Bot tersangkut dan badan bocor, pemilik rugi
Bot tersangkut dan badan bocor, pemilik rugi
JERANTUT : Bot tersangkut pada papan tanda Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) di kawasan dataran Kampung Bantal mengakibatkan pemilik bot tersebut kerugian kerana disebabkan badan bot itu tercucuk benda tajam dan bocor.
Kejadian itu mengakibatkan bot penambang terbalik dan terlingkup ke dalam air berikutan kedudukan tidak stabil ketika tempoh gelombang kedua bencana banjir di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini, semalam.
Bagaimanapun kejadian pada jam 6 pagi itu tidak membabitkan kemalangan jiwa kerana bot (perahu) kajang Tembeling itu tidak beroperasi.
Pemilik bot penambang, Hamizon Loai, 49, berkata, sebelum kejadian malam semalam, dia tertidur sehingga jam 5 pagi dan kemudiannya terjaga untuk mengubah bot itu ke tempat selamat, tetapi tidak sedar tertidur kembali.
“Saya terjaga terus teringat perahu yang belum diubah namun mendapati telah terbalik tersangkut pada objek tajam di papan tanda JPS sehingga menyebabkan badan (bot) tembus.
“Saya berusaha menyelamatkan bot ini, tetapi gagal dan badan (bot) terus terbalik serta terlingkup kemudiannya berdekatan kedai yang masih dilimpahi air di pesisir sungai ini, “ katanya.
Katanya, kejadian itu menyebabkan enjin 30 kuasa kuda terjatuh ke dalam air, manakala bahagian tempat duduk (perut) bot ini dipenuhi air.
“Perahu kajang Tembeling dan enjin itu dibeli dua tahun lalu untuk dijadikan bot penambang sebagai sumber mata pencariannya berulang alik membawa penumpang ke bandar Jerantut,”katanya.-SAHIH