BRUNEI KUATKUASA CAP, FCP
Berita Nasional
BRUNEI KUATKUASA CAP, FCP
KUCHING: Kerajaan Brunei mengenakan Caj Perkhidmatan (CaP) dan Pas Perjalanan Kerap (FCP) bagi rakyatnya dan warga asing merentasi sempadan darat Sarawak-Brunei, berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Jurucakap Konsulat Jeneral Brunei di Kuching berkata, CaP dengan kadar bayaran B$3 (RM9.30) dikenakan terhadap individu setiap kali melintasi pos sempadan.
Bagi individu warga Brunei, Malaysia dan warga negara asing yang melakukan perjalanan kerap sekurang-kurangnya 15 kali sebulan untuk tujuan pekerjaan atau persekolahan adalah layak untuk memohon FCP.
“Pas itu boleh dipohon secara dalam talian menerusi portal Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam (www.pmo.gov.bn/travelportal).
“FCP boleh dipohon untuk tempoh satu, tiga atau enam bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kadar FCP untuk tempoh sebulan bagi pekerja adalah B$50 seorang, manakala pelajar B$30 seorang.
Bagi FCP dengan tempoh sah tiga bulan pula, kadar bayarannya adalah B$150 untuk pekerja, B$90 untuk pelajar, manakala untuk tempoh enam bulan pula B$300 untuk pekerja dan B$180 untuk pelajar.
“Pengguna yang lain pula akan dikenakan kadar caj sebanyak B$3 seorang setiap kali melintasi pos-pos kawalan sempadan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pengecualian CaP diberikan kepada kenderaan milik kerajaan Malaysia atau kerajaan Sarawak bagi tujuan kegunaan rasmi, kenderaan bomba, ambulans, polis, kenderaan membawa jenazah dan kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah.
“Permohonan bagi pengecualian CaP bagi kes-kes khas boleh dipohon melalui pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam,” katanya.