Bubur Lambuk Perdana: Gabungan NGO Temerloh Anjur Program Amal Komuniti
Bubur Lambuk Perdana: Gabungan NGO Temerloh Anjur Program Amal Komuniti
TEMERLOH – Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga bersama beberapa agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Temerloh dalam Program Muhibbah Ramadan memasak bubur Lambuk yang diadakan di Bengkel Hajah Zariah, Kampung Bukit Kemuning, Temerloh, Pahang .
Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli, berkata program tahunan ini bertujuan memperkukuh hubungan komuniti melalui pengagihan kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk ke masjid serta kepada ahli-ahli NGO yang terlibat.
“Program ini telah berlangsung sejak beberapa tahun lalu di lokasi yang sama. Dengan gabungan NGO yang pelbagai latar belakang, kita dapat mengumpulkan tenaga kerja yang lebih efektif dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, idea penyatuan NGO ini bermula tahun lalu bagi mengatasi cabaran kekurangan dana serta tenaga kerja dalam setiap program. Sebagai contoh, kejayaan penganjuran Fun Walk di Tasik Bandar dan Taman Tasik Temerloh sebelum ini menunjukkan bahawa aktiviti bersepadu mampu menarik penyertaan lebih ramai, dengan kehadiran sekitar 700 hingga 800 peserta.
Sementara itu, Ketua AADK Daerah Temerloh, Mohd Zaharami Zakaria, menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu NGO dalam membantu program-program pencegahan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam mendekati klien yang sedang dalam pemulihan.
“Kami berharap kolaborasi ini dapat memberikan lebih banyak peluang kepada golongan ini untuk mendapat sokongan dari pelbagai pihak, termasuk komuniti setempat,” katanya.
Selain program agihan bubur lambuk, beberapa aktiviti lain seperti Nightwalk sempena kebangkatan Baginda Tuanku turut dirancang dengan penyertaan NGO .
Secara keseluruhan, sebanyak 12 aktiviti tahunan dirancang bagi memastikan keterlibatan komuniti dalam pelbagai aspek pembangunan sosial dan kebajikan.
Antara NGO yang terlibat dalam program ini adalah PEMADAM, PUSPANITA, SKUAD ANTIDADAH TEMERLOH dan PERKIM dan beberapa lagi badan sukarela yang komited dalam usaha memperkukuh peranan komuniti di Temerloh.-SAHIH