Calon nombor lima serah pada kebijaksanaan perwakilan
Calon nombor lima serah pada kebijaksanaan perwakilan
JERANTUT – Calon nombor lima G7 UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud yang lebih dikenali sebagai Pak Andak, menyatakan keyakinan menerima sokongan padu daripada perwakilan pada pemilihan 13 Julai ini.
Pak Andak yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut berkata, beliau telah menyempurnakan siri kempen di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pulau Tawar, Damak dan Tahan.
“Hari ini merupakan hari terakhir kempen dan saya telah turun bertemu perwakilan di beberapa lokasi sekitar DUN Tahan termasuk Sungai Retang dan Kampung Padang .
“Saya menyeru semua perwakilan untuk memberikan undi kepada saya sebagai calon G7 nombor lima bagi membawa suara UMNO Jerantut ke peringkat pusat,” katanya.
Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 40 perwakilan dalam sesi bertemu muka hari ini.
Kempen beliau turut dibantu oleh beberapa rakan seperjuangan antaranya calon Suffyan Mustapa Kamar (4) yang hadir bersama menggerakkan sokongan akar umbi.
“Saya amat menghargai kepercayaan dan dorongan daripada rakan-rakan seperjuangan yang bersama saya dari awal hingga ke hari terakhir ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan ini bukan semata-mata untuk kedudukan, tetapi bagi memperkukuh saf kepimpinan UMNO Jerantut dan memastikan suara akar umbi terus dibela.
“Saya mohon doa dan sokongan semua perwakilan – ingat nombor lima, calon G7,” katanya lagi.-SAHIH