BUAYA SESAT DI PULAU GAYA DITANGKAP
BUAYA SESAT DI PULAU GAYA DITANGKAP
KOTA KINABALU: Seekor buaya sepanjang empat meter dipercayai tersesat berjaya ditangkap oleh penduduk kampung berhampiran perairan Pulau Gaya dekat sini, pada petang semalam.
Kehadiran reptilia itu disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.
Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, penduduk kampung bergilir-gilir mengekori buaya itu dengan menggunakan bot.
“Buaya itu berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong dan kelihatan jelas ketika air laut semakin surut.
“Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum berjaya menangkapnya kira-kira jam 5.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, mereka terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
“Ini kali pertama mereka menangkap haiwan ganas itu sejak tinggal di pulau berkenaan. Tujuan kami menangkapnya kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutama kanak-kanak dan nelayan,” katanya.-Media Sosial.