Buku Bertemu Ruas, Siti Kassim Terpana Ditegur Long Nan
Buku Bertemu Ruas, Siti Kassim Terpana Ditegur Long Nan
KUALA LUMPUR – Suasana di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bertukar kecoh seketika apabila aktivis kontroversi, Siti Kassim, bertikam lidah dengan bekas Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Diraja Adnan Yaakob atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Nan.
Insiden itu berlaku ketika Tok Nan sedang menanti kenderaan untuk membawanya pulang selepas menghadiri satu prosiding mahkamah. Sekumpulan masyarakat Orang Asli yang kebetulan berada di lokasi berkenaan, dilihat menghampiri Tok Nan untuk beramah mesra dan bergambar bersama.
Namun suasana harmoni itu bertukar tegang apabila Siti Kassim tiba-tiba bersuara lantang mengingatkan kumpulan Orang Asli tersebut supaya tidak mempercayai ahli politik, sambil menuduh golongan itu menipu masyarakat pribumi.
Tindakan Siti Kassim nyata mengundang reaksi kurang senang Tok Nan yang segera membalas kenyataan berbaur provokasi itu. Pertikaman lidah antara kedua-dua individu itu semakin hangat apabila Siti Kassim didakwa cuba memanaskan keadaan dengan hujah-hujah sinis terhadap Tok Nan.
Tidak melatah, Tok Nan dilihat tenang namun tetap tegas menegur Siti Kassim yang disifatkan bersikap kurang sopan di hadapan masyarakat Orang Asli.
Rakaman video insiden tersebut kini tular di media sosial, memperlihatkan bagaimana Tok Nan berjaya mempertahankan dirinya dengan hujah bernas sehingga membuatkan Siti Kassim terpana tanpa jawapan.
Kejadian ini mencuri perhatian ramai netizen yang rata-ratanya memuji ketegasan Tok Nan dalam menangkis dakwaan tidak berasas selain mempertahankan maruahnya sebagai seorang pemimpin berpengalaman.
Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan daripada kedua-dua pihak berhubung insiden panas tersebut.-SAHIH