Calon Bebas penipu – Mohamad Zaini
Calon Bebas penipu – Mohamad Zaini
BENTONG – Calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak betul berhubung pemilihan calon oleh Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil (PRK) Pelangai.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, kenyataan dikeluarkan Haslihelmy adalah mengelirukan dan tidak tepat sama sekali.
“Dia (Haslihelmy) cakap punca dia bertanding sebab kecewa, kononnya saya patut jadi calon BN.
“Perkara itu tidak betul, ia satu fitnah yang berniat jahat dan menjejaskan reputasi saya sebagai pemangku ketua Bahagian,” katanya.
Mohamad Zaini turut menegaskan tidak pernah berhubung atau berbincang dengan Haslihelmy.
Katanya, tindakan bekas ahli UMNO Cawangan Kampung Sum-sum, Janda Baik itu adalah keputusan peribadi.
“Saya tak pernah dihubungi oleh dia untuk berbincang mengenai tindakan menjadi calon Bebas.
“Itu keputusan peribadi dia, tidak ada kaitan dengan saya dan saya tidak menaja dia untuk masuk (bertanding) dalam PRK,” katanya lagi.
Haslihelmy ketika ditemui media semalam mendakwa punca dia menawarkan diri untuk bertanding disebabkan kecewa selepas BN memilih Datuk Amizar Abu Adam sebagai calon.- SAHIH