BUBAR PARLIMEN PENYELESAIAN TERBAIK
Berita Politik
BUBAR PARLIMEN PENYELESAIAN TERBAIK
KUALA LUMPUR: Bubar Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata ia langkah terbaik daripada membiarkan perbuatan melompat parti hingga mengakibatkan keadaan negara huru-hara.
“Muhyiddin Yassin ada pilihan, dia boleh bubarkan Dewan Rakyat dan pilihan yang terbaik adakan PRU… biar rakyat tentukan siapa dapat mandat.
“Lompat melompat parti dah jadi macam kartun, dah jadi politik caca marba… bubar saja (Parlimen) dan serahkan kepada rakyat untuk tentukan siapa yang mereka mahu (jadi kerajaan).
“Yang melompat (parti) tentu ada ganjaran, wakil rakyat boleh dijual beli beli dengan duit dan pangkat… apa jenis politik kita ini, kita nak wakil rakyat yang bekerja, berwibawa dan berintegriti,” katanya kepada Malaysiakini.
Tajuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan politik semasa hari ini yang menyaksikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan.
Anwar memaklumkan perkara itu dalam sidang media di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Pada sidang media itu, Anwar mendakwa sudah memiliki sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan, namun enggan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang memihak kepadanya.
Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata bahawa lebih wajar jika dia menyerahkan jumlah sokongan wakil rakyat itu kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.