BUDAK MAUT MAIN TIK TOK
BUDAK MAUT MAIN TIK TOK
ROM: Padah menyahut cabaran TikTok, seorang kanak-kanak perempuan di Itali meninggal dunia akibat lemas selepas menjerut lehernya sendiri dengan tali pinggang.
Dalam kejadian di Palermo, Khamis lalu, Antonella Sicomero, 10, disahkan maut selepas dikatakan menyertai cabaran itu di bilik mandi di rumahnya.
GAMBAR HIASAN
The Sun melaporkan cabaran dikenali sebagai Blackout Challenge itu mencabar individu untuk mencekik diri sendiri sehingga tidak sedarkan diri.
Ia dengan andaian mereka akan terjaga beberapa saat kemudian.
Difahamkan, ketika kejadian, Antonella memberitahu ahli keluarganya bahawa dia mahu mandi.
Bagaimanapun, dia sebenarnya mahu merakamkan aksi melakukan cabaran berkenaan.
Antonella dikatakan mengikat tali pinggang di lehernya menyebabkannya lemas.
Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri oleh adik perempuannya yang berusia empat tahun.
Ahli keluarga kemudian membawa budak itu ke hospital tetapi dia disahkan koma dan mati otak.
Ibu bapanya kemudian memutuskan alat bantuan hayat dicabut sebelum mangsa meninggal dunia.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Angelo berkata, sebelum kejadian, Antonella sempat memberitahu adiknya bahawa dia mahu melakukan cabaran TikTok.
“Anak saya mati disebabkan cabaran ekstrem di TikTok, mana mungkin saya saya dapat terima perkara ini?” katanya akhbar Le Republica.
Susulan kejadian, pihak berkuasa mengarahkan aplikasi itu disekat kepada pengguna yang tidak memberikan butiran usia.
TikTok dilaporkan mengenakan syarat pengguna aplikasi itu mestilah berumur 13 tahun ke atas.
Bagaimanapun, ia digunakan secara meluas oleh kanak-kanak yang meningkat ke usia remaja.
Sejak beberapa tahun lalu, TikTok begitu popular dalam kalangan remaja kerana ia membolehkan pengguna merakam dan menyunting video sebelum ia dikongsi di aplikasi berkenaan.
Sementara itu, Blackout Challenge itu dikatakan menyamai satu lagi cabaran TikTok dikenali sebagai Pass Out Challenge, yang pernah popular, kira-kira setahun lalu.
Ia memerlukan seseorang menggoyangkan kepala, dari kiri ke kanan, sehingga pengsan.