BUDI YANG TAK TERBALAS – WANITA UMNO TERUS SETIA BERSAMA NAJIB
BUDI YANG TAK TERBALAS – WANITA UMNO TERUS SETIA BERSAMA NAJIB
JERANTUT – “Datuk Seri Najib Razak seorang pemimpin yang budi dan jasanya terlalu besar… tak mungkin dapat dibalas.”
Demikian tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada bekas Perdana Menteri itu dalam kes melibatkan RM27 juta dana SRC International.
Menurutnya, meskipun Najib masih menjalani hukuman penjara, perkembangan itu memberi sedikit kelegaan kepada ahli parti, khususnya sayap wanita yang kekal berdiri teguh di belakang pemimpin berpengaruh itu.
“Kita menyambut baik keputusan tersebut dan terus mendoakan yang terbaik buat Datuk Seri Najib, “katanya lagi.
Noraini berkata demikian selepas menghadiri Masyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jerantut 2025 di Dewan Majlis Daerah Jerantut hari ini.
Turut hadir dalam Majlis tersebut Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Norsarfinaz Mohd Azman dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Harris Salleh Hamzah.
Mengulas gerak kerja parti, beliau mengingatkan seluruh jentera wanita agar tidak menunggu hingga saat akhir, sebaliknya perlu bergerak lebih awal dengan pendekatan yang lebih tersusun.
“Potensi untuk kembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional itu ada, cuma kita perlu susun strategi dan bergerak secara konsisten dari sekarang,” ujarnya.
Menurutnya, Jerantut yang terdiri daripada kawasan Felda dan pengundi campuran bandar masih berpotensi menjadi kubu kuat UMNO dengan semangat akar umbi yang utuh.
“Kita nampak sendiri semangat wanita di sini sangat luar biasa. Kalau ada mesyuarat, merekalah yang hadir, angkat tangan beri pandangan dan penuhkan korum. Ini bukti mereka tulang belakang parti,” katanya.
Noraini turut memuji kepimpinan Menteri Besar Pahang yang komited turun padang dan jelas hala tujunya dalam usaha mengembalikan kekuatan Barisan Nasional di negeri itu.-SAHIH