BUBUR PVATM JERANTUT
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengacau lima kawah bubur asyura dan dihadiri 150 ahli persatuannya di Rumah Transit PVATM, Taman Saujana Utama, Jerantut, kelmarin.
Pengerusinya, Hashim Aziz berkata, tujuan utama program itu selain menyambut hari kebesaran dalam kalender Islam , mereka turut meraikan bulan kemerdekaan dan sambutan hari Malaysia.
“Program mengacau bubur asyura ini juga merapatkan siratulrahim antara ahli dan keluarga bekas tentera yang bermastautin di daerah ini.
“Kami mengadakan program ini setiap tahun, ia menjadi satu program yang ditunggu-tunggu dan bubur itu turut diagihkan di kalangan ahli dan juga kumpulan yang sudah dikenal pasti,”katanya.
Sementara itu, ahli PVATM, Nordin Mat Sam berkata, dengan adanya bangunan sendiri di Rumah Transit itu, memudahkan persatuannya menjalankan pelbagai aktiviti selain menjadi rumah sewa harian yang dibuka kepada orang ramai.
“Musim cuti sekolah rumah transit ini banyak ditempah untuk rombongan keluarga yang menghadiri majlis kenduri kahwin dan juga hari keluarga. Sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di nombor 019-4975579,” katanya.