BUKIT AMAN GANTUNG TUGAS POLIS GANGGU PEMANDU WANITA
BUKIT AMAN GANTUNG TUGAS POLIS GANGGU PEMANDU WANITA
KUALA LUMPUR: Bukit Aman menarik tugas serta merta dua anggota polis yang didakwa terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap pemandu kereta wanita di dua sekatan jalan raya, kelmarin.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata tindakan itu dibuat ke atas mereka sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Pihak polis pada masa ini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh selepas kejadian berkenaan dilaporkan oleh dua wanita terbabit termasuk sudah merakam kenyataan daripada mereka.
“Dalam siasatan ini kami ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan proses siasatan ini dijalankan secara telus dan teliti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
DATUK ZAMRI YAHYA
Kelmarin, dua wanita memuat naik dalam akaun laman sosial mendakwa mereka diganggu secara seksual oleh anggota polis bertugas ketika melalui sekatan jalan raya.
Seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa dirinya mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan di Jalan Duta, menghala keluar dari Kuala Lumpur, pada jam 7.30 petang, Jumaat lalu.
Seorang lagi wanita mendakwa seorang anggota polis ingin berkenalan dengannya selepas anggota itu meminta nombor telefon bimbitnya juga ketika melalui sekatan.
Zamri berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut prosedur dalam penyiasatan termasuk mencari saksi lain atau rakaman yang dapat mengesahkan dakwaan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan beliau turut meminta mana-mana pihak yang mengalami situasi sama untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan sewajarnya dapat diambil, lapor BH Online.
“Pegawai dan anggota PDRM pula perlu bersikap profesional, tidak boleh berbuat sesuatu atau mengeluarkan percakapan yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi yang sedang dijalankan pada masa bertugas,” katanya.