Budaya@Komuniti Pulau Tawar himpunkan warisan tradisional
Budaya@Komuniti Pulau Tawar himpunkan warisan tradisional
JERANTUT – Penduduk sekitar Pulau Tawar dan daerah Jerantut dipelawa memeriahkan Program Penyemarakan Seni Budaya, Budaya@Komuniti Pulau Tawar Kampung Kas yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Jun ini di Dewan Terbuka Kampung Kedondong, dekat sini.

Program anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut serta Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) bertujuan memupuk semangat cintakan seni budaya tempatan di samping menghidupkan kembali warisan tradisional masyarakat Melayu.
Antara acara utama yang bakal mencuri perhatian ialah Pekan Sehari Jaman Tori yang mengimbau suasana pasar tradisional zaman lampau, pengunjung digalakkan mengenakan pakaian klasik bagi menambahkan suasana nostalgia dan meriah sepanjang program berlangsung.

Penduduk kampung daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kedondong/Kampung Masjid, Kampung Perian/Kampung Bandar, Kampung Bukit Rang serta Komuniti Madani Bukit Rang bergotong royong menyiapkan pondok untuk pekan sehari pada 28 dan 29 Jun ini
Pelbagai persembahan kebudayaan dan permainan tradisional akan dipertontonkan kepada pengunjung seperti Gendang Pahang, Silat Seni Asli Pahang, gasing pangkah, lagu rakyat dan tarian tradisional.
Selain itu, program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk pertandingan, antaranya Hencang buah keras; Syair; Sepak raga ratus; Kukur nyior; Mencari Puspa Wangi; Pertandingan menulis khat dan Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak
Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kedondong/Kampung Masjid, Kampung Perian/Kampung Bandar, Kampung Bukit Rang serta Komuniti Madani Bukit Rang.
Orang ramai, khususnya penduduk Jerantut dan kawasan sekitarnya, dijemput hadir beramai-ramai bagi merasai pengalaman kebudayaan yang unik dan menghiburkan, sambil mengenang kembali keindahan adat warisan nenek moyang yang kian dilupakan.-SAHIH.