YAN: Pesawah ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas dalam takungan air di bendang di Kampung Singkir Paya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa, Zainol Ariffin, 59, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan tersembam di kawasan sawah padi miliknya pada pukul 9.05 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang tinggal di Kampung Belakang Pondok Fauzi, Sungai Yan di sini pergi ke sawahnya yang terletak lebih kurang empat kilometer dari rumahnya untuk menabur baja.
“Keluarganya turut memaklumkan mangsa pernah beberapa kali mengalami sakit dada dan asma, tetapi, tetap berkeras untuk melakukan kerja-kerja di sawahnya,” katanya di sini, hari ini.
Shahnaz berkata, mayat mangsa ditemukan penduduk kampung itu yang melalui kawasan berkenaan.
Tambahnya, mangsa yang ditemukan lengkap berpakaian dan tiada kesan kecederaan dihantar ke Hospital Yan di sini untuk bedah siasat, lapor Utusan Online.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUAMI, ISTERI NYARIS MAUT KERETA TERHUMBAN TEPI SUNGAI
MACHANG – Pasangan suami isteri nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terhumban ke kawasan tepi sungai di Kampung Bandar Hilir, Kemubu di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 9 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berusia 55 dan 51 tahun mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.03 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai terbabas sebelum merempuh penghadang jambatan.
“Siasatan mendapati, insiden itu menyebabkan kereta berkenaan terhumban ke kawasan tepi sungai dengan keadaan bahagian hadapannya tersangkut pada sebatang pokok.
“Terdapat seorang penumpang wanita mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tersepit di bahagian tempat duduk hadapan. Pemandunya pula telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini, lapor KOSMO online.
Katanya, pemandu kereta itu dihantar ke Hospital Machang di sini manakala isterinya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KITAB DAN BUKU AGAMA TURUT MUSNAH DALAM KEJADIAN RUMAH TERBAKAR DI SG RETANG
JERANTUT: Rumah peneroka, Mohd@Mat Isa Mat Kassim (74) yang terbakar hampir 60 peratus musnah turut melibatkan himpunan kitab dan buku agama miliknya kerana mangsa merupakan imam di Masjid Sungai Retang di Felda Sungai Retang, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.00 petang, semalam.
Paling menyayat hatinya kejadian kebakaran ketika dia dan isterinya tidak berada di rumah setelah isteri mangsa, Halimah Abdullah (71) telah dimasukkan ke Hospital Jerantut kerana mengalami angin ahmar.
Pengerusi Masjid Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kejadian berlaku sangat pantas, dikatakan hanya sepuluh minit berlaku kebakaran, mujur bantuan awal diberi oleh Pasukan Bomba Sukarela Felda Sungai Retang dan Pengurusan Felda Sungai Retang dan penduduk kampung.
Pengerusi Masjid Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud menyampaikan sumbangan kepada Mohd@Mat Isa Mat Kassim, hari ini.
“Manakala bantuan turut diberi oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Retang serta orang ramai yang turut membantu memadamkan kebakaran tersebut.
“Balai Bomba Jerantut yang menerima panggilan pada jam 2.47 petang dengan kekuatan pasukan seorang pegawai dan 8 anggota ke lokasi dengan dibantu 7 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Retang membantu memadamkan kebakaran,”katanya.
Katanya, sebagai sebahagian keluarga besar Felda, kejadian ini turut mendapat perhatian pihak Wilayah Jengka termasuk unit tertentu yang sangat cakna akan kejadian tersebut.
Turut hadir Pengurus Felda Sungai Retang, Pegawai Penyelaras Kemajuan Hal Ehwal Islam, Wilayah Jengka, Mohd Faizal Marjani, , Pengerusi JKKK Felda Sungai Retang, Hafizan Omar dan Pengerusi GPW Felda Sungai Retang, Zariah Haron.
“Kami menghulurkan bantuan awal sebagai turut simpati kejadian yang menimpa mangsa sekurang-kurangnya meringankan sedikit bebanan yang menimpa,” katanya.
“Kebakaran melibatkan rumah separuh kekal dipercayai bermula dari bilik bersebelahan dengan ruang dapur, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.18 petang, punca dan kerugian masih dalam siasatan,”katanya
Kepada yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun, Mohd@Mat Isa Mat Kassim, Bank Simpanan Nasional (BSN), no akaun : 06105-29-89790966-6. Nombor telefon ; 019-9885734.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Putatan: Semua empat mangsa yang hilang ketika mandi di Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, di sini, berjaya ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mangsa pertama Norain Amit, 13, ditemukan pada 8.20 malam sebelum mangsa kedua, Rafidah Amit, 14, berjaya dijumpai kira-kira 40 minit selepas itu.
Manakala dua lagi mangsa Dalang, 17, dan Korais Amit, 8, ditemukan kira-kira jam 9.30 malam di lokasi tidak jauh dari tempat mereka dihanyutkan arus.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian.
Katanya, semua mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Berikutan penemuan semua mangsa kejadian ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan serta merta.
“Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan bagi mencari punca sebenar kejadian untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Mohd Haris berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam kejadian jam 5 petang tadi, lapan individu berusia lingkungan 8 hingga 17 tahun dikatakan pergi ke pantai berkenaan untuk bermandi-manda.
Bagaimanapun, ketika mahu pulang, mereka dikatakan cuba berenang ke tepi pantai namun dipercayai dihanyutkan ombak deras ke kawasan laut dalam.
Akibat kejadian itu, empat daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi hilang, lapor KOSMO online.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah.
Info awal https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=807097549913908&id=376688289621505
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kota Bharu: Seorang pesakit Covid-19 yang tular sejak pagi tadi selepas dikatakan lari dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tampil menafikan perkara berkenaan.
Wanita dikenali sebagai Che Nurul Nabilah Shaari, 24, menjelaskan dia tidak pernah masuk ke hospital berkenaan sebagaimana maklumat yang ditularkan.
Beliau sebaliknya berkata, dia kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan tidak bergaul dengan mana-mana individi lain.
“Untuk pemberitahuan semua, saya tidak lari daripada wad hospital kerana saya belum lagi masuk hospital.
“Saya kini menjalani kuarantin di rumah dan tidak bergaul dengan sesiapa. Saya juga sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan tentang perkembangan saya.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana telefon saya rosak menyebabkan saya tidak menerima sebarang maklumat,” katanya.
Beliau tampil menjelaskan perkara berkenaan menerusi aplikasi media sosial TikTok, hari ini.
Pada masa sama, Che Nurul Nabilah turut menyelar tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat mengatakan dia lari dari wad 8 hospital berkenaan, lapor BH ONLINE.
Beliau sempat berpesan kepada orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga, kerana pandemik Covid-19 sekarang membimbangkan.
Terdahulu, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menafikan penyebaran maklumat yang tular kononnya seorang pesakit Covid-19 melarikan diri dari hospital berkenaan, di sini, hari ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan buat masa ini hasil semakan juga mendapati tidak ada kemasukan pesakit sepertimana maklumat yang tular itu di hospital berkenaan.
“Kita sudah membuat semakan, tiada pesakit berkenaan di wad terbabit sebagaimana maklumat yang tular hari ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA TINGGI – Seorang warga emas maut ketika dalam perjalanan hendak membeli makanan selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 42, Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi berhadapan sebuah stesen minyak di Air Tawar 5 di sini pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pukul 10.30 pagi.
Katanya, mangsa merupakan seorang peneroka Felda Air Tawar 5, Mohammad Sulaiman, 81, dipercayai maut akibat mengalami cedera parah pada kepala dan kaki.
“Dalam kemalangan ini, mangsa yang menunggang Honda C70 dalam perjalanan dari rumah di Felda Air Tawar 5 menghala ke kedai makan di seberang jalan iaitu berhadapan Petron Air Tawar 5 untuk membeli makanan.
“Pemandu Volkswagen Beetle yang juga seorang kerani pula dalam perjalanan dari arah bandar Kota Tinggi menghala ke tempat kerja di Bandar Penawar.
“Siasatan awal mendapati ketika melalui lokasi kejadian penunggang motosikal dipercayai telah secara tiba-tiba menyeberangi jalan secara perlahan, lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta yang berada dilaluan menghala ke Sungai Rengit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hussin berkata, kesan dari perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di atas jalan dan terseret lebih kurang enam meter ke hadapan.
Katanya, mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 5 untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
“Manakala pemandu kereta berusia 25 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan, lapor KOSMO online.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA SELANGOR – Mendapan jalan sepanjang 100 meter berlaku di Jalan Merbau di sini hari ini.
Pemendapan tanah sedalam 1.3 meter itu dikesan Jabatan Kerja Raya ( JKR ) daerah ini pukul 12 tengah hari tadi.
JKR Kuala Selangor dalam kenyataannya memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku susulan kegagalan struktur tanah di lokasi kejadian.
Katanya, Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilaksanakan susulan penutupan jalan kepada semua lalu lintas, lapor KOSMO online.
“Orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif di persimpangan Jalan Rizab Hj. Ali – Jalan Rezab Masjid – Jalan Rizab Yaakob,” jelasnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERJASAMA SEMUA BERJAYA SELAMATKAN RUMAH TERBAKAR DI SUNGAI RETANG
JERANTUT: Sebuah rumah peneroka Felda terbakar hampir kira-kira 60 peratus di Felda Sungai Retang, dekat sini , kejadian berlaku kira-kira jam 2.00 petang, hari ini.
Rumah tersebut disedari terbakar oleh jiran yang memaklumkan kepada anak tuan rumah tersebut yang berada di bandar Jerantut ketika kejadian.
Orang ramai turut membantu memberi bantuan awal memadamkan kebakaran.
Anak peneroka tersebut yang dimaklumkan oleh jirannya, Hasbullah Mat Isa, 31 tahun berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Taman Saujana Utama, manakala bapanya Mat Isa Mat Kassim,74 tahun, berada di rumah Taman Saujana Idaman.
“Saya terus memaklumkan kepada ayah dan kami bergegas balik ke Sungai Retang dan mendapati rumah kami terbakar kira-kira 60 peratus dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut berjaya mengawal kebakaran, kira-kira jam 3.30 petang.
“Bapa saya yang berada di rumah di Taman Saujana Idaman kerana memudahkan urusan untuk melawat ibu saya, Halimah Abdullah (71) yang sedang berada di wad Hospital Jerantut kerana sakit angin ahmar,”katanya.
Katanya, rumah itu hanya didiami bapa dan ibu sahaja kerana adik-beradik lain semua tinggal di luar, tetapi ketika kejadian bapa dan ibu tidak berada di rumah, mujur dan bersyukur semua selamat.
BBP Jerantut berjaya memadam keseluruhan kebakaran pada jam 5.18 petang.
“Rumah jiran di sebelah kiri rumah saya turut terjejas sedikit kerana dipercayai terkena haba panas disebabkan angin bertiup ke arah rumah tersebut. Punca kebakaran dan kos kerugian tidak diketahui, pihak bomba akan melalukan siasatan esuk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata tindakan pantas pihak Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jerantut, Pasukan Bomba Sukarela Felda Sungai Retang dan Pengurusan Felda Sg. Retang.
ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kanan) menenangkan Mat Isa Mat Kassim.
“Manakala bantuan turut diberi oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Retang serta orang ramai yang turut membantu memadamkan kebakaran tersebut.
Jurucakap BBP Jerantut menerima panggilan pada jam 2.47 petang dengan kekuatan pasukan seorang pegawai dan 8 anggota ke lokasi dengan dibantu 7 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Retang.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 25′ x 70′ dan dipercayai bermula dari bilik bersebelahan dengan ruang dapur, ketika kejadian tiada penghuni semasa kejadian, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.18 petang, punca dan kerugian masih dalam siasatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMBAU – Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan di kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 petang berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJKT Ladang Chembong itu, mangsa, S Mahesan, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala, seorang lagi mangsa, Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan Mohd Bakri, 15, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Rembau.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintendan, Hazri Mohamad, kemalangan berkenaan membabitkan tiga buah motosikal iaitu dua daripadanya jenis Honda dan satu jenis Modenas.
“Berdasarkan siasatan awal, Mahesan menunggang dari arah Seremban menghala ke Rembau. Apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya telah bertembung dengan motosikal yang ditunggangi Ikhmal Zaqwan yang datang dari arah bertentangan.
“Kemudian datang motosikal ketiga yang ditunggang dari arah Rembau oleh seorang lelaki berusia 29 tahun menghala ke Seremban tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal yang berada atas laluan,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.
Hazri berkata, motosikal yang ditunggang Ikhmal Zaqwan turut membonceng kakaknya, Hana Amyliya Marsyainir Mohd Bakri, 18, yang kini dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Rembau susulan mengalami kecederaan kaki patah dan luka di bahagian kepala.
Menurutnya, seorang lagi penunggang yang terbabit kemalangan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Rembau.
“Mayat kedua-dua mangsa akan dibedah siasat pukul 10 pagi esok di Jabatan Forensik Hospital Rembau, lapor KOSMO online.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA TERENGGANU – Seorang budak perempuan terpaksa menahan kesakitan lebih 45 minit selepas jari telunjuk kirinya tersepit dengan tombol pintu bilik rumahnya di Kampung Bukit Payung di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.08 pagi itu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dalam keadaan tombol pintu tersebut masih berada pada jarinya.
Penyelia Operasi Balai Bomba Jalan Kota, Faizal Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan jari telunjuk mangsa yang tersepit dengan tombol pintu berkenaan.
Beliau berkata, difahamkan mangsa bermain dengan tombol pintu salah sebuah bilik di rumahnya sebelum jari telunjuknya tersepit.
“Ibu dan ibu saudara kanak-kanak perempuan berkenaan mengambil masa kira-kira 15 minit cuba mengeluarkan jari mangsa daripada tombol pintu itu tetapi gagal.
“Mereka kemudian membawa mangsa ke HSNZ sebelum pakar perubatan hospital itu menghubungi bomba untuk meminta bantuan,” katanya di sini hari ini, lapor KOSMO online.
Faizal berkata, jari mangsa berjaya dikeluarkan daripada tombol pintu tersebut dengan menggunakan peralatan khas.
Jelas beliau, operasi bantuan tersebut agak mencabar kerana tombol pintu itu agak tebal dengan mempunyai dua lapisan besi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!