Bekas homeguard 111 tahun masih gagah berpuasa
Bekas homeguard 111 tahun masih gagah berpuasa
LIPIS – Mat Ariffin Mat Deris yang tinggal di Tanjung Buluh, Kerambit dekat sini masih gagah untuk menjalani ibadah puasa walaupun di usia 111 tahun.
Katanya, walaupun uzur tidak segagah sebelum ini, sejak awal tahun, dia boleh lagi berpuasa sehingga waktu berbuka menikmati juadah bersama keluarganya.
” Selepas bersara daripada homeguard pada tahun 1959 dan kini mencecah usia lebih satu abad saya mempu menjalani ibadah berpuasa cukup sebulan.
“Badan sudah tidak terdaya, kerap letih dan kurang pendengaran sejak akhir ini, namun, tidak mengganggu saya berpuasa dan masih boleh bergerak di dalam rumah mengambil wuduk dan solat,” katanya di Kampung Tanjung Buluh dekat sini.
Dia yang berasal daripada Kampung Kuin Merah, Rantau Panjang kini tinggal bersama anaknya, Mat Nawi di kampung tersebut merupakan seorang bekas homeguard dan Special Constable yang berjuang menentang ancaman Komunis di kawasan Pasir Mas (Kelantan) antara 1948 hingga 1959.
Warga emas itu mempunyai 13 orang anak berusia antara 42 hingga 72 tahun serta 40 orang cucu berkata, sejak daripada usia muda ketika menyertai pasukan homeguard dan membuat kerja kampung menyebabkan badannya lasak dan tidak mudah terkena jangkitan penyakit.
“Kemungkinan badan sudah lali dan lasak serta menjaga pemakanan antara punca kesihatan yang baik sehingga usia lebih satu abad dan kelebihan ini membolehkan saya berpuasa di bulan Ramadan dan meneruskan amalan ibadah lain selagi termampu dengan keizinan Allah SWT,” katanya.
Dia yang berpindah ke Kampung Tanjung Buluh pada awal 1970-an berkata, dia tidak mengamalkan minuman ais dan manis sejak dari usia muda malahan cuma minum air kosong ketika berbuka puasa dan selepas menjamah juadah.
“Perkara ini saya amalkan sejak usia muda dan cuma minum air kopi atau teh ‘o’ sekali sahaja sehari dan selebihnya banyak minum air kosong,” katanya.
Katanya, dia gemar makan ulam-ulaman, masakan sayur-sayuran, budu dan sekali-sekala mengambil makanan berasaskan daging dan ayam sejak usia muda.
“Saya dari keluarga miskin, sejak berusia kanak-kanak sememangnya tidak mampu menyediakan makanan yang sedap-sedap dan hanya makan sayur-sayuran yang ditanam, ikan sungai dan budu yang mudah diperoleh menjadi juadah harian mereka.
“Sebagai orang Islam, dia tetap meneruskan tanggungjawab Rukun Islam yang ketiga itu di samping ibadah yang lain selagi kesihatannya mengizinkan dalam usia yang sudah lanjut,” katanya.-SAHIH.