BUDAK PEREMPUAN MAUT TERCAMPAK SELEPAS KERETA TERBABAS DI LPT
BUDAK PEREMPUAN MAUT TERCAMPAK SELEPAS KERETA TERBABAS DI LPT
Maran — Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam satu kemalangan tragis yang berlaku di Kilometer 147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, mangsa, Nurul Lara Maisarah binti Mohd Hafiz, yang berada di tempat duduk belakang sebuah Honda Civic, dipercayai tercampak keluar dari kenderaan sebelum terkena sebuah kereta dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan Honda Civic yang dipandu oleh seorang wanita berusia 31 tahun, Wan Suhana binti Wan Abdullah, sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai akibat permukaan jalan yang basah selepas hujan dan pemandu gagal mengawal kenderaan, kereta tersebut terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang duduk di belakang telah tercampak keluar dan jatuh ke laluan bertentangan sebelum terkena cermin hadapan sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Pekan Awah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat.
Dalam insiden sama, beberapa individu turut mengalami kecederaan ringan. Pemandu Myvi, Suhaimee bin Ismail, 57, mengalami luka kecil di jari dan pipi. Isterinya, Norain binti Samin, 54, cedera di bahagian mata, manakala anak mereka, Umar Hakim, 11, luka kecil di kaki kanan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi penumpang Honda Civic, Nurul Ariana Batrisya, 9, turut mengalami calar di badan tetapi dilaporkan stabil. Pemandu dan seorang penumpang dewasa dalam kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu wanita yang gagal mengawal kenderaan di jalan basah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi bebas yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.-SAHIH