Calon DUN Damak letak 10 aspirasi majukan DUN tersebut
Calon DUN Damak letak 10 aspirasi majukan DUN tersebut
JERANTUT – Calon Dewan Undangan negeri (DUN) Damak, Muhamad Fasal Jamlus berhasrat berkerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf dan menaiktaraf pusat-pusat Tahfiz Al-Quran di dalam Daerah Jerantut khususnya dalam DUN Damak kepada kolej atau universiti Tahfiz Al-Quran.
Seterusnya menjadikan DUN Damak sebagai Hub Tahfiz Al-Quran di Negeri Pahang tanpa meminggirkan kebajikan kaum dan agama lain yang berada dalam DUN Damak.
Aspirasi tersebut adalah antara sepuluh aspirasi calon DUN Damak (N10) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini.
Selain itu, aspirasinya adalah untuk membentuk dan melahirkan modal insan melalui pengukuhan sistem pendidikan dan kokurikulum serta membantu dan memperkasa pendidikan, akademik dan sahsiah khas untuk anak-anak di kampung orang asli melalui program-progam yang akan dirancang.
Muhamad Fasal turut mahu membantu dan menyediakan latihan insentif kepada anak muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan dengan sokongan melalui agensi-agensi kerajaan negeri selaras dengan pelbagai bantuan dari kerajaan negeri.
Selain itu, semua warga DUN Damak bakal menikmati kemudahan asas termasuk kemudahan jalan raya dan kemudahan bekalan air sepenuhnya menjelang 2025.
Calon itu turut mahu membentuk kebitaraan sukan warga muda dalam DUN Damak melalui pembangunan kemudahan sukan khususnya sukan bolasepak, sepak takraw dan bola jaring serta mewujudkan program khas pembangunan sukan elektronik atau e-sport bagi anak muda yang berbakat.
Selaras perkembangan digital semasa, aspirasinya turut berhasrat menaiktaraf liputan capaian internet berkelajuan tinggi ke setiap kawasan menjelang 2025.
Kawasan DUN Damak akan memperkasakan tempat rekreasi dan tempat tarikan pelancong melalui aktiviti tahunan selain mempromosikan tempat ini sebagai alternatif dan aktiviti tambahan kepada pengunjung Taman Negara Pahang.
Beliau mahu menjadikan DUN Damak sebagai hub bekalan pertanian dan penternakan yang mengeluarkan produk seperti daging ayam, kambing dan lembu, disamping memajukan industri penternakan ikan air tawar di kampung-kampung pesisir sungai dalam DUN Damak.
Selain itu, mempastikan maklumat terutamanya berkenaan bantuan seperti Bantuan Prihatin Pahang 2022 dari kerajaan negeri sampai dengan berkesan kepada semua warga DUN Damak tanpa mengira kaum, agama dan latarbelakang.
Muhamad Fasal Jamlus (BN-UMNO) akan berdepan dengan penyandang kerusi tersebut Zuridan Mohd Daud (PN-PAS) dan Mohamad Rafly Mohd Satar (PH-PKR) serta Izzuddin Ismail (BEBAS)
Kerusi tersebut dimenangi oleh Zuridan semasa PRU-14 dengan majoriti 1,456. Jumlah pengundi di DUN Damak seramai 34,967 pengundi.-SAHIH.