CAMERON RINTIS KUARTERS PEKERJA BERPUSAT WARGA ASING
CAMERON RINTIS KUARTERS PEKERJA BERPUSAT WARGA ASING
CAMERON HIGHLANDS: Daerah Cameron Highlands akan dijadikan daerah rintis oleh Kementerian Sumber Manusia untuk membina Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) untuk pekerja warga asing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata, pembinaan CLQ diambil kira selepas mendapati ia merupakan satu keperluan kerana keluasan kawasan di Cameeon Highlands adalah terhad.
Katanya, pekerja warga asing perlu ditempatkan di kawasan khas dan tidak terbiar tinggal berselerak di kawasan peranginan negara itu seperti sekarang.
“Di sini saya cuba jadikan sebagai satu projek rintis kawasan di terhad untuk memulakan CLQ , selain itu mungkin memudahkan untuk mengawal pekerja asing dan memberi ruang kepada petani menggunakan kawasan tanah yang digunakan sebagai kediaman pekerja mereka di kebun masing-masing untuk dijadikan kebun.
“Ini merupakan hala tuju kementerian untuk mengelakkan pekerja asing tinggal di lokasi pertanian masing-masing dan sukar untuk dipantau, mereka perlu ditempatkan di tempat khas seperti yang telah dilaksanakan di Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Operasi Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] di 25 premis dalam sektor pertanian di Cameron Highlands, hari ini.
Katanya, bakal pembinaan CLQ itu turut mengambil kira tempoh perjalanan mereka ke tempat kerja dengan anggaran 15 ke 30 minit.
“Pembinaan CLQ itu akan dibincangkan bersama kerajaan negeri Pahang dalam tempoh terdekat ini sebagai projek usahasama. Setakat ini seramai 24,812 majikan dan 132,513 penginapan telah diperiksa,” katanya.-SAHIH.