BUKAN PRANK, MEMANG PESANAN PENGGALI KUBUR
BUKAN PRANK, MEMANG PESANAN PENGGALI KUBUR
IPOH : “Memang seram kerana saya datang berseorangan dan perlu menunggu lama di kawasan tanah perkuburan Cina yang sunyi,” kata penghantar makanan, Muhamad Nur Zulkifar Azizi.
Muhamad Nur Zulfikar, 26, bapa seorang anak berusia lapan bulan memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi pengalamannya menunggu pelanggan selama 30 minit di jirat Cina Tasik Ipoh, di sini.
Kisahnya tular selepas memuat naik video di TikTok yang menunjukkan dia mengeluarkan bungkusan minuman di sebuah kawasan perkuburan.
Muhamad Nur Zulfikar dari Kampung Tersusun Tanah Hitam New Village, Chemor berkata, dia menerima pesanan itu kira-kira 6.46 petang kelmarin dan tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 7.15 malam.
Setibanya di situ, Muhamad Nur Zulfikar cuba menghubungi pelanggan terbabit beberapa kali, tetapi tidak dijawab.
“Saya sangka dipermainkan kerana pernah terkena sebelum ini, salah satunya di sebuah kawasan hutan. Namun, saya tunggu juga pelanggan itu walaupun berasa seram kerana hari sudah malam.
“Setengah jam kemudian, baru pelanggan itu muncul dan rupanya dia tidak perasan panggilan saya kerana sibuk menggali kubur,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Muhamad Nur Zulfikar, pelanggan itu memohon maaf kerana kelewatannya mengambil enam minuman yang dipesannya.
Katanya, apa yang berlaku tidak membuatkan dirinya serik kerana menganggap ia sebagai lumrah pekerjaannya.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Saya sudah memilih pekerjaan ini, jadi perlu kentalkan hati saja untuk menerima cabaran. Lagipun, saya tidak boleh beredar begitu saja tanpa menghantar pesanan kerana ia boleh menjejaskan prestasi kerja.
“Disebabkan itu saya tunggu juga dan mujurlah ia bukan prank atau cubaan jenayah,” katanya.
Mengulas mengenai videonya yang tular, Muhamar Nur Zulfikar berkata, ada pihak menganggapnya sebagai kelakar, tetapi tidak kurang juga prihatin kerana bimbang dengan keselamatannya.
“Rata-rata netizen mengingatkan saya supaya berhati-hati dan saya hargai keprihatinan mereka.
“Cuma, cabaran kerja saya ini sukar diduga kerana pernah hampir dirompak ketika dalam perjalanan ke bank untuk memindahkan wang bernilai RM900 pada Ogos lalu, namun terselamat,” katanya yang juga aktif memberi makan kepada gelandangan dan petugas barisan hadapan dengan rakan penghantar makanan yang lain.