GAZA: WhatsApp dipercayai menyekat puluhan wartawan Palestin daripada menggunakan aplikasi pesanan mesej itu susulan serangan udara rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza, menurut petugas media.
Tidak lama selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 2 pagi Jumaat lalu, dua wartawan AFP di Gaza menerima notis daripada WhatsApp memberitahu akaun mereka sudah disekat.
Wartawan lain, di Baitulmaqdis dan Tebing Barat dan Gaza, berkata, akaun WhatsApp mereka juga disekat.
Seorang petugas dari saluran Al Jazeera pula berkata, akaun mereka kembali boleh digunakan selepas mereka mengemukakan aduan kepada pemilik WhatsApp iaitu Facebook.
Naib Presiden Persatuan Wartawan Palestin, Tahseen al-Astall, berkata kira-kira 100 wartawan di Gaza mendapati akaun WhatsApp mereka disekat.
Sebagai keperluan untuk liputan kedua-dua pihak, wartawan di Gaza menerima kenyataan daripada pejuang Hamas, antaranya termasuk menerusi WhatsApp.
Dalam pada itu, Pusat Arab untuk Pembangunan Media Sosial berkata, tindakan menyekat akaun WhatsApp itu bukanlah kes terpencil.
Dalam satu laporan terbaharu, kumpulan itu yang berpangkalan di Haifa, bandar yang dikuasai Israel, merekodkan 500 kes membabitkan ‘hak digital’ penduduk Palestin dicabul antara 6 Mei hingga 19 Mei.
“Kandungan dan akaun dipadamkan, dikurangkan atau dihadkan, tanda pagar (hashtag) disembunyikan, dan kandungan arkib dihapuskan,” menurut laporan itu, lapor AFP.
Kira-kira 50 peratus daripada laporan itu mengenai Instagram, 35 peratus (Facebook), satu peratus (Twitter) and satu peratus Tik Tok.
“Syarikat terbabit tidak memberikan penjelasan mengenai tindakan memadam atau menggantung kandungan kepada hampir sebahagian kepada pengguna terbabit,” kata laporan sama.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MEDAN: Empat orang ditahan di Indonesia kerana didakwa mencuri vaksin COVID-19, yang disediakan untuk banduan dan kemudian menjualnya kepada umum, demikian menurut pihak berkuasa hari ini.
Suspek terbabit mengambil lebih 1,000 dos vaksin keluaran Sinovac China daripada kuota yang diperuntukkan bagi banduan.
Mereka kemudian menawarkan vaksin itu kepada pembeli di Jakarta dan di bandar Medan, Sumatera Utara pada harga sekitar 250,000 rupiah (RM71.88) setiap satu.
Menurut polis, empat yang diberkas itu termasuk seorang doktor di penjara di Medan dan seorang pegawai kesihatan tempatan.
Mereka boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan di bawah undang-undang antirasuah Indonesia.
“Salah seorang suspek membawa vaksin itu ke Jakarta di mana kami juga mengesan sebahagian lokasi yang menawarkan khidmat itu,” kata jurucakap polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi memberitahu AFP, hari ini.
Indonesia terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan sedang menjalankan kempen vaksinasi besar-besaran untuk hampir 270 juta penduduknya.
Rakyat Indonesia diberi vaksin COVID-19 secara percuma.
Namun, berpuluh-puluh ribu penduduk masih lagi menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin, dengan bekalan terhad diutamakan untuk petugas kesihatan barisan hadapan serta kumpulan lain yang berisiko tinggi – termasuk penjara yang penuh sesak.
Sistem penjara negara itu terkenal dengan keadaannya yang teruk dan kumpulan hak asasi manusia sudah memberi amaran mengenai risiko berlaku penularan COVID-19 dalam penjara di merata negara itu.
Penangkapan itu dibuat susulan satu skandal berasingan di Sumatera Utara bulan ini, di mana polis menyatakan ia mendapat tahu petugas kesihatan di lapangan terbang Medan mengitar semula lidi kapas yang digunakan dalam ujian COVID-19 dengan mencucinya dan kemudian membungkusnya semula.
Perbuatan itu mungkin sudah menjejaskan ribuan penumpang yang diuji di lapangan terbang terbabit, menurut polis.
Indonesia mencatatkan lebih 1.7 juta kes COVID-19, dengan hampir 50,000 kematian setakat ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEHRAN: Sekurang-kurangnya sembilan orang cedera selepas sebuah kilang menghasilkan bahan letupan meletup di Isfahan, Iran.
Ketua badan pengurusan krisis wilayah berkenaan, Mansour Shisheforoush, berkata kejadian di Sepahan Nargostar Chemical Industries itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan, sembilan pekerja kilang yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Pasukan penyiasat kini berada lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca letupan,” katanya, lapor AFP.
Kilang terbabit berada kira-kira 45 kilometer dari bandar Isfahan dan menurut laman sesawang syarikat berkenaan, kilang ditubuhkan pada 1941 itu menghasilkan bahan letupan komersial untuk industri.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RIYADH: Hanya seramai 60,000 jemaah dari seluruh dunia dibenarkan menunaikan ibadat haji tahun ini di Makkah.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi, menerusi perkongsian di Twitter, memaklumkan sejumlah 45,000 tempat ditawarkan kepada jemaah dari luar Arab Saudi manakala bakinya dikhususkan untuk jemaah tempatan.
Kementerian itu turut mengeluarkan garis panduan setebal sembilan muka surat bagi memastikan jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Berdasarkan garis panduan itu, jemaah perlu melengkapkan semua dokumen berkaitan status kesihatan mereka termasuk memiliki sijil vaksinasi.
Jemaah juga perlu melalui pemeriksaan visual sebagai langkah berjaga-jaga berkaitan pandemik COVID-19, lapor Agensi.
Sebarang maklumat berkaitan akan disalurkan melalui media sosial, agensi pelancongan dan menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Setibanya di tempat penginapan, jemaah sekali lagi perlu melalui pemeriksaan suhu manakala tempat penginapan perlu memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kementerian Haji dan pihak berkaitan.
Semua jemaah antarabangsa perlu menjalani kuarantin selama tiga hari serta ujian calitan di tempat penginapan.
Malah, jemaah akan diasingkan dalam dalam kumpulan tertentu untuk menunaikan ibadat terbabit bagi mematuhi syarat penjarakan fizikal.
Semua bagasi jemaah akan disanitasi oleh petugas selain kakitangan akan ditempatkan di semua pintu masuk bagi memantau dan memastikan kelancaran proses haji.
Bagi ibadat melontar jamrah, semua jemaah akan disediakan dengan batu yang sudah disanitasi oleh penganjur.
Hanya 50 jemaah dibenarkan berada di setiap tingkat bagi melontar jamrah pada satu masa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PANGLIMA TENTERA NIGERIA ANTARA 10 MAUT DALAM NAHAS UDARA
ABUJA – Seramai 11 pegawai tentera Nigeria, termasuk Panglima Tentera Darat, Ibrahim Attahiru, maut selepas pesawat dinaiki terhempas di Kaduna di barat laut negara itu pada petang Jumaat, lapor Agensi Berita Xinhua, lapor AFP.
Attahiru bersama pegawai lain dalam perjalanan dari Abuja menuju ke bandar Kaduna sebelum pesawat tentera itu terhempas berhampiran lapangan terbang antarabangsa Kaduna, kata jurucakap tentera Mohammed Yerima dalam satu kenyataan.
Menurut beberapa sumber tentera, Attahiru baru dilantik menjadi panglima 26 Januari lalu dan dalam perjalanan untuk melakukan tugasan rasmi.
Punca nahas masih disiasat dan identiti mangsa yang lain belum dapat dipastikan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANDAR GAZA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menggesa konflik terbaru antara Israel dengan kumpulan pejuang di Gaza ‘diredakan secara signifikan’ ketika kedua-dua pihak terus saling berbalas serangan, menjelang usaha diplomatik untuk membendung keganasan itu daripada berlarutan, hari ini.
Jet pejuang rejim Zionis telah menyerang tempat tinggal sekurang-kurang enam pemimpin Hamas, menurut satu kenyataan tentera yang mendakwa terdapat ‘infrastruktur tentera’ disimpan di setiap kawasan berkenaan.
Kumpulan pejuang Islamic Jihad di Gaza pula mengaku bertanggungjawab melakukan bedilan roket terbaru ke atas rejim Zionis yang menyaksikan siren amaran serangan bergema pada awal pagi tadi.
Pergolakan meruncing walaupun Washington semalam mendesak supaya konflik terbaru yang tercetus pada 10 Mei lalu itu diredakan.
“Presiden memberitahu Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu) bahawa beliau menjangka keadaan diredakan secara signifikan, hari ini (semalam), dalam laluan ke arah gencatan senjata,” menurut Rumah Putih.
Diplomat utama Jerman dijadual mengadakan rundingan dengan Israel, hari ini, bagi merintis usaha mencapai gencatan senjata itu.
Dalam tempoh 10 hari lalu, 219 rakyat Palestin terkorban, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, manakala polis rejim Zionis pula memaklumkan 12 orang di sebelah mereka terbunuh, akibat konflik kali ini.
Seorang pegawai tentera Israel yang enggan dikenali, memaklumkan bahawa rejim Zionis sedang menilai peringkat apa untuk mereka berkemungkinan menghentikan tindakan ketenteraman, lapor AFP.
“Kami sedang meneliti bila masa yang tepat untuk gencatan senjata,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIS: Paris Saint-Germain berpeluang meraih kejuaraan domestik berganda selepas memenangi Piala Perancis dengan menewaskan Monaco 2-0 pada final di Stade de France.
Jaringan Mauro Icardi dan Kylian Mbappe memastikan kejuaraan buat PSG yang akan mengharungi aksi terakhir Ligue 1 musim ini dengan peluang untuk memenangi gelaran liga ke-10 mereka.
Juara Perancis itu sudah memenangi Piala Perancis sebanyak enam kali sepanjang tujuh musim lalu dan tidak pernah terlepas aksi final sejak tahun 2015.
Ia juga trofi kedua dalam karier pengurusan Maurico Pochettino selepas dia memenangi Trofi Juara-Juara untuk PSG pada Januari.
“Kami bekerja setiap hari untuk mengalami perasaan, ganjaran dan pengiktirafan seperti ini.
“Ia adalah hasil kerja berpasukan, semua yang terbabit dengan kelab ini, dan penyokong-penyokong yang tidak dapat bersama kami, lapor AFP.
“Kami sentiasa memikirkan tentang peminat dan kejuaraan ini adalah untuk mereka juga,” kata Mbappe.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEIJING – Salah sebuah pencakar langit tertinggi di China dikosongkan hari ini selepas bangunan itu mula bergoyang, mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam kejadian di bandar Shenzhen, selatan negara itu.
Bangunan SEG Plaza setinggi hampir 300 meter itu mula bergegar sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) sekali gus mendorong pihak berkuasa memindahkan orang ramai di dalamnya.
Media tempatan melaporkan bahawa bangunan itu ditutup setakat pukul 2,40 petang (waktu tempatan) tadi.
Siap pada tahun 2000, menara itu itu menempatkan premis barangan elektronik di samping berbilang pejabat.
Sementara itu, pegawai-pegawai pengurusan masih menyiasat punca menara itu bergoyang, demikian menurut satu kenyataan di laman sosial tempatan, Weibo.
“Selepas memeriksa dan menganalisis data beberapa stesen pengawasan gempa bumi di seluruh Shenzhen, tiada gempa bumi berlaku di bandar ini hari ini,” kata kenyataan itu, lapor AFP.
Kenyataan sama menyebut bahawa tiada keretakan pada bangunan dan kawasan di sekitarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan kira-kira 120 orang masih hilang di beberapa negeri di India selepas ribut taufan Tauktae membadai pantai barat negara itu, lapor Agensi Berita Sputnik memetik media nasional pada Selasa.
Menurut India TV, negeri Karnataka merupakan yang paling teruk dilanda taufan dengan lapan kematian dilaporkan. Dua maut ketika kapal tunda mereka terbalik di laut.
Sebanyak 121 kampung di tujuh daerah Karnataka turut terjejas akibat taufan.
Sementara itu, Ketua Menteri Goa Pramod Sawant berkata ribut itu telah mengorbankan dua orang.
Di tempat lain di India, enam penduduk Maharashtra maut dalam kejadian berasingan dan tiga pelaut masih hilang setelah dua kapal karam di laut pada awal pagi.
Pada masa sama, Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran merah untuk daerah Rajasthan yang berdekatan dengan Gujarat, lapor Bernama.
Tentera Laut India masih meneruskan pencarian 127 orang, yang berada di dalam kapal yang tenggelam kira-kira 175 kilometer dari Mumbai. Kapal itu membawa 273 penumpang di dalamnya, 146 daripadanya berjaya diselamatkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HARGA EMAS MAMPU CECAH KE PARAS TERTINGGI SEKALI LAGI
KUALA LUMPUR: Harga emas pukal berupaya mencecah ke paras tertinggi tahun lalu iaitu AS$2,076 seauns atau RM301.93 segram dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ia berikutan trend kenaikannya yang menyaksikan harga emas
hari ini berada pada paras tertinggi dalam tiga bulan berikutan ketidaktentuan tahap pemulihan ekonomi global, jangkaan peningkatan inflasi dan jaminan bank pusat Amerika Syarikat (AS) bahawa dasar monetari kekal akomodatif.
Ketua Strategi Pasaran Global ATFX, Alejandro Zambrano, berkata prospek positif harga logam berharga itu dalam tempoh jangka pendek di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 yang dibayangi kebimbangan mengenai kadar inflasi di seluruh dunia.
Katanya, untuk tempoh beberapa minggu akan datang, harga emas berkemungkinan diniagakan lebih tinggi selepas pelabur turut bimbang dengan pasaran saham yang berada di bawah tekanan dan akan beralih kepada emas sebagai aset selamat.
“Buat masa ini, kenaikan harga emas juga selaras dengan kebimbangan mengenai inflasi dan kenaikan ini adalah baik selain berpotensi melonjak sehingga paras tertingginya. Cuma, masih belum ada petunjuk jelas mengenai prospek mengenai sejauh mana ia akan melonjak.
“Faktor inflasi akan mendominasi pasaran emas dalam tempoh dua bulan akan datang dan ia akan menjadi pemangkin apa yang kita akan lihat untuk tempoh jangka panjang.
“Selagi emas diniagakan di atas paras terendah 29 April iaitu AS$1,755 (RM7,235.97) seauns atau RM255.24 segram, saya menjangkakan komoditi ini mungkin dapat mencapai paras tertinggi 20 Januari iaitu AS$1,874 (RM7,726.62) seauns atau RM272.55 segram,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Zambrano berkata, prospek peningkatan harga emas juga bakal didorong jangkaan kadar faedah lebih tinggi di AS menjelang akhir tahun ini.
“Untuk tempoh jangka panjang, secara realistiknya saya melihat harga emas akan meningkat tetapi kita melihat mata wang kripto seperti Bitcoin memiliki minat yang rendah untuk membeli emas ketika ini.
“Mungkin akhir tahun ini, pelabur akan bercakap mengenai kadar faedah lebih tinggi di AS dan ia berpotensi memacu harga emas.
“Buat masa ini, kenaikan harus stabil, tetapi kita harus berhati-hati dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana tekanan terhadap Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengurangkan program pelonggaran kuantitatif, yang akan melonjakkan dolar AS dan ‘menenggelamkan’ emas,” katanya.
Mengulas mengenai pakej rangsangan AS, beliau berpendapat ia akan memberi kesan jangka panjang kepada pasaran emas, namun tiada impak kepada harga untuk tempoh terdekat.
“Namun, jika pakej rangsangan itu mula mendorong kepada inflasi, ini mungkin menyebabkan pelabur beralih kepada emas, tetapi saya berpendapat ia tidak akan menjadi tumpuan peniaga dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, saya melihat kenaikan komoditi lain yang besar harus membantu harga emas. Sebagai contoh, harga jagung di AS meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun ini sahaja,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata emas menjadi semakin menarik ketika ini susulan ketidaktentuan membimbangkan terhadap inflasi sejak minggu lalu.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik kebimbangan inflasi, sokongan kritikal kepada AS$1,800 (RM7,421.51) seauns atau RM261.79 segram tidak pernah diuji, sekali gus memberi petanda baik untuk peningkatan harga emas bagi tempoh jangka panjang.
“Selepas mencatat harga di bawah AS$1,810 (RM7,462.74) seauns Khamis lalu, emas melonjak 0.90 peratus kepada AS$1,843 (RM7,598.80) seauns pada Jumaat ketika hasil Perbendaharaan AS turun sedikit dan dolar pula merosot.
“Menariknya, dalam gambaran yang lebih besar, emas mengekalkan keuntungan jangka panjangnya walaupun hasil jangka panjang AS tetap berada di puncak julatnya. Ini menguatkan lagi bahawa emas mengesan harga struktur rendah pada AS$1,680 (RM6,926.74) seauns.
“Kebimbangan mengenai COVID-19 di Asia juga mendorong bpembelian aset lindung nilai memandangkan pasaran ekuiti berada di bawah tekanan. In mendorong emas 0.55 peratus lebih tinggi kepada AS$1,853 (RM7,640.03) seauns atau RM269.49 segram, melonjak melepasi pergerakan purata 200-hari (200-DMA) pada AS$1,848 (RM7,619.42) seauns,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!