Sitiawan: Pekerja perempuan terpaksa menanggung kesakitan selama 15 minit selepas jari kirinya tersepit dalam mesin pengisar di sebuah kilang ayam di Pelabuhan Lumut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 10.10 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun itu cedera ringan di jari manis kirinya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima panggilan pada 10.15 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi, lapor HM online.
“Kejadian berlaku ketika remaja itu sedang mengisar isi ayam dan anggota bomba melakukan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan khas selama 10 minit,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Johor Bahru: Dua kereta dilaporkan terjunam di longkang besar yang sama di Kampung Sungai Rinting D di Masai di sini.
Kejadian itu dilaporkan berlaku hanya selang sehari apabila kejadian pertama berlaku semalam, manakala kejadian kedua pada petang hari ini.
Penduduk Kampung Sungai Rinting D, Tasliman Alwee, 47, berkata, kejadian pertama berlaku pada 8 pagi dan berulang sekali lagi pada 2 petang hari ini.
Menurutnya, dalam kejadian semalam, dia yang berada di rumah terdengar dentuman kuat dari laluan berhampiran sebelum ke lokasi kejadian.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati sebuah Perodua Axia warna merah terjunam di longkang di sebelah laluan berkenaan.
“Tanpa berfikir panjang, saya dan seorang penunggang motosikal membantu mangsa.
“Saya turun ke dalam longkang dan berjaya menyelamatkan mangsa yang juga seorang wanita berusia lingkungan 30-an dan anak perempuannya berusia kira-kira empat tahun.
“Alhamdulillah mereka tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan kereta berkenaan juga sudah dialihkan dalam tempoh masa beberapa jam selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tasliman berkata, malangnya pada hari ini kejadian sama berulang apabila sebuah Perodua Kancil terjunam di situ.
Menurutnya, seorang wanita mengalami kecederaan dalam kejadian hari ini.
“Saya difahamkan wanita berusia lingkungan 30-an itu cedera dan dibawa ke hospital dengan ambulans, lapor HM online.
“Tidak pasti punca kejadian itu sama ada laluan licin atau berbahaya. Kami berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membina bonggol di lokasi berkenaan bagi memberi amaran kepada pengguna laluan terbabit,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU – Selepas kejadian letupan kereta yang berlaku dua minggu lalu, seorang peniaga diuji sekali lagi apabila khemah gerai makannya yang terletak berhampiran Pangsapuri Kampung Sireh di sini rosak dipukul ribut petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Norehan Ariyatula, 42, mengalami kerugian hampir RM3,000 selepas khemah dan peralatan di dalam kedai makannya rosak akibat diterbangkan angin kuat.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang membuat persiapan awal di dalam premis itu untuk berniaga pada pagi esok.
“Sebelum kejadian, saya sempat melihat angin yang kuat menuju ke arah sehingga menyebabkan kerusi dan meja tercampak ke jalan raya.
“Saya hanya mampu berpegang pada tiang khemah dan kejadian itu berlaku dalam tempoh lima minit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Norehan, dia yang masih trauma kejadian letupan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback yang membawa muatan mercun dua minggu lalu kini terpaksa melalui detik yang sukar ketika ini.
Katanya, kejadian ribut pada petang tadi terjadi sekelip mata, namun tetap reda dengan ketentuan yang berlaku.
“Kerosakan dalam kejadian ini agak teruk. Runsing saya memikirkan untuk mencari wang untuk membaiki kedai makan yang menjadi punca pendapatan kami sekeluarga, lapor KOSMO online.
“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila anak perempuan yang berusia 12 tahun sempat naik ke rumah kami di tingkat empat pangsapuri. Jika tidak, saya tidak tahu apa akan berlaku kepadanya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JEMPOL – Seorang pemandu towing disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Palong 4, 5 dan 6 selepas lebih sejam terbabit dalam kemalangan di Jalan Besar Palong 2, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohamad Azim Othman, 26, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.25 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori towing jenis Isuzu yang dipandu mangsa dan lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang membawa muatan buah sawit.
“Siasatan awal mendapati pemandu muatan sawit dari arah Pasir Besar menghala ke Palong 2. Setiba ditempat kejadian, pemandu towing dari arah bertentangan dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu memasuki laluan lori muatan sawit dan merempuh di bahagian sisi kanan lori berkenaan.
“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Klinik Palong 4,5 dan 6 bagi menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia selepas sejam mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Beliau berkata, pemandu lori membawa muatan kelapa sawit berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Menurutnya, mayat mangsa bakal dibedah siasat petang ini bagi mengetahui punca kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan, lapor KOSMO online.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tanjung Malim: Seorang lelaki warga emas maut dihempap pokok tumbang berdekatan lampu isyarat Taman Universiti, dekat sini petang tadi.
Difahamkan, mangsa berusia 67 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 4.41 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan berkenaan.
“Tiba di tempat kejadian mendapati terdapat pokok tumbang yang laluan berkenaan selain terdapat seorang mangsa bersama motosikal jenis Honda EX5 dihempap pokok itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak hospital dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, lapor HM online.
Katanya, anggota bomba dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Muallim melakukan kerja pemotongan dahan pokok bagi pembersihan jalan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
YAN: Pesawah ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas dalam takungan air di bendang di Kampung Singkir Paya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa, Zainol Ariffin, 59, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan tersembam di kawasan sawah padi miliknya pada pukul 9.05 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang tinggal di Kampung Belakang Pondok Fauzi, Sungai Yan di sini pergi ke sawahnya yang terletak lebih kurang empat kilometer dari rumahnya untuk menabur baja.
“Keluarganya turut memaklumkan mangsa pernah beberapa kali mengalami sakit dada dan asma, tetapi, tetap berkeras untuk melakukan kerja-kerja di sawahnya,” katanya di sini, hari ini.
Shahnaz berkata, mayat mangsa ditemukan penduduk kampung itu yang melalui kawasan berkenaan.
Tambahnya, mangsa yang ditemukan lengkap berpakaian dan tiada kesan kecederaan dihantar ke Hospital Yan di sini untuk bedah siasat, lapor Utusan Online.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUAMI, ISTERI NYARIS MAUT KERETA TERHUMBAN TEPI SUNGAI
MACHANG – Pasangan suami isteri nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terhumban ke kawasan tepi sungai di Kampung Bandar Hilir, Kemubu di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 9 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berusia 55 dan 51 tahun mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.03 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai terbabas sebelum merempuh penghadang jambatan.
“Siasatan mendapati, insiden itu menyebabkan kereta berkenaan terhumban ke kawasan tepi sungai dengan keadaan bahagian hadapannya tersangkut pada sebatang pokok.
“Terdapat seorang penumpang wanita mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tersepit di bahagian tempat duduk hadapan. Pemandunya pula telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini, lapor KOSMO online.
Katanya, pemandu kereta itu dihantar ke Hospital Machang di sini manakala isterinya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KITAB DAN BUKU AGAMA TURUT MUSNAH DALAM KEJADIAN RUMAH TERBAKAR DI SG RETANG
JERANTUT: Rumah peneroka, Mohd@Mat Isa Mat Kassim (74) yang terbakar hampir 60 peratus musnah turut melibatkan himpunan kitab dan buku agama miliknya kerana mangsa merupakan imam di Masjid Sungai Retang di Felda Sungai Retang, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.00 petang, semalam.
Paling menyayat hatinya kejadian kebakaran ketika dia dan isterinya tidak berada di rumah setelah isteri mangsa, Halimah Abdullah (71) telah dimasukkan ke Hospital Jerantut kerana mengalami angin ahmar.
Pengerusi Masjid Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kejadian berlaku sangat pantas, dikatakan hanya sepuluh minit berlaku kebakaran, mujur bantuan awal diberi oleh Pasukan Bomba Sukarela Felda Sungai Retang dan Pengurusan Felda Sungai Retang dan penduduk kampung.
Pengerusi Masjid Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud menyampaikan sumbangan kepada Mohd@Mat Isa Mat Kassim, hari ini.
“Manakala bantuan turut diberi oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Retang serta orang ramai yang turut membantu memadamkan kebakaran tersebut.
“Balai Bomba Jerantut yang menerima panggilan pada jam 2.47 petang dengan kekuatan pasukan seorang pegawai dan 8 anggota ke lokasi dengan dibantu 7 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Retang membantu memadamkan kebakaran,”katanya.
Katanya, sebagai sebahagian keluarga besar Felda, kejadian ini turut mendapat perhatian pihak Wilayah Jengka termasuk unit tertentu yang sangat cakna akan kejadian tersebut.
Turut hadir Pengurus Felda Sungai Retang, Pegawai Penyelaras Kemajuan Hal Ehwal Islam, Wilayah Jengka, Mohd Faizal Marjani, , Pengerusi JKKK Felda Sungai Retang, Hafizan Omar dan Pengerusi GPW Felda Sungai Retang, Zariah Haron.
“Kami menghulurkan bantuan awal sebagai turut simpati kejadian yang menimpa mangsa sekurang-kurangnya meringankan sedikit bebanan yang menimpa,” katanya.
“Kebakaran melibatkan rumah separuh kekal dipercayai bermula dari bilik bersebelahan dengan ruang dapur, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.18 petang, punca dan kerugian masih dalam siasatan,”katanya
Kepada yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun, Mohd@Mat Isa Mat Kassim, Bank Simpanan Nasional (BSN), no akaun : 06105-29-89790966-6. Nombor telefon ; 019-9885734.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Putatan: Semua empat mangsa yang hilang ketika mandi di Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, di sini, berjaya ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mangsa pertama Norain Amit, 13, ditemukan pada 8.20 malam sebelum mangsa kedua, Rafidah Amit, 14, berjaya dijumpai kira-kira 40 minit selepas itu.
Manakala dua lagi mangsa Dalang, 17, dan Korais Amit, 8, ditemukan kira-kira jam 9.30 malam di lokasi tidak jauh dari tempat mereka dihanyutkan arus.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian.
Katanya, semua mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Berikutan penemuan semua mangsa kejadian ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan serta merta.
“Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan bagi mencari punca sebenar kejadian untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Mohd Haris berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam kejadian jam 5 petang tadi, lapan individu berusia lingkungan 8 hingga 17 tahun dikatakan pergi ke pantai berkenaan untuk bermandi-manda.
Bagaimanapun, ketika mahu pulang, mereka dikatakan cuba berenang ke tepi pantai namun dipercayai dihanyutkan ombak deras ke kawasan laut dalam.
Akibat kejadian itu, empat daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi hilang, lapor KOSMO online.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah.
Info awal https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=807097549913908&id=376688289621505
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kota Bharu: Seorang pesakit Covid-19 yang tular sejak pagi tadi selepas dikatakan lari dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tampil menafikan perkara berkenaan.
Wanita dikenali sebagai Che Nurul Nabilah Shaari, 24, menjelaskan dia tidak pernah masuk ke hospital berkenaan sebagaimana maklumat yang ditularkan.
Beliau sebaliknya berkata, dia kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan tidak bergaul dengan mana-mana individi lain.
“Untuk pemberitahuan semua, saya tidak lari daripada wad hospital kerana saya belum lagi masuk hospital.
“Saya kini menjalani kuarantin di rumah dan tidak bergaul dengan sesiapa. Saya juga sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan tentang perkembangan saya.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana telefon saya rosak menyebabkan saya tidak menerima sebarang maklumat,” katanya.
Beliau tampil menjelaskan perkara berkenaan menerusi aplikasi media sosial TikTok, hari ini.
Pada masa sama, Che Nurul Nabilah turut menyelar tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat mengatakan dia lari dari wad 8 hospital berkenaan, lapor BH ONLINE.
Beliau sempat berpesan kepada orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga, kerana pandemik Covid-19 sekarang membimbangkan.
Terdahulu, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menafikan penyebaran maklumat yang tular kononnya seorang pesakit Covid-19 melarikan diri dari hospital berkenaan, di sini, hari ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan buat masa ini hasil semakan juga mendapati tidak ada kemasukan pesakit sepertimana maklumat yang tular itu di hospital berkenaan.
“Kita sudah membuat semakan, tiada pesakit berkenaan di wad terbabit sebagaimana maklumat yang tular hari ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!