Foto atas : Haris Salleh (kiri) bersama Nazri Ngah (kanan) menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak yatim di Laman Kaseh, Jerantut, semalam.
Firma guaman rai sambutan Hari Guru di Jerantut
JERANTUT – Masih ada yang mengenang jasa guru di Firma Guaman Haris Salleh & Co (HSCO) menyediakan 66 biji kek sempena sambutan Hari Guru tahun ini.
Pengurusnya, Haris Salleh Hamzah berkata, 65 biji kek ditempah khas untuk semua sekolah rendah dan menengah di daerah ini manakala sebiji kek diagihkan ke Pejabat Pendidikan Daerah.
Haris Salleh (kanan) menyerahkan kek sambutan Hari Guru kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Gelanggi 1, semalam.
“Kita telah edarkan kupon kepada semua sekolah dan mereka boleh mengambil kek di Suya Bakery bermula 17 hingga 24 Mei ini.
“Ini adalah sumbangan kami bagi meraikan Hari Guru dan sebagai sembolik menghargai jasa dan pengorbanan guru menabur bakti di sekolah,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan menjadikan agihan kek Hari Guru sebagai acara tahunan dan kemungkinan ada penambahbaikan pada masa akan datang.
“Selain Hari Guru, kita telah membantu 20 murid di daerah ini yang mengidap penyakit kanser tiga tahun lalu.
“Pandemik yang melanda negara pada awal 2020 menyebabkan beberapa aktiviti kemasyarakatan tidak dapat dijalankan dan pihak kami akan membuat perancangan baru selepas ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Pakcik yang cuba berulang kali mengeluarkan wang dari mesin ATM tapi gagal.
Sayu adegan di mesin ATM… anak belum masuk duit, bapa tua itu tetap berulang kali ‘cucuk’ kad walaupun baki di dalam akaun cuma RM11
Perkongsian Mira mengenai kisah seorang lelaki tua yang ditemui di sebuah bank benar-benar menyentuh hati netizen.
LAIN orang, lain rezeki dan ujiannya.
Begitulah juga kisah perkongsian wanita ini mengenai seorang lelaki warga emas yang ditemui secara tidak sengaja di sebuah bank, baru-baru ini.
Menerusi kapsyen yang ditulis wanita itu pada perkongsian videonya, lelaki warga emas berkenaan dilihat berkali-kali cuba memasukkan kad bank sebelum berlalu dengan wajah yang sugul kerana tidak berjaya mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Salah satu komen netizen
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati warganet malah masing-masing terkenangkan bapa atau datuk sendiri selepas menonton video yang dimuat naik wanita berkenaan di laman sosial.
Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mira itu berkata, insiden tersebut berlaku pada 11 Mei lalu ketika dia bersama tunangnya dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas beraya di kampung masing-masing di Perak.
“Masa itu tunang nak hantar saya balik rumah. Sekitar pukul 8.20 malam, kami singgah di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Changkat Jering nak keluarkan duit.
“Dari luar memang dah nampak kelibat pakcik tu tunggu giliran nak masuk untuk keluarkan duit juga. Bila dah sampai giliran pakcik tu, nampak banyak kali dia masukkan dan keluarkan kad bank dia.
“Sangkaan kami kad dia bermasalah. Malah ada seorang kakak yang ada di dalam bank masa itu pun cuba tolong pakcik tu juga. Tapi still sama, masih tak dapat keluarkan duit,” cerita Mira.
Menurut wanita berusia 27 tahun ini, selepas gagal mengeluarkan wang, lelaki berkenaan keluar dari bank dan berkali-kali merenung kad bank miliknya di kaki lima.
“Tunang pun keluar kereta dan bertanya pakcik tu ‘kad pakcik rosak ke?’. Jawab pakcik tu ‘anak tak masuk duit lagi, baki ada RM11 lebih je’.
“Tunang saya terus hulur sampul raya. Pakcik tu terus ucap ‘Alhamdulilah terima kasih banyak nak’. Sebelum beredar, sempat tunang saya minta pakcik tu doakan kami murah rezeki,” ujar Mira yang juga pekerja sektor swasta.
Lebih menyentuh hati, Mira berkata lelaki berkenaan merenung lama sampul yang diberikan tunangnya seolah-olah tidak menyangka mendapat rezeki daripada individu tidak dikenali.
“Kebetulan motor pakcik tu diparkir belakang kereta kami. Masa pakcik tu atas motor, dia termenung tengok sampul yang kami bagi. Sayu betul rasa.
“Masa tunang masuk kereta dan beritahu apa yang diucapkan pakcik itu, terus mengalir air mata. Rasa bersyukur masih punya ibu ayah untuk berbakti,” katanya lagi.
Tidak menyangka video yang dimuat naik di TikTok meraih sehingga melebihi 400,000 jumlah tontonan, Mira berkata dia sekadar mahu berkongsi mesej positif dengan pengikutnya agar tidak melupakan orang tua masing-masing.
“Banyak komen yang benar-benar menyentuh hati saya. Antaranya ada netizen komen, begitulah perasaannya sewaktu kecil apabila bapanya nak keluarkan duit tapi duit tiada.
“Sekarang ini bila dah besar, dia tak lupa beri duit setiap bulan untuk bapanya,” kata netizen tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Lebih 3,000 orang yang menyertai rombongan pengantin lelaki ke majlis pernikahannya di Majalengka, Jawa Barat pada 9 Mei 2022. – kredit foto : TikTok @sundanesa.guy
Rombongan pengantin lelaki bawa 3,000 orang tetamu
DESA CIRANCA, Kecamatan Malausma Kabupaten Majalengka, Jawa Barat – Seorang jurugambar terkejut apabila melihat pengantin lelaki membawa lebih 3,000 orang rombongan ke majlis perkahwinannya pada 9 Mei lalu.
Viral video rombongan tersebut yang dimuat naik dalam akaun TikTok @sundanesa.guy yang dimiliki oleh Ivan Affandy, 29, seorang jurugambar atau fotografer yang sering terbabit merakam gambar pada majlis pernikahan, akad nikah dan pertunangan di sekitar wilayah itu.
Rombongan yang terdiri wanita dan lelaki itu berjalan kaki beramai-ramai di belakang pengantin lelaki sehingga ke hujung jalan.
Ivan berkata, video yang dimuat naiknya dalam akaun TikTok @sundanesa guy pada hari tersebut adalah rombongan pengantin lelaki yang membawa lebih 3,000 tetamu untuk menghantar barangan pengantin lelaki kepada pengantin wanita.
Menurutnya, video rombongan pengantin lelaki itu menuju ke lokasi pernikahan di rumah pengantin wanita dan semua rombongan termasuk pengantin lelaki hanya berjalan kaki ke rumah pengantin wanita.
“Pengantin lelaki tinggal satu kampung dengan calon isterinya cuma bezanya dusun berlainan dan ia tidak menjadi masalah jika rombongan pengantin lelaki itu berjalan kaki beramai-ramai ke rumah pengantin wanita,’’ katanya.
Ivan memberitahu, itulah kali pertama dia melihat rombongan tetamu yang paling ramai melebihi 3,000 orang yang tidak pernah diketemukan sepanjang kerjayanya sebagai jurugambar.
Jurugambar itu berkata, sebelum itu, dia pernah mendengar khabar yang mengatakan pengantin lelaki itu akan membawa rombongannya lebih 3,000 orang pada majlis pernikahannya tetapi dia tidak percaya kerana menganggap perkara itu hanya guruan sahaja.
“Namun, apabila tiba masanya, saya amat terkejut setelah melihat dari jauh berduyun-duyun rombongan pengantin itu berjalan kaki menuju ke rumah pengantin wanita.
“Seumur hidup saya tidak pernah bertemu lagi tetamu dari pengantin lelaki yang begitu ramai seperti di majlis pernikahan hari itu,’’ katanya lagi.
Dalam pada itu, pelbagai komentar dari netizen selepas video berkenaan viral dalam media sosial dan ada yang memberi komen akan menjadi kepenatan kepada petugas tukang masak dengan kehadiran tetamu seramai itu.
“Pasti orang tua pengantin lelaki itu adalah orang yang terkenal. Kalau tidak pun orang tuanya sangat baik atau disegani masyarakat setempat menyebabkan ramai yang hadir pada acara pengantin lelaki,’’ kata pemilik akaun TikTok @BerUsaha.
“Pasti kepenatan bahagian cuci pinggang mangkok,’’ ucap pemilik akaun@ngemill ahh.
“Selamat berjuang tim dapur,’’ kata pemunya akaun @vharida.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Laluan ke bandar Jerantut berhadapan stesen minyak Caltex digenangi air sedalam kira-kira 0.5 meter dalam banjir kilat petang ini.
Pengguna jalan raya di bandar Jerantut cemas, laluan dinaiki air
JERANTUT – Hujan lebat yang turun mengakibatkan beberapa tempat di bandar ini digenangi air kerana berlaku hujan lebat bermula kira-kira jam 5.15 petang, hari ini.
Kejadian banjir kilat itu mengundang kesesakan jalan raya di samping terdapat beberapa kenderaan tersekat dan berjaya diselamatkan.
Laluan yang paling teruk ditenggelami air di jalan menghala ke bandar Jerantut berhadapan dengan stesen minyak Caltex ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter.
Turut ditenggelami air di stesen minyak Petronas, kawasan premis dan Taman Inderapura berdekatan Jalan Jerantut – Temerloh menyebabkan beberapa buah kereta terperangkap dalam air dan aktiviti perniagaan ditamatkan lebih awal.
Bagaimanapun, air surut begitu cepat dalam tempoh 20 minit selepas hujan lebat berhenti pada jam 5.45 petang tadi.
Penduduk Taman Koperasi dekat sini, Basir Ramli berkata, kebanyakan kereta bergerak perlahan dan pemandu berhati-hati ketika melalui beberapa laluan ditenggelami air.
“Saya bimbang ketika balik ke rumah selepas datang dari rumah adik di Taman Inderapura untuk berhari raya, mulanya agak cemas bimbang kereta terkandas, tetapi mujurlah selamat.
“Mungkin sistem pembetung yang kecil, cetek atau tersumbat dengan sampah sarap di kawasan bandar ini yang boleh mengakibat berlaku banjir kilat,” katanya.
Seorang penduduk Taman Inderapura, Rahmat Mohd Yusoff berkata, ketika itu dia berada di rumah, hujan lebat berlaku disusuli dengan petir yang kuat.
Sebuah rumah nyaris terbakar berpunca litar pintas yang dipanah petir di bahagian suis utama rumah tersebut di Taman Inderapura pada jam kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, sebuah rumah nyaris terbakar berpunca litar pintas yang dipanah petir di bahagian suis utama rumah tersebut di Taman Inderapura pada jam kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, mujur tuan rumah bertindak pantas dengan membuat panggilan kecemasan ke Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastrutur dan Lalu Lintas Majlis Daerah Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor berkata, hujan sangat lebat dan luar biasa menyebabkan banyak laluan di bandar ini dinaiki air terutamanya di hadapan stesen minyak Caltex dan Restoran Kopi Putih, iaitu jalan menghala ke Temin.
“Saya mengakui pembetong sedia ada tidak dapat menampung jumlah air yang banyak ketika hujan lebat dan menyebabkan kerap berlaku banjir kilat.
“Alhamdulillah dalam tempoh 15minit hingga 20 minit air surut dan sedikit air yang bertakung,” katanya ketika ditemui di lokasi banjir di hadapan stesen minyak Caltex bandar ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Grup Komuniti Simpang Tiga bergotong royong membersihkan sampah yang ditinggalkan oleh pengguna jalan raya di laluan Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh bagi menghindari ‘sakit mata’ melihat sampah sarap bertaburan di tepi laluan itu.
Penduduk Simpang Tiga kutip sampah di laluan CSR, Lipis-Merapoh
LIPIS – Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berharap keadaan sampah sarap yang ditinggalkan pengguna jalan raya laluan CSR, Lipis-Merapoh tidak akan berulang lagi pada Hari Raya Aidilfitri tahun depan dan memohon pengguna laluan itu dapat menjaga kebersihan selari dengan ajaran agama Islam.
“Tahun sebelum ini, saya dan isteri pernah turut serta bersama penduduk Kechau, pekerja Alam Flora dan Majlis Daerah Lipis turun bergotong-royong mengutip sampah-sampah di laluan ini untuk memastikan persekitaran kiri-kanan jalan raya ini bersih semula.
Grup Komuniti Simpang Tiga mengutip sampah-sarap di sepanjang 400 meter di laluan CSR di situ dan mengumpul bahan buangan itu sebanyak 40 buah plastik untuk dimuatkan ke dalam lori pemungut sampah.
” Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dibina berdekatan Gua Bama, Kampung Relong bagi keselesaan pengguna jalan raya di laluan ini. Kita berharap pihak yang berwajib membina segera kemudahan ini sebelum hari raya tahun depan,” katanya.
Manakala, Grup Komuniti Simpang Tiga bergotong royong membersihkan sampah yang ditinggalkan oleh pengguna jalan raya di laluan Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh bagi menghindari ‘sakit mata’ melihat sampah sarap bertaburan di tepi laluan itu.
Ketua Grup Komuniti Simpang Tiga, Padang Tengku, Tengku Al Malek Faizal berkata, setiap kali sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri, mereka mengutip sampah berselarakkan sejak lima tahun lalu.
Katanya, paling banyak sampah berada di sebelah kiri laluan Simpang Padang Tengku dan Kampung Kechau seperti tin minuman, polisterin, plastik bungkusan makanan, kotak rokok, lampin pakai buang dan sebagainya dipercayai dibuang sesuka hati dari tingkap kenderaan.
“Nak buat cam mana, saya bersama beberapa orang penduduk kampung ini berusaha sendiri mengutip sampah-sarap di laluan ini kerana sudah tidak tahan ‘sakit mata’ melihat sampah.
“Kami membawa plastik sampah besar dan mengutip sampah di laluan ini sejak pukul 8 pagi hari ini, dan sudah menjadi rutin kami turun mengutip sampah, ” katanya di laluan CSR berdekatan Kechau dekat sini hari ini.
Katanya, sampah-sarap dibuang bersepah oleh orang ramai daripada Lembah Kelang dan tempat lain untuk pulang bercuti panjang berhari raya ke kampung halaman masing-masing dan kawasan berdekatan sejak sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri atau balik semula selepas hari perayaan.
Kata Tengku Al Malek, mereka mengutip sampah-sarap di sepanjang 400 meter di laluan CSR di situ dan mengumpul bahan buangan itu sebanyak 40 buah plastik untuk dimuatkan ke dalam lori pemungut sampah.
Seorang lagi aktivitis tersebut, Izwan Mustapa berkata, dia dan rakannya yang lain sudah sedia maklum kejadian buang sampah di laluan itu akan berlaku setiap kali menjelang sambutan hari raya dan hari perayaan lain.
“Kami tidak mengutip sampah menjelang hari raya kerana keadaan akan berlaku lagi, oleh itu eluklah kami kutip sampah selepas semua sudah balik semula ke Lembah Kelang.
“Memandangkan suasana yang amat kotor di jalan ini, saya sedih serta memohon pengguna yang berkenderaan di laluan ini ketika pulang berhari raya di negeri berdekatan Pahang supaya lebih berdisiplin dan menjaga sensitiviti penduduk di sini,” katanya.
Katanya, mereka bergotong royong mengutip sampah turut membantu pekerja Alam Flora dan Majlis Daerah Lipis setiap kali selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri di laluan ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pelancong wanita sambut Ramadan, menjelang Aidilfitri di Kuala Tahan
JERANTUT – Dua pelancong wanita Barat, iaitu Michelle Gerards dari England dan Phoebe Thorogood berasal dari Belanda mengalami suasana menarik ketika penduduk Islam di Malaysia berpuasa di bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Kunjungan kali pertama mereka selama dua hari dua malam di pusat peranginan hutan tropika kehadiran mereka dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri membekalkan banyak cerita menarik untuk disampaikan kepada keluarga dan rakan masing-masing apabila pulang ke negara mereka selepas mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan dekat sini.
Phobe Thorogood (duduk, kiri) dan Michelle Gerards sedang melayan seorang kanak-kanak, Aishah Akmal bermain bunga api ketika menginap di pusat inap Delimah Guesthouse Kampung Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.
Kedua pelancong tersebut merupakan ‘backpackers’ dan cuma bertemu di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur yang kebetulan masing-masing mempunyai hasrat dan tujuan yang sama untuk mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan.
Setibanya di Kuala Tahan, mereka memilih untuk menginap di salah sebuah pusat inap penduduk tempatan, iaitu Delimah Guesthouse milik Abdul Jalil Abd Rahman yang terletak di pesisir Sungai Tembeling setelah meneliti sebuah portal mengenai pelancongan dan penginapan di Taman Negara.
Gerards berkata, dia memilih negara ini untuk berkunjung selepas mula dibuka untuk orang luar khususnya pelancong kerana sangat berminat dengan keunikan hutan tropika Taman Negara yang dipercayai berusia lebih 130 juta tahun masih menyimpan banyak khazanah flora dan fauna.
“Lebih menarik, tempoh kunjungan saya ke sini ketika umat Islam sedang berpuasa dan sangat teruja untuk menghayati kehidupan masyarakat Melayu Kuala Tahan ketika mereka membuat persiapan juadah berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Saya teruja dengan budi bahasa dan keramahan ahli keluarga pemilik pusat ini kerana melayan kami dengan mesra bagaikan keluarga dan meghidangkan makanan tempatan yang cukup pedas tetapi sangat menyelerakan,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Kata Thorogood pula, kedamaian Kampung Kuala Tahan jauh berbeza dengan tempat tinggal di negaranya sekali gus kunjungan ke situ cukup menenangkan fikirannya walaupun cuma tempoh yang singkat menginap di pusat inap tersebut.
“Selepas makan (berbuka puasa), saya dan Gerards turun bermain bunga api dengan cucu pemilik pusat inap ini dan sungguh seronok dengan keindahan suasana waktu malam di kampung ini sehingga tidak sedar hingga menjelang tengah malam.
“Saya merancang untuk kembali ke sini tahun depan bersama rakan tempat kerja dari Belanda dan menginap lebih lama kerana masih banyak kawasan rekreasi di Taman Negara yang belum dikunjungi,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Penasihat 1 PJMM, Azman Rasman (berdiri kanan) bersama-sama kakitangan Grab, Saiful Anuar, Tengku Dewi dan sebahagian warga emas yang menerima agihan Wakalah Zakat.
LZS dan Grab agih zakat
SEMENYIH – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Grab mengadakan Program Kasihku untuk agihan Wakalah Zakat di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang dan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Awam dan Polisi Grab Petaling Jaya, Tengku Dewi Ahdiyana pula, agihan Wakalah Zakat itu memberi peluang kepada syarikat melalui wakilnya mereka mengagihkan sendiri zakat kepada penerima terbabit.
“Saya sendiri berasa terharu apabila berpeluang mengunjungi dua pusat jagaan ini kerana dapat melihatkan dengan lebih dekat kepayahan dan keuzuran warga emas yang perlu disantuni dengan baik dan tugas itu diuruskan dengan sempurna serta penuh rasa kasih sayang petugas pusat jagaan berkenaan,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Mohammad Khairul (tiga dari kiri) bersama-sama kakitangan Monstr dan warga emas di PJNH.
Kakitangan Monstr Confectionery santuni warga emas
BERANANG – Lima belas kakitangan Monstr Confectionery Sdn Bhd telah dibawa menyertai Program Menyantuni dan Berbuka Puasa Bersama Warga Emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang, baru-baru ini.
Pengarahnya, Muhammad Khairul Mohamed Ali berkata, langkah itu sebagai menggalakkan kakitangan syarikat berkenaan untuk bersikap lebih prihatin serta bertanggungjawab terhadap masyarakat khusus warga emas dalam melahirkan sejahteraan dan keharmonian.
Pengerusi PJNH, Mohiadin (depan) memberi taklimat kepada kakitangan Monstr Confectionery Sdn Bhd mengenai pusat jagaan itu dan nasib yang menimpa warga emas di situ.
Katanya, dalam usaha yang masih muda mereka wajar didedahkan dengan program komuniti terutama membabitkan aktiviti kerja kebajikan termasuk bagaimana cara menguruskan warga emas yang tersisih serta uzur di samping merasai kepayahan kehidupan mereka.
“Langkah itu akan membawa ke arah membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan kakitangan syarikat apabila mereka nanti turut turun padang untuk mempromosikan produk keluaran syarikat kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
“Di pusat ini mereka berpeluang bertanya khabar dan menyantuni warga emas yang uzur serta memiliki pelbagai karenah kerana terlalu memerlukan layanan daripada seorang kawan bagi meluahkan perasaan selepas disisih ahli keluarga atau hidup sebatang kara.
Katanya, sebelum ini mereka hanya mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada pusat kebajikan seperti rumah anak yatim, keluarga miskin serta asnaf tanpa berpeluang menyantuni dengan lebih mesra seperti dilakukan di PJNH
Mohammad Khairul berkata, program itu juga diharap menjadi penggerak atau pembuka jalan kepada aktiviti kebajikan dengan pusat jagaan yang lebih tersusun dan berkesan serta membabitkan lebih dua ribu ejen syarikat itu di seluruh negara.
Katanya, sebagai syarikat berasaskan coklat dan bakeri serta sudah lima tahun berada di pasaran dalam negara dan dia ingin melahirkan budaya berniaga sambil beramal dalam kalangan semua ejen supaya dapat berkongsi rezeki.
“Alhamdulillah saya sendiri sudah sedia maklum ada ejen sudah melakukan kerja kebajikan sendiri di tempat masing-masing bagaimana program di PJNH ini akan menjadi pendorong utama kepada aktiviti kerja kebajikan dan amal untuk seterusnya,” kata beliau.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Sebahagian rumah Zainab Musa dimusnahkan oleh gajah liar.
Gajah ‘ketuk pintu’ nak beraya di rumah ibu tunggal
JERANTUT – Kira-kira 20 ekor gajah liar telah menceroboh kawasan penempatan penduduk dan memusnahkan sebuah rumah ibu tunggal di Kampung Kuala Sat, dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 51, berkata, ketika kejadian itu ibu tunggal tersebut yang tinggal berseorangan, sementara anaknya, Azila Yaakob, 35, yang tiada di rumah kerana berhari raya di rumah saudaranya di Taman Negara Kuala Tahan sejak 1 Mei 2022.
Kumpulan gajah yang kelihatan berada berdekatan Kampung Kuala Sat sebelum kejadian memusnahkan rumah ibu tunggal itu.
“Kumpulan gajah liar ini mula dikesan berada di sekitar kawasan rumah ibu tunggal ini mulai pada jam 12.30 pagi dan menceroboh lalu memecahkan pintu dan tingkap serta berada di dalam kediaman ini hingga jam 4 pagi.
“Saya dan penduduk kampung hanya mampu menghalau sambil menjerit dan membakar tayar terpakai supaya kawasan gajah liar ini beredar dari kawasan tersebut di samping mengawal supaya tidak berlaku pencerobohan ke kawasan kediaman yang lain,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Jabar berkata demikian ketika mengiringi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah menziarahi rumah mangsa, Zainab Musa, 55, serta menyampaikan bantuan di kampung tersebut hari ini.
Katanya, renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dimaklumkan berkaitan kejadian itu dan datang ke lokasi cuma menghalau haiwan liar itu keluar daripada kampung tersebut.
“Kumpulan gajah liar itu yang masih berada di pinggir hutan berdekatan kampung dan dikhuatiri akan datang semula bila-bila masa dan menceroboh semula untuk mencari makanan dan kadang-kadang bertukar agresif seperti merosakkan kediaman penduduk serta tanaman,” katanya.
Sementara itu, ibu tunggal, Zainab Musa berkata, dia sungguh terkejut apabila mendapati pintu dan tingkap rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diduduki sejak beberapa tahun lalu serta peralatan perabot dan dapur habis musnah akibat dirosakkan oleh kawanan gajah liar itu.
“Malahan haiwan liar ini yang pernah datang ke rumah saya sebelum hari raya lagi meninggalkan tompokan najis bertaburan di dalam dan halaman rumah yang terpaksa saya bersihkan semula.
“Tiada apa yang tinggal semuanya musnah dan kami terpaksa menumpang tinggal di rumah saudara di kampung ini sambil berharap kerajaan negeri dapat membaik pulih atau membina baharu PPRT ini,” katanya.
Sementara itu, Nazri berkata, beliau memberikan jaminan untuk membantu ibu tunggal tersebut membina rumah baharu PPRT menerusi peruntukan kerajaan negeri dengan segera.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lemang ‘Kelamai’ teruskan kemeriahan hari raya ketiga di Lipis
LIPIS – Sekiranya dilihat dari jauh atau gambar sudah tentu orang akan menyangka lemang sedang dimasak, tetapi sebenarnya makanan itu dikenali sebagai ‘Kelamai’ bagi masyarakat Lipis khususnya penduduk di Kampung Relong, Padang Tengku dekat sini.
Seorang warga emas, Baharuddin Saaid, 63, berkata, kelamai sejenis makanan tradisional penduduk Relong dimasak seperti lemang, tetapi mengandungi bahan campuran tepung, santan dan gula kabung.
Baharuddin Saaid, golongan muda perlu menyambung tradisi memasak kelamai
“Kalau lemang, bahan memasaknya merupakan campuran beras pulut, santan dan sebagainya, tetapi kelamai cuma memerlukan tepung, santan dan gula kabung antara juadah tradisi masyarakat Melayu di sini.
“Kebiasaannya, kelamai dimasak pada hari raya ketiga, iaitu dalam tempoh umat Islam menjalani ibadat puasa enam. Jadi, kelamai sesuai untuk hidangan tetamu bagi menggantikan lemang yang sudah kehabisan termasuk juadah berbuka puasa bagi mereka yang menjalani puasa enam,” katanya.
Kelamai masakan juadah tradisional
Katanya, penduduk Relong menghidupkan warisan kelamai itu setiap kali selepas hari hari raya pertama dan kedua khususnya sepanjang bulan Syawal malahan makanan itu menjadi hidangan majlis kenduri-kendara perkahwinan dan program jamuan di masjid.
Katanya, berasaskan sejarah, juadah kelamai itu diwarisi daripada tokoh pedagang bernama Tok Linggi yang berasal daripada Kampung Bukit Meninjau, Sumatera Barat (Indonesia) yang berhijrah ke Pahang dan membuka Kampung Relong sekitar 1780-an.
“Selain meninggalkan ramai keturunannya di Kampung Relong dan berdekatan, Tok Linggi juga mewariskan makanan kelamai untuk dinikmati oleh generasi baharu sehingga ini,” katanya.
Baharuddin berkata, dia bersama abangnya, Zainal Abdini Saaid, 65, yang baharu pulang ke kampung dari Johor Bahru sudah berpakat untuk memasak kelamai pada hari raya ketiga kerana masih ramai sanak saudara dan tetamu yang bertandang ke rumah.
“Seperti biasa buluh lemang yang ditebang di pinggir kampung ini lalu dibersihkan dan dimasukkan tepung yang siap dibancuh, santan kelapa dan manisan pokok kabung, iaitu gula kabung yang telah diproses oleh pengusaha daerah ini.
“Memasak kelamai agak berbeza dengan lemang. Kelamai perlu dimasak pada bahagian atas terlebih dahulu, berbanding lemang lazimnya dipastikan masak bahagian bawah (pangkal),” katanya.
Tambahnya, tempoh memasak kelamai hampir dua jam dan apabila isi dalamnya terjulur keluar (muncul) di hujung buluh menandakan kelamai sudah masak dan boleh dimakan.
“Tidak semua penduduk di sini mahir memasak kelamai cuma segelintir orang-orang tua sahaja dan warisan makanan itu perlu dipelajari oleh golongan muda supaya ada kesinambungan untuk keperluan memeriahkan suasana hari raya dan kenduri-kendara,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!