Cadang Sistem Pantau Pemandu Elak Tragedi Berulang
Cadang Sistem Pantau Pemandu Elak Tragedi Berulang
SELANGOR – BERSATU Hulu Langat menggesa kerajaan memperkasa sistem keselamatan pengangkutan awam bagi mengelak insiden seperti tragedi kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut 15 nyawa daripada berulang.
Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Bin Abdul Halim berkata, pihaknya merakamkan takziah dan dukacita terhadap keluarga mangsa dan menyarankan pelaksanaan sistem pemantauan lebih ketat terhadap semua pengendali pengangkutan awam.
Menurutnya, antara langkah dicadangkan ialah mewajibkan penggunaan sistem Fleet Management System (FMS) untuk memantau prestasi kenderaan secara langsung seperti kelajuan, prestasi enjin, lokasi dan tingkah laku pemanduan termasuk brek mengejut dan pengambilan selekoh tajam.
“Pemasangan sistem Video Surveillance System (VSS) dan Digital Video Recorder (DVR) atau kotak hitam juga wajar diwajibkan kerana ia menjadi bukti penting sekiranya berlaku kemalangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mempergiat penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi keselamatan seperti Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan Driver Monitoring System (DMS) yang dapat memberi amaran awal terhadap risiko pemanduan berbahaya.
“Teknologi ini mampu mengesan keletihan atau kecuaian pemandu serta menyelamatkan nyawa jika digunakan secara berkesan,” katanya.
Katanya, penggunaan teknologi ini hendaklah diselaraskan secara berpusat dan dipantau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan pematuhan standard keselamatan.
“Kerajaan harus mengambil langkah proaktif demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, terutama melibatkan pengangkutan awam yang membawa ramai penumpang,” katanya lagi.-SAHIH