BUDAK LECUR RAYU BANTUAN KOS BEDAH
JERANTUT: Kanak-kanak terkena percikan api sembilan tahun lalu, Muhamad Iqram Hashim, rayu bantuan bagi pembedahan tangannya yang semakin menegang dan sukar untuk diluruskan akibat terbakar dan melecur dalam kejadian itu.
Kejadian itu berlaku ketika ibunya,Suraya Abdul Manan (39), sedang membakar sampah dan botol racun aerosol telah meletup lalu terkena Muhammad Iqram ketika kanak-kanak itu berusia 2 tahun.
“Kesan daripada itu, Muhammad Iqram yang kini berusia 11 tahun melecur di muka, telinga, badan dan kaki sehingga memberi kesan parut selain tumbuh isi baharu di bahagian yang terkena.
“Kini anak saya perlu ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh setiap dua bulan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya, kos perbelanjaan untuk pembedahan tangan anaknya itu sebanyak RM3,000 dan dia tidak mampu memandangkan suaminya telah meninggal dunia pada Mac lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru dan air kencing.
Tambahan pula dia merupakan seorang surirumah sepenuh masa dan kini mengharapkan bantuan ibu bapanya yang tinggal di Felda Jengka 3 , di sini.
“Doktor pakar memberitahu agar pembedahan perlu dilakukan pada tangan sebelah kiri dahulu sebab tangan tu telah menegang sehingga sukar untuk anak saya menulis dengan sempurna,, pakar ada maklum bagi kos pembedahan sebelah tangan itu sebanyak RM3,000.
“Namun untuk pembedahan secara keseluruhan bagi menghilangkan parut kekal dan juga membuang lebihan isi di telinga memerlukan kos yang lain tetapi masih belum dimaklumkan kos itu,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Biro Sosial Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka bersama Ketua Kampung Felda Jengka 23, di rumahnya.
Razak bersama Ketua Kampung Felda Jengka 23 menziarahi Muhammad Iqram dan keluarga
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial JKKR Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, beliau meminta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dapat membantu Muhammad Iqram memandangkan kos pembedahan bagi keseluruhan muka dan badan dijangka
meningkat.
Razak Daud
Bagi mereka yang ingin mengurangkan beban dan membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 556 057 530 389 atas nama Suraya Abdul Manan atau boleh hubungi di talian 011-18845186.