Calon kitar semula dan ‘test-market’ perlu ditolak pengundi Parlimen Lipis
Calon kitar semula dan ‘test-market’ perlu ditolak pengundi Parlimen Lipis
LIPIS – Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding bagi kerusi Parlimen Lipis dianggap sebagai calon kitar semula serta turut membawa isu lama yang dikitar semula.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, calon PN itu, Dr. Shahrum sebelum menyertai PN adalah ahli UMNO dan pernah memenangi kerusi Parlimen Lipis dua penggal, iaitu pada 2004 (PRU11) dan 2008 (PRU12).
“Calon kitar semula yang diguna oleh PN wajar ditolak oleh pengundi di parlimen Lipis pada 19 November ini kerana membawa isu basi yang dikitar semula.
“Hairan juga PN sudah ketandusan calon yang lebih berwibawa dan pengundi di Lipis sudah tahu dan boleh menilai semasa Dr Shahrum berkhidmat sebagai Ahli parlimen dua penggal lalu,” katanya katanya kepada media selepas Program Sehari Bersama Penduduk Orang Asli di Kampung Dada Kering dekat sini hari ini.
Katanya, begitu juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, calon PN yang bertanding DUN Cheka wajar ditolak oleh pengundi kerana beliau cuma mencuba nasib atau ‘test market’ untuk berada di kawasan itu sebaliknya menggunakan situasi populis ketokohannya selama ini dengan mewakili parti Pas.
“Pengundi perlu menolak Tuan Ibrahim kerana tokoh Pas itu dipercayai tidak mampu untuk mentadbir dua kawasan, iaitu di Dun Cheka (Lipis) dan Parlimen Kubang Kerian (Kelantan) dalam jarak yang jauh dan mengambil masa untuk sampai kedua tempat ini.
“Diharapkan pengundi di Lipis tolak kedua calon PN ini dan pilihlah calon BN yang ada di depan mata dan setiap hari berjumpa ketika susah dan senang.
“Kedua calon tersebut tidak ada tempat di hati pengundi dan yakin BN akan sapu bersih di Parlimen Lipis, DUN Cheka, DUN Padang Tengku dan DUN Benta pada PRU15.
Katanya, sudah banyak pembangunan melibatkan sektor ekonomi dan sosial termasuk kemudahan asas sudah dan akan akan diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memenuhi kebajikan rakyat.
“Kerajaan BN Pahang tidak boleh berjanji seperti mana yang dimomokkan oleh calon pembangkang, tetapi (BN Pahang) akan memperlihatkan bukti selepas memenangi PRU15 ini,”katanya.-SAHIH.