CALON SPM, STPM NAIK BUKIT CARI LIPUTAN INTERNET UNTUK IKUTI PDPR DI KG RELAI
CALON SPM, STPM NAIK BUKIT CARI LIPUTAN INTERNET UNTUK IKUTI PDPR DI KG RELAI
LIPIS: Empat orang pelajar sekolah menengah mengambil pendekatan pergi ke sebuah bukit untuk mendapatkan liputan internet yang lebih baik bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PDPR) yang jaraknya kira-kira 3 kilometer dari rumah mereka, dekat sini.
Kedudukan bukit tersebut yang jaraknya kira-kira 1 kilometer dari jalan utama, Jalan Kerambit-Benta itu di kelilingi kebun getah dan hutan serta berdekatan sebuah bekas lombong di Kampung Relai, Kerambit, di sini.
Mereka menunggang motosikal ke situ dan meletakkan kenderaan masing-masing dan berjalan kaki kira-kira 50 meter ke pondok yang mereka bina dengan bertiang batang pokok yang ditebang dan memasang kanvas sebagai peneduh.
Seorang pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit, Mohamad Ainul Mohd Hazri berkata, sejak PDPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak boleh belajar di pekan Kerambit.
“Oleh itu, kami mencari lokasi yang sesuai dan mempunyai liputan internet yang terbaik, malah dalam pada itu, bimbang juga dengan ancaman haiwan liar di kawasan tersebut kerana terdapat tanda-tanda kesan najis dan tapak kaki haiwan liar di sekitar kawasan itu.
““Kami juga terpaksa berbelanja lebih untuk minyak motosikal, masa ke bukit itu dan keselamatan diri, kebetulan pondok yang kami bina berdekatan sebuah bekas lombong yang berdekatan, kami dapat menghirup udara segar dan nyaman di atas bukit,” katanya.
Katanya, mereka terpaksa berbelanja lebih untuk minyak motosikal, mengambil masa untuk ke bukit itu dan juga keselamatan diri daripada ancaman haiwan liar,” katanya.
Seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ittihadiah, Kerambit, Muhammad Asraf Hakimi Mohd Harun berkata, dia dan kawannya terpaksa mencari liputan ‘line’ internet untuk mengikuti kelas tingkatan enam secara atas talian.
“Tiada langsung liputan di rumah atau di kawasan rumah, maka saya bersama kawan-kawan lain mencari kawasan liputan, oleh kerana ramai sebelum ini mengalami masalah yang sama dan dapat diselesaikannya, kebanyakan di kawasan tinggi atau berbukit.
“Kami bergerak dari rumah masing-masing ke bukit mulai 8.00 pagi dan mengikuti kelas sehingga kira-kira jam 2.00 petang dengan membawa bekalan minuman dan makanan ringan,” katanya.
Kata calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) itu, kelewatan masuk ‘kelas’ telah diketahui oleh guru kerana kesukaran yang mereka alami termasuk panggilan telefon di kawasan rumah kami turut terganggu.
“Mahu belajar di pekan Kerambit semasa PKP ini bimbang dikompaun, maka untuk meneruskan kelas secara atas talian kami mencari kawasan liputan yang baik,” katanya.
Penduduk Kampung Relai, Arifudin Shari, 25 berkata, sudah menjadi rutin pelajar itu ke bukit tersebut untuk ikuti PDPR untuk mendapatkan liputan.
“Kampung ini hanya 25 kilometer dari bandar Kuala Lipis, sewajarnya tidak berlaku kesulitan untuk mendapatkan liputan, diharapkan syarikat telekomunikasi cuba mengatasi masalah yang dialami oleh penduduk di sekitar kampung ini dengan menaiktaraf sistem sedia ada atau memasang menara,” katanya.-SAHIH.