BUAYA TEMBAGA TOK BALI
BUAYA TEMBAGA 200 KG DITANGKAP DI TEPI PANTAI TOK BALI
Video: Media sosial
PASIR PUTEH: Penduduk yang tinggal di kawasan pesisiran pantai Tok Bali di sini gempar apabila melihat seekor buaya tembaga seberat 200 kilogram yang berenang dan melibas ekornya di tepi pantai tersebut semalam.
Khuatir keselamatan mereka terancam dengan reptilia itu, penduduk kampung telah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasir Puteh awal pagi tadi untuk tindakan lanjut.
Pegawai APM Pasir Puteh, Kapten Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan haiwan itu di pantai berkenaan pada pukul 1.35 pagi tadi.
Menurutnya, sewaktu lima anggota dan seorang pegawai APM tiba di lokasi kejadian, buaya itu masih berada di tepi pantai Tok Bali dalam keadaan yang tidak agresif.
“Kami bersama beberapa nelayan tempatan mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap buaya berkenaan.
K! ONLINE melaporkan, buaya tembaga jantan berukuran panjang lebih tiga meter itu ditangkap menggunakan tali dan kain untuk menutup bahagian mata sebelum ia dibawa pulang ke pejabat APM pada pukul 3.15 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Fauzan Ismail, 42, ketika ditemui berkata, penduduk melihat kelibat buaya itu sedang berenang di tengah laut pada pukul 2 petang semalam.
“Reptilia itu kemudiannya dilihat cuba mendarat tepi pantai pada pukul 12 malam sebelum salah seorang penduduk menghubungi talian kecemasan,” katanya.