STOCKHOLM: Penganugerahan Hadiah Nobel 2020 bermula dengan kategori perubatan, hari ini, ketika dunia sedang bergelut memerangi pandemik COVID-19.
Pengumuman pemenang untuk kategori fizik dijadualkan menyusul, esok, manakala kimia pada Rabu ini.
Anugerah yang paling dinanti-nantikan – kategori kesusasteraan dan keamanan – pula bakal diketahui pada Khamis serta Jumaat ini.
Pengiktirafan antarabangsa itu akan berakhir dengan pengumuman pemenang dalam kategori ekonomi pada 12 Oktober ini.
Tahun ini, penyelidikan berkaitan COVID-19 menjadi tumpuan dunia susulan penularan wabak itu.
“Pandemik itu adalah krisis besar untuk manusia, namun ia menggambarkan betapa pentingnya sains,” kata ketua Yayasan Nobel, Lark Heikensten.
Bagaimanapun, dijangkakan tiada penganugerahan tahun ini bagi kajian berkait secara langsung dengan COVID-19 berikutan lazimnya ia mengambil masa bertahun-tahun untuk dibuktikan.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TOKYO: Pereka fesyen terkemuka Jepun, Kenzo Takada yang juga pengasas jenama global Kenzo, meninggal dunia akibat wabak COVID-19, di ibu kota negara itu, semalam.
Takada, 81, adalah pereka fesyen Jepun yang pertama berjaya bertapak di Paris dan terkenal dengan hasil ilham bercorak floral.
“Hari ini, optimisme, semangat untuk hidup dan kemurahan hati beliau terus menjadi tonggak Maison (Rumah) kita. Beliau akan sangat dirindui dan diingati selalu,” ciap rumah fesyen Kenzo yang diasaskan mendiang.
Takada melancarkan koleksi pertama beliau di Paris, kira-kira 50 tahun lalu.
“Setiap dinding, setiap langit dan setiap orang yang melewati, membantu saya membina koleksi,” katanya seperti dilaporkan AFP.
Mendiang bersara pada 1999, iaitu enam tahun selepas menjual jenamanya kepada konglomerat mewah, LVMH, dan mendedikasikan masanya untuk projek one-off, termasuk satu koleksi reka bentuk pada awal tahun ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Songkhla: Ketua Pengarah Organisasi Taman Zoologi Thailand, Suriya Saengpong, mati ditembak oleh pegawai Zoo Songkhla ketika dia sedang menyiasat kehilangan rusa albino, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Suriya ditembak di zoo yang terletak di wilayah selatan ketika dia sedang menyiasat kehilangan dua rusa albino pada Jumaat.
Polis dari Balai Muang Songkhla sedang menyiasat kejadian itu.
Terdahulu, Pengarah Zoo Songkhla dan tiga lagi pegawai dipindahkan ke ibu pejabat sementara menunggu hasil siasatan itu berhubung kehilangan rusa itu.
Selepas menembak mati mangsa, penembak itu iaitu salah seorang yang dipindahkan ke ibu pejabat, menembak dirinya sendiri, 300 meter dari tempat kejadian.
Lelaki itu dikenali sebagai Poowadol Suwanna, seorang veterinar dan Ketua Bahagian Pemuliharaan, Penyelidikan dan Kesihatan Haiwan zoo itu.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Varawut Silpa-archa diberitahu mengenai kejadian itu dan memerintahkan pampasan penuh untuk keluarga si mati.
Lembaga Organisasi Taman Zoologi sedang menyiasat kejadian itu dan akan segera melaporkan penemuannya kepada menteri.
HM
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda Mindoro, Filipina, pada jam 2.16 pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gegaran itu berlaku kira-kira 40 kilometer (km) barat daya dari Batangas City, Filipina, pada kedalaman 132km.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW DELHI: Tuah buat seorang wanita di India yang menjadi kaya sekelip mata selepas menangkap ikan gergasi seberat 52 kilogram.
GulfNews melaporkan hasil tangkapan itu dijual di pasar berdekatan dengan harga 6,200 rupee (RM352) sekilogram.
Pushpa Kar, penduduk di kampung Chakphuldubi, Pulau Sagar di barat Bengal menangkap ikan gergasi dari sebuah sungai di perkampungan itu sebelum meraih 300,000 rupee (RM17,039) menerusi hasil jualan.
Penduduk tempatan mendakwa, penemuan ikan gergasi itu belum pernah berlaku sebelum ini.
Bercakap kepada media tempatan, Kar menyifatkan ikan itu umpama rezeki terpijak buatnya seumur hidup.
“Saya dapat lebih daripada 300,000 rupee selepas menjual ikan itu di pasar borong.
“Saya tidak pernah nampak ikan sebesar itu seumur hidup saya. Di sini, SilverCroaker dipanggil ikan Bhola,” katanya.
Difahamkan, wanita itu ternampak ikan berkenaan terapung sebelum terjun ke sungai dan sedaya upaya membawanya ke tebing.
Penduduk tempatan membantu wanita itu membawa ikan itu ke pasar.
“Ikan itu kemungkinan terbunuh kerana berlanggar dengan kapal,” kata seorang penduduk kampung.
Sementara itu, peniaga tempatan mendakwa nilai ikan itu kemungkinan lebih mahal jika ia tidak mati dan membusuk.
Lemak ikan itu dijual dengan harga tinggi dan dieksport ke negara di Asia Tenggara, malah maw ikan (perut ikan) boleh mencecah sehingga 80,000 rupee (RM4,544) sekilogram atau lebih mahal lagi.
Seorang pengguna Twitter, Pooja Mehta membuat ciapan tentang penemuan ikan yang menjadikan wanita itu kaya dalam semalaman hingga perkongsian itu menjadi tular dan jadi bualan ramai.
Sumber: HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JEDDAH: Selepas lebih enam bulan sekatan ibadat umrah dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19, Masjidil Haram kembali dibuka dengan ketibaan kumpulan jemaah pertama hari ini.
Lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia berkongsi kegembiraan apabila kumpulan jemaah ini dibenarkan masuk ke Masjidil Haram mulai jam 6 pagi selepas membuat permohonan melalui aplikasi I’tamarna yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Sejak pertengahan Mac lalu, Arab Saudi mengambil pendekatan drastik bagi memerangi penularan COVID-19 dengan menggantung pelaksanaan ibadat umrah dan ibadat solat di Masjidil Haram.
Kerajaan Arab Saudi turut menggantung penerbangan antarabangsa dan melaksanakan perintah berkurung bagi mengelakkan peningkatan kes berikutan pandemik itu.
Bagi menampung kuota 6,000 jemaah yang dibenarkan dalam masa sehari, Kementerian Haji dan Umrah telah menyediakan lima lokasi berasingan termasuk di Al-Gaza, Ajyad dan Al-Shasha, bagi membolehkan jemaah bersama petugas kesihatan profesional menaiki bas ke Masjidl Haram.
Kedatangan kumpulan jemaah pertama ini akan disambut dengan pelbagai kemudahan kesihatan termasuk mesin pengimbas haba yang ditempatkan di pintu masuk dan di dalam Masjidil Haram bagi memantau suhu badan dan mengeluarkan amaran berdasarkan keperluan.
Kira-kira 1,000 petugas sudah dilatih bagi memantau sepanjang proses ibadat umrah di Masjidil Haram, lapor agensi berita Arab News.
Selain itu, Masjidil Haram juga akan melalui proses pembersihan dan nyahkuman sebanyak 10 kali dalam masa sehari .
Kawasan mataf yang terletak di sekitar Kaabah yang boleh memuatkan sehingga 2.5 juta jemaah dipilih sebagai lokasi bagi umat Islam menjalani ibadat umrah kali ini.
Ruang khusus sebagaimana disediakan untuk jemaah yang melaksanakan ibadat haji pada Ogos lalu turut diperkenalkan bagi memudahkan akses sepanjang mereka berada di Masjidil Haram.
Presiden Hal Ehwal Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais yang merujuk kepada kebenaran diraja daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman turut memaklumkan jemaah dibenarkan mengerjakan untuk menziarahi Raudhah yang terletak di dalam Masjid Nabawi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW DELHI: Menyayat hati apabila seorang bayi perempuan yang baru dua hari dilahirkan di India ditemui mati dipercayai ditikam 100 kali dengan pemutar skru.
GulfNews yang memetik laporan media tempatan melaporkan mayat mangsa ditemui di Bhopal, Madhya Pradesh, pada Isnin lalu.
Bayi malang itu dibalut dengan selendang dan ditinggalkan berhampiran kuil di kawasan perumahan di perumahan Ayodhya Nagar.
Menurut laporan media tempatan, pegawai kanan Polis Ayodhya Nagar, Renu Merab mengesahkan menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa jam 7 pagi.
Katanya, terdapat kesan luka dengan lubang pada badan mangsa sebaik selendang yang membalut badannya ditanggalkan.
“Kami mengesyaki bayi itu dilahirkan di rumah, bukan di hospital sebelum mangsa dibunuh.
“Selepas membunuh bayi berkenaan, suspek disyaki meninggalkan mayat berhampiran kuil pada waktu malam sehingga badannya dicederakan haiwan.
“Bedah siasat mendapati mangsa ditikam dengan pemutar skru sekurang-kurangnya 100 kali,” katanya.
Menurut Renu, identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya menjalankan siasatan termasuk merujuk rakaman rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, kes berkenaan menarik perhatian warganet yang menyelar tindakan suspek yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEIJING: Mengerikan apabila seorang wanita dibakar hidup-hidup ketika membuat penstriman langsung menerusi aplikasi TikTok.
Lebih mengejutkan, jeritan mangsa dapat didengar jelas pengikutnya yang menyaksikan sesi berkenaan.
Itu pengalaman ngeri menimpa bintang TikTok di China yang dibakar bekas suaminya sendiri, baru-baru ini.
Menurut laporan DailyStar, wanita berusia 30 tahun dikenali sebagai BlackGirlRahm atau Ram itu diserang lelaki terbabit pada 14 September lalu di wilayah pergunungan Aba di barat China.
Bekas pasangannya didakwa menyerang wanita itu di depan ahli keluarganya.
Akibat dibakar, Ram melecur 90 peratus pada badannya dan koma selama dua minggu sebelum meninggal dunia pada 30 September lalu.
Susulan kejadian, polis menahan lelaki itu yang dikenali sebagai Tang atas kesalahan membunuh.
Sesetengah laporan menyebut Tang menyerang Ram selepas wanita itu memulakan proses perceraian kerana dakwaan masalah keganasan rumah tangga.
Pasangan itu memiliki dua anak lelaki yang masih kecil.
Ram adalah seorang vlogger terkenal TikTok dengan memiliki lebih 782,000 pengikut.
Beijing Youth Daily melaporkan pada hari kejadian wanita itu mempersembahkan sebuah nyanyian dan ucapan kepada pengikutnya sebelum siaran terganggu sebelum jeritan suaranya kedengaran.
Selepas tragedi itu, kutipan dana dilancarkan untuk membantu keluarga Ram membiayai kos rawatannya berjumlah sejuta yuan (kira-kira RM612,00).
Kira-kira 60 peratus daripada sumbangan itu digunakan untuk membayar rawatan wanita itu, manakala bakinya disumbangkan semula kepada badan kebajikan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Washington: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan isterinya, Melania disahkan positif Covid-19.Sebelum ini, Trump dan isterinya dilaporkan mengambil ujian saringan selepas seorang penasihat kanan kepada presiden, Hope Hicks disahkan positif virus berkenaan.”
Malam ini, @FLOTUS (Melania Trump) dan saya disahkan positif Covid-19. Kita akan menjalani kuarantin dan proses pemulihan dengan serta-merta.
Kami akan menghadapinya bersama-sama,” ciapnya menerusi Twitter.Hicks, 31, sebelum ini mengembara dengan Trump beberapa kali minggu ini, termasuk ketika menaiki kapal Marine One, helikopter presiden, untuk kempen pemilihan presiden pada Rabu.
Selain itu, individu itu turut bersama Trump ketika presiden itu dalam perjalanan ke Debat Presiden di Cleveland, Ohio, Selasa lalu.Berita lanjut menyusul
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Pakar kesihatan British semalam mengakui pandemik COVID-19 berada di luar kawalan berikutan peningkatan kes dan kemasukan pesakit ke hospital walaupun kerajaan memperketatkan sekatan bagi melarang perjumpaan sosial secara berkumpulan.
Ketua Penasihat Saintifik Kerajaan, Patrick Vallance, dalam satu sidang media berkata, sebanyak 7,108 kes dan 71 kematian menunjukkan penularan COVID-19 di United Kingdom (UK) berada di tahap semakin membimbangkan.
“Perkara ini yang pastinya sedang menuju ke arah yang salah.
“Buat masa sekarang, kami juga tidak mampu mengawalnya,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty, turut memberi amaran berikutan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang mencatatkan peningkatan ketara.
Seramai 42,000 terkorban akibat COVID-19 di Britain setakat ini, angka terburuk di Eropah walaupun kerajaan telah menguatkuasakan perintah berkurung sejak penghujung Mac lalu.
Pelonggaran sekatan hanya diumumkan pada Jun, namun berikutan angka kes COVID-19 terus meningkat, kerajaan telah menguatkuasakan semula larangan berhubung penganjuran perhimpunan sosial, termasuk bagi perjumpaan yang dihadiri lebih enam orang.
Selain itu, kerajaan turut mengarahkan penutupan awal kelab malam sebagai langkah membendung penularan COVID-19.
Sementara itu, Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan kesan akibat peningkatan kes COVID-19 di negara itu dan mengharapkan rakyat akan terus mematuhi semua peraturan yang dikuatkuasakan.
“Sekiranya kita bersatu sekarang, berkemungkinan kita dapat mengatasi impak dan langkah lain yang terpaksa diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Walaupun pelbagai amaran mengenai peningkatan kes COVID-19, kira-kira 50 ahli Parlimen parti konservatif yang marah dan tidak berpuas hati berikutan sekatan terhadap kebebasan peribadi rakyat.
Mereka mengancam untuk menyokong usul di Parlimen yang menuntut lebih banyak pengawasan terhadap peraturan yang dikuatkuasakan pada masa depan.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!