CADANGAN NAIKKAN CARUMAN PERKESO
CADANGAN NAIKKAN CARUMAN PERKESO
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar caruman mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, berkata pihaknya memberi jaminan bahawa jika berlaku peningkatan sekalipun, ia tidak akan membebankan pencarum.
Beliau berkata kenaikan itu perlu mengambil kira situasi semasa dan risiko yang dihadapi pekerja sekarang.
“Kita sedang mengkaji dalam masa terdekat. Tetapi saya bagi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa peningkatan itu tidak akan membebankan rakyat.
“Saya lihat, permintaan sudah meningkat daripada semua sektor. Rakyat pun sudah mula sedar kebaikan perlindungan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Saya percaya permintaan sudah meningkat… saya percaya dengan keadaan ini kita perlu menaikkan caruman sedikit.
“Mungkin kenaikan dalam RM1 atau RM2 sebab kita sudah perluaskan perlindungan keselamatan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar; Timbalan Menterinya, Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, akta itu tidak pernah dipinda sejak penubuhan PERKESO pada 1971.
“Kali terakhir kita perkenalkan PERKESO pada 1971 sehingga hari ini dari segi sumbangan sudah meningkat… hampir 100 peratus tetapi kita tak pernah menaikkan caruman,” katanya, lapor BH Online.
Terdahulu, bercakap dalam majlis sama, Saravanan berkata melalui kerjasama bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), PERKESO akan memudahcara pendaftaran caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi penerima biaya di bawah agensi berkenaan.
Beliau berkata, melalui caruman bulanan serendah RM13.10 atau tahunan yang minimum, pencarum dapat menikmati pelbagai faedah termasuk perubatan, hilang upaya sementara dan orang tanggungan.
“Hari ini, kita sudah mula berikan perlindungan kepada sektor tidak formal yang saya percaya akan membabitkan kos yang lebih tinggi dan dari segi risiko pun memang tinggi,” katanya.
Selain memudahcara pendaftaran caruman, tiga MoU dimeterai hari ini, membabitkan usaha memperluaskan peluang pekerjaan, penyediaan program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula bagi usahawan tempatan menerusi agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.