BUAT LAPORAN PALSU BERHUBUNG KES SAMUN, WANITA DIDENDA RM2,000
BUAT LAPORAN PALSU BERHUBUNG KES SAMUN, WANITA DIDENDA RM2,000
SELAYANG : Tindakan seorang wanita yang membuat laporan palsu berhubung kejadian samun hingga mengalami kecederaan membawa padah apabila dia didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Siti Nurfarahiyah Yusri, 20, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan, dan OKS membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Nurfarahiyah didakwa telah memberikan maklumat kepada seorang penjawat awam iaitu pegawai polis Mohd. Sheqal Roslan, maklumat secara lisan yang diketahui sebagai palsu.
Ia dengan maksud untuk menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasa yang sah untuk menyiasat perkara seperti yang dilaporkan dalam laporan polis berkenaan yang mana pegawai polis itu sepatutnya tidak lakukan sekiranya fakta sebenar diketahui.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan 10, Taman Greenwood, Batu Caves, Gombak di sini pukul 4.24 petang pada 14 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesusahan pihak polis dalam melakukan siasatan terhadap laporan yang dibuat sendiri oleh OKS.
Bagaimanapun OKS yang diwakili peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah meringan hukuman dengan alasan OKS menyesal dengan perbuatannya selain ketika itu berdeoan dengan masalah emosi.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga anggota polis telah menerima satu laporan daripada OKS yang mana dalam laporan polis itu mengatakan OKS menjadi mangsa ragut dan telah ditikam di bahagian paha.
Bagaimanpun hasil siasatan mendapati wujud kecurigaan terhadap laporan polis itu kerana OKS gagal memberikan gambaran jelas kejadian selain kedudukan pisau pada paha OKS berada dalam keadaan tegak seolah-olah mangsa menusuk dirinya sendiri.
KOSMO! semalam melaporkan polis mengesahkan seorang wanita cedera bukan akibat disamun sebaliknya kecederaan itu dilakukannya sendiri dengan menikam paha kanannya di Jalan 10, Taman Greenwood, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dakwaan yang dibuat wanita itu adalah tidak benar sama sekali, lapor KOSMO online
Menurut polis kejadian samun seperti yang didakwanya tidak berlaku dan individu itu didapati telah mencederakan diri sendiri dengan menikam paha kanannya kerana tekanan perasaan akibat masalah keluarga.