BUDAK LELAKI 10 TAHUN MAUT DILANGGAR LORI BALAK
BUDAK LELAKI 10 TAHUN MAUT DILANGGAR LORI BALAK
BENTONG: Kemalangan maut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilanggar lori balak selepas terjatuh daripada motosikal yang ditunggang oleh ibunya di Kilometer 1, Jalan Bentong – Karak, di sini pada jam 1.30 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika dua beranak itu dari arah bandar dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Benus.
“Ibunya berusia 28 tahun yang menunggang motosikal itu gagal mengawal kenderaanya dan melanggar belakang sebuah kereta MPV di hadapannya dan anaknya yang membonceng terjatuh ke sebelah laluan sebelah kiri jalan.
“Pada masa yang sama sebuah lori balak yang datang dari arah sama tidak sempat memberhentikan kenderaannya lalu terlanggar kanak-kanak yang terjatuh di atas jalan raya,” katanya.
Katanya, akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang lain tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Pihak polis memohon orang ramai yang melihat kejadian tersebut tampil untuk membantu siasatan dan diharapkan semua pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, ” katanya.-SAHIH.