Bubur Lambuk Satukan Rakyat Pahang dalam Program Gerak Rahmah
Bubur Lambuk Satukan Rakyat Pahang dalam Program Gerak Rahmah
LIPIS, – Semangat perpaduan pelbagai kaum di Pahang semakin terserlah menerusi Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang. Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Bin Wan Ismail di Dataran Santai Tanjung Gahai, Lipis.
Program yang berlangsung serentak pada 8 dan 9 Mac 2025 ini berjaya mengedarkan lebih 42,300 bekas bubur lambuk ke seluruh negeri melalui 270 Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Menurut Datuk Seri Wan Rosdy, inisiatif ini bukan sekadar merapatkan hubungan masyarakat, malah menjadi simbol keharmonian antara kaum di Malaysia.
“Kita dapat lihat bagaimana program ini mengumpulkan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. Bubur lambuk ini mungkin berasal dari tradisi Melayu, tetapi ia digemari oleh semua. Saya sendiri bertanya kepada peserta kaum India, mereka mengakui sangat menyukainya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa semangat perpaduan perlu diperkukuh demi kestabilan negara dan mengelakkan isu perkauman yang boleh menggugat keharmonian.
“Kita tidak mahu sejarah hitam seperti 13 Mei berulang. Pemimpin perlu menjadi suara penyatuan, bukan pencetus perpecahan. Negara ini milik semua, dan kita perlu bersama-sama memastikan keamanan dan kemajuan dikekalkan,” tambahnya.
Menteri Besar Pahang juga menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pahang kerana memilih Lipis sebagai tuan rumah program ini.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak aktiviti yang mengukuhkan hubungan rakyat.
“Bukan sekadar bubur lambuk, banyak lagi inisiatif boleh dipertimbangkan untuk memperkukuh perpaduan. Apa yang penting, kita perlu terus menanam semangat kekitaan agar negara ini terus makmur dan harmoni,” katanya.-SAHIH