dia mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.
Dakwanya pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baru.
Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.
Peguam Datuk M Reza Hassan turut mewakili Mohd Khairul Azam, J. Leela mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan hadir bagi pihak Lembaga Pengampunan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan wang berjumlah RM9,302,823.66 daripada akaun Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Saksi pendakwaan terakhir yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau, 44, berkata, hasil siasatannya mendapati wang tersebut yang dikeluarkan pada 28 Mei 2018 dipindahkan ke akaun Yayasan Al-Falah milik adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.https://825c302655867e3391bc5934b6e323a3.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html
“Pemindahan wang itu terletak pada kuasa tertuduh (Ahmad Zahid) kerana beliau penandatangan tunggal dalam Yayasan Akalbudi,” jawabnya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt semasa pemeriksaaan utama mengenai pengeluaran wang tersebut.
Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-52 perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi, lapor Bernama.
Ditanya Keng Fatt mengenai tujuan pemindahan wang tersebut, Khairudin menjawab: “Saya tidak berapa jelas. Minit mesyuarat atau resolusi mengenai pemindahan wang itu juga tidak ditemui.”
Mengenai transaksi keluar masuk wang Yayasan Akalbudi dalam tempoh 12 Disember 2012 hingga 31 Mei 2018, saksi itu berkata, berdasarkan penyata akaun Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi, terdapat keluar masuk wang lebih kurang RM100 juta.
Ketika membacakan pernyataan saksinya, Khairudin berkata, sebanyak RM360,000 wang Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk dibayar kepada TS Consultancy & Resources bagi menjalankan soal selidik dan kajian pengundi pilihan raya.
“Berdasarkan dokumen-dokumen dan maklumat saksi-saksi, isu bayaran kepada TS Consultancy & Resources menunjukkan ia digunakan untuk menjalankan soal selidik dan kajian pengundi.
“Pemilik syarikat iaitu Jasni Majid dan Sabri Said mengesahkan bahawa syarikat TS Consultancy ditubuh pada tahun 2015 bagi program pendaftaran pengundi di lapangan dengan kerjasama parti UMNO dan di awal penubuhan menerima dana daripada pejabat parti UMNO,” katanya.
Mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, saksi itu berkata, pejabat yayasan tersebut tidak pernah beroperasi di alamat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Berdasarkan notis pendaftaran SSM, yayasan itu didaftarkan di alamat 69E-4, Jalan Raja Abdullah di sini.
Khairudin berkata hasil pemeriksaannya di alamat tersebut bagi mendapatkan laporan tahunan, laporan audit serta minit mesyuarat Yayasan Akalbudi mendapati yayasan itu tidak beroperasi di alamat berkenaan.
“Dokumen-dokumen tersebut tidak ditemui kerana alamat yang didaftarkan dengan SSM, tiada pejabat Yayasan Akalbudi beroperasi di situ,” katanya dan memberitahu bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah menyerahkan dokumen-dokumen tersebut kepada SSM.
Ditanya Keng Fatt, jika saksi ada bertanya kepada Setiausaha Yayasan Akalbudi, Mahinder Kaur Teja Singh mengenai dokumen-dokumen itu, Khairudin menjawab: “Beliau (Mahinder) kata tak simpan dokumen berkenaan, tidak pernah mengadakan mesyuarat serta tidak menyediakan laporan audit yayasan itu.
“Beliau (Mahinder) memberitahu bahawa tiada arahan daripada pengurusan Yayasan Akalbudi untuk membuat mesyuarat atau menyediakan laporan audit,” kata saksi itu.
Khairudin juga berkata, siasatannya mendapati Tetuan Lewis & Co bukan pemegang amanah atau peguam kepada Yayasan Akalbudi seperti yang dicadangkan pihak pembelaan sepanjang perbicaraan kes tersebut.
“Pelanggan Lewis & Co ialah Yayasan Al-Falah dan Ahmad Zahid sendiri. Lewis & Co menguruskan bagi kes-kes sivil Ahmad Zahid,” katanya dan menambah bahawa tiada hubungan rasmi di antara Yayasan Akalbudi dan Yayasan Al-Falah.
Khairudin adalah pegawai penyiasat SPRM ke-10 yang dipanggil pihak pendakwaan.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis pada 2018 dari Pavilion Residences adalah milik UMNO dan pendakwaan gagal membuktikan bahawa ia mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Datuk Hariharan Tara Singh, yang mewakili UMNO, berhujah bahawa wang yang disita itu adalah sumbangan politik milik UMNO dan Datuk Seri Najib Razak mencari sumber serta menguruskan dana parti tersebut.
“Dalam laporan polis dan afidavitnya (Najib), beliau mengesahkan bahawa wang itu disimpan bagi pihak UMNO. Oleh itu, kami mempunyai kepentingan yang sah dalam menuntut wang tunai tersebut,” katanya pada pendengaran permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings oleh pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Pendakwaan memfailkan permohonan itu bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terbabit dengan skandal dana 1MDB.
UMNO dan Najib antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada 2018.
Mana-Mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas aset dan wang yang disita perlu tampil ke mahkamah dan memberikan tunjuk sebab mengapa barangan terbabit tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Pada prosiding hari ini, Hariharan turut berhujah perkara paling penting ialah pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram perlu menunjukkan bukti dari segi dokumen seperti penyata bank 1MDB bagi menyokong fakta bahawa aset serta wang terbabit berasal daripada 1MDB atau anak syarikatnya dan aliran aset serta wang yang sama dari 1MDB ke entiti lain, lapor Bernama.
“Bagaimanapun, pegawai penyiasat gagal berbuat demikian susulan ketiadaan penyataan bank dalam mana-mana afidavit pemohon bagi membuktikan bahawa ia datang dari 1MDB atau anak syarikatnya.
“Ketiadaan dokumen terbabit menyebabkan kes pemohon secara keseluruhannya adalah tidak mempunyai sokongan,” katanya.
Najib adalah bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada 2018.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pula berhujah bahawa anak guamnya berkata jumlah wang tunai yang dirampas ialah RM160 juta.
“Datuk Seri Najib dalam laporan polisnya menyatakan bahawa sebenarnya wang tunai berjumlah RM160 juta disita dari Pavilion Residence. Dalam permohonan ini, mengapa hanya ada RM114 juta?
“Ini mengejutkan. Jika kita lihat kepada senarai carian oleh polis, tindakan polis tidak menyatakan jumlah wang tunai yang disita dari Pavilion Residence adalah tidak mematuhi Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Pada 11 Mac lalu, peguam Tania Scivetti yang juga mewakili UMNO, berhujah bahawa pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Superintendan Foo Wei Min, dalam hujahan bertulis pendakwaan berkata wang tunai yang disita dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44 adalah hasil pemerolehan haram daripada 1MDB kerana ia disimpan dalam 35 bagasi di tempat sama dengan barang kemas, jam tangan serta beg tangan berjenama yang disita oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Hasil siasatan Superintendan Wei Min, beliau merumuskan bahawa oleh kerana wang tunai itu ditemukan di dalam 35 bagasi di tempat sama dengan barang kemas, jam tangan serta beg berjenama, secara automatik ia adalah aset yang diseleweng daripada dana 1MDB,” katanya sambil menambah rumusan itu adalah tidak logik dan oleh yang demikian, tiada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bagi menunjukkan perkaitan antara dana yang diseleweng daripada 1MDB dengan wang tunai yang disita dari Pavilion Residence.
Perbicaraan bersambung pada 29 Mac ini bagi mendengar jawapan pendakwaan terhadap hujah UMNO dan Najib.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ZAHID GUNA DANA YAYASAN AKALBUDI HAMPIR RM1.5 JUTA
KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan terakhir pada perbicaraan kes Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, bahawa bekas timbalan perdana menteri itu menggunakan dana Yayasan Akalbudi miliknya berjumlah RM1,469,547.36 untuk membayar kad kredit, insurans dan cukai jalan 20 kenderaan miliknya.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hasil siasatannya mendapati Ahmad Zahid membayar sembilan kad kredit beliau dan isterinya, Hamidah Khamis atas penggunaan peribadi berjumlah RM1,362,037.81, manakala RM107,509.55 lagi untuk pembayaran insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan milik mereka.
Bagi pembayaran kad kredit, Ahmad Zahid menggunakan wang yayasan itu untuk membayar kad kredit AmBank Islamic sebanyak RM1,296,715.98, Maybank (RM34,686.03) dan American Express (RM30,635.80).
“Kad kredit AmBank Islamic dan Maybank mempunyai kad tambahan atas nama Hamidah Khamis. Hasil semakan dan penelitian ke atas penyata akaun bagi semua kad kredit itu mendapati banyak perbelanjaan dibuat di luar negara dan dibayar menggunakan cek Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi antara 2014 hingga 2016,” katanya membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.
Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-51 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Khairudin berkata, Ahmad Zahid juga menggunakan wang yayasan itu untuk membayar insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya termasuk BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.
“Bagi bayaran pertama sebanyak RM17,335.54 digunakan untuk membayar polisi insurans dan RM7,625.01 bagi bayaran cukai jalan membabitkan enam kenderaan milik Ahmad Zahid dan isteri, dengan pembayaran dibuat melalui tiga cek Affin Bank Berhad pada 22 Januari 2015.
“Bayaran kedua sebanyak RM27,246.90 untuk polisi insurans dan RM16,368.10 bagi bayaran cukai jalan melalui cek Affin Bank Berhad pada 15 April 2015, membabitkan empat kenderaan milik Ahmad Zahid, sebuah kenderaan milik BZ Motors Sdn Bhd dan sebuah kenderaan milik Juhari Janan.
“Bagi bayaran ketiga pula, sejumlah RM27,607.11 digunakan untuk membayar polisi insurans, manakala RM11,276.89 untuk membayar cukai jalan membabitkan lapan kenderaan milik Ahmad Zahid dan bayaran dibuat melalui cek Affin Bank Berhad pada 22 September 2015,” katanya.
Mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, Khairudin berkata, berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang amanah yayasan itu, yayasan itu tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sepanjang penubuhannya antara 1997 hingga 2018.
“Tidak ada apa-apa mesyuarat dan perbincangan rasmi direkodkan setiausaha yayasan itu berkaitan aktiviti serta laporan kewangan Yayasan Akalbudi.
“Kewangan dan aktiviti ditadbir urus Ahmad Zahid sendiri. Pemegang amanah itu juga tidak mengetahui siapa penyumbang dana dan berapa jumlah sumbangan diterima Yayasan Akalbudi.
“Pemegang amanah yang lain hanya mengetahui Yayasan Akalbudi ada melaksanakan urusan kebajikan khususnya kepada penduduk kawasan Bagan Datuk membabitkan sumbangan kepada masjid dan pusat tahfiz,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 Mac ini dan saksi itu akan menyambung keterangannya pada hari itu, lapor Bernama.
Khairudin adalah pegawai penyiasat SPRM ke-10 yang dipanggil pihak pendakwaan.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Dua pelajar yang memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru sambil menunggang motosikal, Rabu lalu didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menghina.
Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, di sini, 4 petang 3 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 mengikut akta yang sama.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman, lapor BH Online.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.
Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!