BUKTI KERJASAMA ERAT GRS
Berita Nasional/Politik
BUKTI KERJASAMA ERAT GRS
KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu membuktikan kerjasama erat parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bersetuju mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri ke-16.
“Persepakatan ini membuktikan kerjasama erat parti dalam GRS sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini mendapat sokongan rakyat negeri ini.
“Saya sangat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh parti-parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah,” kata beliau dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, semalam.
Pada masa sama, Muhyiddin turut berdoa supaya Sabah terus kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur.