Budak taska dipercayai kena dera, dipaksa makan biji cili di Kepong
Budak taska dipercayai kena dera, dipaksa makan biji cili di Kepong
SEORANG pengasuh wanita didakwa melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah taska di Kepong, Kuala Lumpur dengan memukul serta dikatakan memberi makan biji cili.
Kejadian tersebut dikongsikan menerusi dua rakaman video oleh seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa pelaku bertindak memukul dan menyuap sesuatu dipercayai biji cili secara paksa kepada mangsa.
Pemilik Facebook yang menggunakan nama Angel Ng berkata, video itu diperoleh menerusi saudara terdekat dan berharap rakaman itu disebarkan bagi melindungi kanak-kanak di pusat asuhan itu.
“Berapa ramai kanak-kanak yang akan menjadi mangsa jika pelaku masih bekerja di pusat jagaan itu. Adakah wajar kanak-kanak diperlakukan sedemikian?
“Jangan bekerja (pengasuh) jika tiada nilai kasih sayang dan penyabar dalam diri. Orang yang tiada kasih sayang tidak layak menjadi pengasuh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad.
Pemilik Facebook tersebut bagaimanapun memberitahu kanak-kanak yang menjadi mangsa tersebut bukan anaknya dan tidak pasti jika ibu bapa mangsa sedia maklum dengan kejadian itu.
“Saya harap ibu bapa kanak-kanak tersebut melihat video ini. Ibu bapa kanak-kanak ini pasti sedih kerana menyangka anak-anak gembira belajar dan berkawan tetapi akhirnya dilayan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu.
“Jika ibu bapa mangsa membuat laporan, maka kita akan mempertimbangkan untuk membuka kertas siasatan,” katanya.
Sumber – Majoriti