Kastam rampas rokok seludup bernilai RM 2 juta
Foto atas : Pengarah Kastam Negeri Pahang, Wan Apandi Wan Hassan (kanan sekali) menunjukkan sebahagian rokok yang berjaya dirampas, hari ini
TEMERLOH : Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan rokok terbesar di negeri pahang di Kilometer (KM) 129.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh pada jam 8.30 pagi, 5 Januari lalu.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,169,280 turut membabitkan sebuah buah lori dan sejumlah rokok tidak berkastam.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, lori tersebut ditahan di tempat parkir kenderaan berat dan dipercayai dalam perjalanan daripada salah sebuah negeri di pantai timur menuju ke ibu kota.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan menjumpai seorang individu berusia dalam lingkungan 50an dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di bahagian kerusi penumpang di dalam lori tersebut.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atasi lori tersebut, pihak kastam menemukan muatan berisi rokok yang disyaki barang larangan import dengan anggaran sebanyak 2,860,000 batang rokok yang melibatkan nilai anggaran sebanyak RM258,800 dan jumlah duti serta cukai dianggarkan sebanyak RM1,910,480,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Kastam temerloh, hari ini.
Katanya, seorang lelaki warga tempatan yang berada di lokasi turut ditahan untuk membantu siasatan dan telah dikat jamin.
“ Rokok-rokok ini diklasifikasi sebagai barang yang dilarang pengimportannya di bawahButiran Satu(1), Bahagian Dua(2), Jadual Ketiga(3), Perintah Kastam (LaranganMengenai Import) 2017.
“Barang rampasan telah dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut, “ katanya.
Wan Apandi berkata, modus operandi penyeludupan itu dengan menyembunyikan rokok tidak berkastam di dalam lori yang mempunyai nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kes ini disyaki dilakukan oleh satu sindiket penyeludupan rokok melalui pintu masuk pelabuhan negara. Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dengan berurusan dengan barang-barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM 100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM 500,000.00 yang mana lebih besar,” katanya.
Katanya, kesalahan itu turut boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama orang awam diperlukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubung Talian Bebas Tol Kastam, 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.
Sumber : Harian Metro